suria

Pinjam pinggan mangkuk bunian, wanita jadi ‘tak betul’ lepas kenduri - “Bila dipulangkan, tak cukup jumlahnya”

Manusia dan bunian dikatakan pernah menjalin hubungan baik pada zaman dulu. -Gambar hiasan AI

SETIAP kali pulang ke kampung, Azie (bukan nama sebenar) memang seronok dapat mendengar opahnya bercerita.

Selain kisah serangan tentera Jepun, opahnya juga gemar berkongsi cerita-cerita mistik zaman dulu.

Sewaktu kepulangan baru-baru ini, Azie ralit mendengar opahnya bercerita tentang orang bunian.

Menurut opahnya, seorang penduduk kampung pernah menjadi gila pada tahun 80-an gara-gara terkena sumpahan bunian.

"Jadi gila macam mana tu opah? Dia ada lagi ke dah meninggal?" soal Azie ketika mereka berdua duduk di hadapan rumah.

Menurut opahnya, wanita itu sudah lama meninggal dunia selepas dia jatuh sakit dan menjadi tidak waras.

"Biasalah, orang zaman dulu-dulu, nak kenduri pinjam barang dengan bunian. Pinjam pinggan mangkuk.

Orang dulu-dulu didakwa meminjam barangan bunian untuk mengadakan kenduri. -Gambar hiasan AI

"Si arwah ni pun pergi pinjam juga. Tapi ada yang pecah masa kenduri. Bila dipulangkan, tak cukup jumlahnya.

"Itu yang jadi punca orang bunian marah," ujar opahnya pula.

Menurut warga emas itu, sikap tidak jujur arwah menyebabkan dia jatuh sakit sehingga tidak dapat bangun berbulan-bulan lamanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Arwah ibu larang mandi air terjun, bimbang disorok bunian... Bapa tak sangka ‘nenek tua’ muncul tuntut janji selepas 10 tahun!

ARTIKEL BERKAITAN: Jurutera tersewa rumah bunian, nampak kelibat wanita berkebaya di tangga... Tinggal solat punca 'ditegur'

"Selepas dah sihat, dia jadi tak kenal diri sendiri, macam dah tak betul. Arwah merayau dalam kampung, kadang-kadang lari masuk hutan.

"Dah berubat banyak tempat pun masih tak sembuh-sembuh. Keluarga pun tak boleh buat apa-apa. Ada la dalam tiga ke empat tahun dia sakit.

"Lepas tu arwah meninggal. Memang kematiannya jadi bualan penduduk kampung," ujar opah sambil disambut oleh Azie yang mengangguk perlahan.

Azie tidak puas hati, malah dia sedikit sebanyak meragui kisah itu sebenarnya.

"Jadi memang betullah bunian tu wujud ya?" soal Azie kepada opahnya.

"Wallahualam. Ini cerita dekat kampung lama opah. Memang tahu dia sakit. Tapi bab pinjam barang bunian tu, hanya Allah yang tahu kebenarannya," jawab warga emas itu lagi.

 

Artikel Lain