suria

Wajah si mati saling tak tumpah mirip lelaki buat panggilan video minta bantuan uruskan jenazah... Nama disebut ketika baca talkin dedah kejadian pelik ini

Hadi berhadapan dengan situasi menyeramkan apabila mendapat panggilan daripada 'si mati'. - GAMBAR SEKADAR HIASAN

DALAM khusyuk mendengar bacaan talkin yang sayu dan menginsafkan selepas selesai proses pengebumian, Hadi tergaman apabila mendengar nama si mati iaitu Saiful yang disebut oleh imam.

Ingatannya terus tertumpu kepada panggilan video yang diterimanya pada sebelah petang daripada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Saiful itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Satu asrama gempar insiden histeria dan muncul kelibat wanita dada berlubang gara-gara perbuatan pelajar lelaki di sebuah pokok pisang

Saiful dalam panggilan video itu meminta bantuannya menguruskan jenazah seorang rakan yang baharu sahaja meninggal dunia di sebuah hospital di Pahang.

Pada awalnya Hadi keberatan kerana jenazah berada di hospital namun apabila Saiful memaklumkan pihak hospital tidak cukup tangan menguruskan kes kematian akibat Covid-19, dia mengubah fikiran.

Namun belum sempat Hadi memberi kata persetujuan, panggilan video itu terputus dan cubaannya menelefon kembali lelaki itu gagal.

1203523

Hadi tersentak apabila diberitahu jenazah yang diuruskan meninggal dunia disebabkan perbuatan sihir.

"Saya cuba telefon tetapi talian tak dapat disambungkan mungkin kerana signal kurang baik. Tetapi entah mengapa saya termenung memikirkan tentang Saiful kerana wajahnya kelihatan pucat dan siapa akan membantunya menguruskan jenazah rakannya itu," katanya.

Malam itu, sekitar pukul 12 tengah malam, Hadi tidak dapat melelapkan matanya dan lebih banyak mengelamun kerana asyik terfikir mengenai Saiful.

Dalam asyik mengelamun Hadi tersentak apabila telefon yang diletakkan di sisi katil berdering dan kali ini seorang wanita yang menangis teresak-esak merayu membantu menguruskan jenazah suaminya.

Peliknya, apabila ditanya mengenai si mati dia terkejut apabila diberitahu jenazah meninggal dunia di hospital sama seperti diberitahu Saiful sebelum itu.

"Terfikir juga saya adakah si mati ini adalah orang sama dan timbul rasa tak sedap hati dalam diri tetapi saya enggan berfikir banyak dan bersetuju membantu menguruskan jenazah.

"Wanita itu memaklumkan jenazah kini berada di rumah dan dia memberi alamatnya sebelum saya bergegas keluar.

Dia memberitahu nombor telefon itu milik Allahyarham ibunya yang meninggal dunia dua tahun lalu... Saya pula yang terkejut dan terdetik di dalam hati ujian apa yang sedang Allah berikan kepada saya.

HADI

PENGURUS JENAZAH

"Dalam kegelapan malam itu, saya keluar bersendirian tanpa ditemani sesiapa dan saya sentiasa berdoa agar semua urusan saya dipermudahkan kerana saya rasa ada sesuatu yang tidak kena," ujarnya.

Ketika mencari lokasi kediaman si mati, Hadi berkata, dia mula berasa pelik kerana aplikasi Waze membawanya masuk ke laluan kebun getah dan kelapa sawit.

Dalam rasa tak sedap dan gentar, Hadi tetap meneruskan perjalanan sambil matanya meliar melihat kiri dan kanan mencari rumah tersebut.

Ketika sampai ke destinasi, Hadi terserempak dengan seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Pak Daud di luar rumah keluarga si mati.

"Saya perkenalkan diri dan selepas tahu saya akan menguruskan jenazah, Pak Daud memegang tangan saya dan memberitahu bahawa arwah meninggal dunia kerana 'dibunuh' dengan cara menggunakan ilmu hitam.

"Kata Pak Daud sudah berbulan-bulan arwah menderita penyakit misteri dipercayai perbuatan kenalan sendiri yang berdendam dengannya.

Jenazah

Hadi terkejut apabila melihat wajah si mati mirip dengan lelaki yang membuat panggilan video dengannya.

"Faham dengan apa cuba disampaikan oleh Pak Daud kami beriringan masuk ke dalam rumah si mati untuk proses pengurusan jenazah," ceritanya.

Hadi berasa pelik kerana di dalam rumah itu hanya ada beberapa orang sahaja dan dia pasti isteri si mati yang menelefonnya tiada di dalam rumah itu.

Dia cuba bertanya kepada Pak Daud mengenai wanita itu dan meminta kepastian sama ada dia mengecam nombor telefon yang menghubunginya tadi.

"Pak Daud memberitahu dia tidak kenal dengan nombor itu sebelum memanggil anak lelaki si mati. Remaja itu tiba-tiba terduduk dan wajahnya bertukar pucat.

"Dia memberitahu nombor telefon itu milik Allahyarham ibunya yang meninggal dunia dua tahun lalu... Saya pula yang terkejut dan terdetik di dalam hati ujian apa yang sedang Allah berikan kepada saya," ujarnya.

Enggan terus tenggelam dalam emosi, Hadi meminta izin kepada ahli keluarga untuk menguruskan jenazah sebelum Pak Daud membawanya masuk ke dalam bilik.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Apabila kain batik lepas yang menyelimuti jenazah dibuka, Hadi terkejut melihat wajah si mati saling tak tumpah dengan lelaki yang membuat panggilan video dengannya sebelum ini.

"Saya berselawat dan membaca beberapa ayat pendinding diri, sebelum saya beritahu Pak Daud dan beberapa ahli keluarga lain untuk segera menguruskan jenazah.

"Alhamdulillah semua urusan kami dipermudahkan sekitar pukul 3 pagi dan ketika bacaan talkin, saya sekali lagi terkejut apabila ustaz menyebut nama si mati iaitu Saiful," katanya.

Sehingga hari ini Hadi tertanya-tanya akan kejadian pelik itu. Namun terdetik di hatinya, kematian individu itu dengan cara khainat mungkin memberi petunjuk bahawa Allah menyayangi si mati dan jenazah perlu diuruskan dengan segera.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain

Wanita kongsi detik lucu masalah bau di rumah