suria

Satu asrama gempar insiden histeria dan muncul kelibat wanita dada berlubang gara-gara perbuatan pelajar lelaki di sebuah pokok pisang

Azrul memberitahu kejadian histeria dalam kalangan pelajar perempuan di sekolahnya menyebabkan ramai resah. - GAMBAR SEKADAR HIASAN

KETIKA mendapat tawaran memasuki sekolah berasrama penuh, Azrul Nasri orang paling gembira kerana segala usahanya ketika menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) akhirnya berbayar.

Sejak di tingkatan satu lagi dia bercita-cita untuk masuk ke sekolah berasrama penuh kerana ingin mengikut jejak langkah seperti dua abangnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Bertahun pendam insiden seram bantal ditarik, kena ‘tindih’... gadis buat konten mistik tak sangka kisah makhluk ‘meraba’ buatkan followers naik mencanak - “Dia lari-lari dalam bilik”

Mendengarkan cerita kehidupan di asrama daripada abang-abangnya membuatkan Azrul teruja untuk hidup berdikari bersama rakan-rakan baharu.

Namun bayangannya itu bertukar menjadi mimpi ngeri yang tidak dapat dilupakan meskipun sudah beberapa tahun meninggalkan alam persekolahan.

Mana tidaknya, ketika minggu suai kenal, semua pelajar dikejutkan dengan kes histeria di asrama perempuan dan kejadian itu merebak seorang demi seorang sehingga membuatkan satu sekolah menjadi kecoh.

Kelibat

Azrul memberitahu dia sendiri pernah terlihat kelibat wanita berjalan di koridor asramanya.

"Setiap kali dengar suara pelajar wanita menjerit akibat histeria dan dirasuk, bulu roma saya memang meremang apatah lagi seorang demi seorang dirasuk.

"Kecoh keadaan sekolah ketika itu dengan pelbagai kejadian pelik sehingga guru terpaksa menghentikan minggu suai kenal yang sedang berlangsung," imbaunya.

Belum reda dengan kejadian histeria, situasi di sekolah ketika itu sekali lagi kecoh apabila ada beberapa pelajar di asrama lelaki ternampak kelibat seorang wanita berambut panjang berjalan di koridor asrama mereka.

Malah cerita Azrul dia sendiri pernah terserempak dengan kelibat itu ketika ke bilik air pada pukul 2 pagi sehingga dia mengalami demam dan terpaksa dibawa ke klinik.

Imbaunya, wajah kelibat itu cukup menakutkan dengan mata merah menyala dalam kesamaran malam, dadanya mempunyai lubang berserta darah.

"Ada juga yang ternampak kelibat sama menggendong seorang budak kecil ketika ke tandas membuatkan ramai yang keluar berteman selepas itu.

Kami semua tergamam apabila pelajar itu mengeluarkan suara garau, wajahnya berubah pucat sebelum menunding ke arah seorang

rakan saya.

AZRUL NASRI

"Hidup kami memang dalam ketakutan sehinggakan setiap malam kami berkumpul solat berjemaah dan membaca al-Quran sebagai pendinding diri," ujarnya.

Azrul memberitahu insiden itu berlaku hampir sebulan sehinggakan pelajar perempuan yang diganggu diarahkan pulang ke rumah masing-masing kerana bimbang akan ada kejadian lebih buruk berlaku.

Paling merisaukan katanya, usaha pihak sekolah dan warden asrama memanggil beberapa orang ustaz untuk memulihkan keadaan juga tidak berhasil malah gangguan lebih teruk berlaku.

Sehinggalah pada suatu malam kata Azrul, semua pelajar berkumpul di surau untuk solat berjemaah dan membaca surah Yasin sebelum mereka digemparkan dengan seorang pelajar lelaki dirasuk.

Pada awalnya kata Azrul ramai tidak perasan perubahan sikap pelajar itu namun ketika semua ingin bersurai lelaki itu tiba-tiba meracau dan menangis.

"Kebetulan ada seorang ustaz di situ dan beliau cuba memulihkan pelajar itu dan bertanya kepadanya punca ia datang menggangu semua pelajar di sekolah itu.

Pokok Pisang

Azrul tidak menyangka perbuatan rakannya kencing di pokok pisang telah menimbulkan kekecohan di sekolahnya.

"Kami semua tergamam apabila pelajar itu mengeluarkan suara garau, wajahnya berubah pucat sebelum menunding ke arah seorang rakan saya.

"Makhluk yang merasuk pelajar itu memberitahu rakan saya telah membuang air kecil di rumahnya sebelum pelajar itu tiba-tiba bangun dan ingin menyerang rakan saya," katanya.

Mujur kata Azrul ramai pelajar lain memegang erat lelaki itu ketika ustaz menyoalnya untuk mendapatkan jawapan kepada gangguan yang berlaku.

Sementara itu, meskipun bingung dengan tuduhan itu, mereka mula teringat akan kejadian rakannya itu hendak terkencing ketika keluar dari dewan selepas selesai aktiviti suai kenal.

Katanya, rakannya itu kencing di sebuah pokok pisang emas yang terdapat di belakang dewan.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

"Lebih menakutkan makhluk itu tiba-tiba merasuk rakan saya itu sebelum bertindak memukul dirinya sendiri sehinggakan 10 pelajar lain terpaksa memegangnya sebelum ustaz melakukan rawatan.

"Saya masih ingat rakan saya itu demam hampir seminggu selepas kejadian itu dan dia bertukar menjadi pendiam namun keadaannya pulih tidak lama kemudian," katanya.

Azrul berkata, sehingga kini setiap kali dia melihat pokok pisang, dia akan teringat peristiwa itu dan ia bukan memori yang ingin dikenang.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain