PENJARA sering dikaitkan dengan banduan, hukuman dan kawalan keselamatan, tetapi bagi Muhammad Hafiz Adnan kisah di sebalik tirai besi lebih daripada itu.Berpengalaman lebih 14 tahun sebagai pegawai penjara, dia berkongsi sisi gelap yang jarang didedahkan kepada umum khususnya berkaitan gangguan misteri. Menurutnya, tugasan syif malam misalnya tidak seperti yang dibayangkan orang ramai kerana hanya dua anggota sahaja bertugas dan mereka perlu mengawal satu blok besar menempatkan hingga 500 banduan.Lebih menakutkan, mereka tidak dibenarkan membawa telefon, tidak boleh keluar sesuka hati dan cuma dibekalkan dengan kunci kecemasan.“Kalau apa-apa jadi, memang tak boleh minta tolong sesiapa. Seorang ronda, seorang tidur. Dua jam setengah bergilir," katanya menerusi perkongsian pengalaman di podcast Sembang Seram [Tonton Video].Antara kejadian paling menyeramkan adalah ketika rondaan malam dibuat, yang mana bilangan banduan terlebih selepas kiraan dibuat."Ada 400 sebenarnya, saya buat laporan 401. Pegawai tanya saya bilik mana? Saya bawa dia pergi. Tiada sesiapa pun dalam tu."Itu salam pengenalan. Sedangkan saya memang berborak dengan 'dia'. 'Dia' tanya cikgu (panggilan di penjara) dari mana? Orang baru ke?" katanya.Muhammad Hafiz (kiri) berkongsi pengalaman sebagai pegawai penjara kepada Safwan Nazri (kanan) di dalam podcast Sembang Seram.Menurut Muhammad Hafiz, dia juga pernah berdepan situasi berbicara tanpa sedar dengan makhluk halus yang menyerupai rakan sekerjanya yang baru bertugas di penjara itu."Terjumpa rakan saya ni, dia teman saya untuk mengira banduan. Sambil berjalan tu biasalah kita akan sembang. Dia tanya saya dah berapa lama kerja di sini?"Saya cakap la dua tahun, dia pula cakap saya tahu sebab dah lama duduk sini. Hairan saya sebab dia baru kerja macam mana boleh duduk lama."Ketika sembang dan mengira tu, banduan tanya mana cikgu lagi sorang? Saya kata ni sebelah, banduan gelak dan saya sembang seperti biasa."Lepas balik ke pejabat dia bagi saya air, kemudian pintu terbuka saya ingat pegawai ronda rupanya budak tu yang masuk dan minta maaf sebab dia ada kecemasan dan baru masuk kerja. Habis saya sembang dengan siapa tadi?" katanya.Satu lagi perkongsian menarik yang diceritakan Muhammad Hafiz ialah kepercayaan lama sejak zaman British.Menurutnya, pintu penjara lama dibina dengan tujuan tertentu untuk meninggalkan ilmu atau kekuatan luar biasa sebelum seseorang melangkah masuk. “Orang lama kata, sekuat mana ilmu seseorang, bila masuk penjara lama, semua tinggal di luar," katanya.Sebab itu juga katanya, kes-kes banduan hilang secara misteri tidak pernah berlaku di penjara lama.Walaupun berdepan pengalaman aneh hampir setiap malam, dia menegaskan mereka tidak pernah mencabar atau mencari perkara pelik.Katanya lagi, bekerja di penjara bukan sekadar menjaga manusia, tetapi juga belajar menghormati perkara yang tidak dapat dilihat mata.