suria

Asyik berbalas pantun tiba-tiba gambar di air terjun rosak, rupa-rupanya ramai yang ‘teman’ mandi - “Ada yang demam, bau setanggi pukul 4 pagi”

Adzren dan dan rakan-rakannya merakamkan foto kenangan di Air Terjun Gunung Ledang, namun satu daripada beberapa keping gambar mereka rosak (gambar kecil).

BAK kata orang-orang tua, sesiapa yang masuk ke dalam kawasan hutan mesti menjaga adab, pertuturan dan tingkah laku bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini.

Seperti yang kita sedia maklum, hutan bukan sahaja menjadi tempat yang didiami makhluk atau unggas sebaliknya turut menjadi 'habitat' makhluk yang tidak dapat dilihat dengan pandangan mata kasar manusia.

Baru-baru ini tular di aplikasi TikTok perkongsian seorang pemuda mengenai kisah mistik yang dialaminya bersama beberapa rakannya ketika mandi di Air Terjun Gunung Ledang, Sagil, Tangkak yang terletak di Johor.

ARTIKEL BERKAITAN: Tengah ambil angin atas buaian, tiba-tiba ada ‘benda’ baling batu... wanita berani rekod video seorang diri - “Mereka kata nampak sesuatu dekat pokok sukun”

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Padah‘ buat FB Live menjelang Maghrib, sesi promosi kerepek dihentikan lebih awal... terus ‘lari‘ ke rumah mak - “Memang jelas nampak benda tu”

Menerusi perkongsian yang dibuat dalam tiga video berasingan, pemuda itu turut memuat naik gambar yang diambil ketika perkelahan di air terjun berkenaan yang menimbulkan tanda tanya, gara-gara ia 'rosak' teruk seperti petunjuk mengenai 'kehadiran sesuatu'.

Bukan itu sahaja, hampir kesemua yang menyertai perkelahan itu mengalami peristiwa aneh selepas pulang dari air terjun berkenaan.

Mengimbas kembali kisah mistik tersebut, Adzren Adnan yang memuat naik video-video di aplikasi TikTok berkata, kejadian itu berlaku pada tahun 2016 ketika dia dan rakan-rakannya pulang dari Singapura selepas menyertai pertandingan pantun mewakili Malaysia.

"Ada dua team wakili Malaysia, Alhamduillah kami rangkul gelaran juara dan naib juara. Dipendekkan cerita, kami tak terus pulang ke rumah masing-masing sebaliknya singgah bermalam di rumah jurulatih pantun di Sagil.

"Rancangannya, kami nak pergi Air Terjun Gunung Ledang. Keesokannya, kami ke air terjun dan tiba sekitar 11.30 tengah hari. Kena berjalan sikit sebelum sampai ke air terjun.

"Masa berjalan tu mulut masing-masing bersembang rancak. Konon nak berjumpa Puteri Gunung Ledang, pasal nenek kebayan... siap berpantun ala-ala kisah mistik sambil diselang seli ketawa.

SAGIL 1

Kelibat 'entiti' misteri yang dikesan pada gambar yang diambil Adzren ketika beriadah di air terjun berkenaan.

"Masa mandi-mandi, suami jurulatih tolong ambilkan gambar... tiba-tiba dia panggil dan tunjukkan gambar. Dalam beberapa keping yang diambil, tiba-tiba ada sekeping macam rosak. Kami terdiam dan sambung mandi dalam keadaan 'behave', " ujar pemuda berusia 30 tahun ini.

Adzren berkata, dia kemudian mengambil beberapa keping gambar di sekeliling kawasan tempat mereka mandi-manda dan perkara yang sama terjadi di mana ada beberapa keping gambar tersebut turut 'rosak'.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

"Selepas itu, kami semua pulang rumah masing-masing sementara dua orang lagi stay di rumah jurulatih. Balik tu, ada antara kami alami demam termasuk saya. Manakala jurulatih dan dua lagi rakan tiba-tiba terbau setanggi pukul 4 pagi.

"Hari kedua, saya termimpi ada seorang nenek datang rumah. Kami masing-masing tak bercakap tapi saya siap pegang tangan nenek tu dan bawanya berkenalan dengan semua ahli keluarga.

SAGIL 3

Adzren (belakang, tiga dari kiri) bersama rakan-rakannya yang mewakili Malaysia berjaya merangkul gelaran juara dan naib juara pertandingan pantun di Singapura.

"Kami rujuk gambar-gambar di air terjun tu kepada ustaz dan kenalan masing-masing. Anehnya, semua mereka cakap benda yang sama... iaitu ada 'benda' teman kami mandi. Bukan sikit, tapi ramai. Mujur kami tak berpecah... kalau itu terjadi, pasti ada yang 'hilang', " ceritanya yang merupakan seorang perunding takaful.

Tambah Adzren, sejak peristiwa di Air Terjun Gunung Ledang itu, dia mengalami perkara aneh di mana seolah-olah mendapat 'petunjuk' dan dapat merasai kehadiran 'sesuatu'.

"Saya mudah terbau, boleh dengar dan rasa kalau 'sesuatu' itu ada. Dia tak tunjuk muka tapi seperti memberitahu kehadirannya, lebih-lebih lagi ketika saya seorang diri.

Saya migrain sampai kena masuk wad. Bila dah keluar hospital, migrain masih tak hilang. Sejak itu, saya nekad nak berubat

ADZREN ADNAN

"Ia tak ganggu tapi bagi saya, ia memenatkan. 'Gangguan' makin teruk bila saya pindah rumah baru pada Disember tahun lalu. Saya ada letakkan aksesori klasik di sebuah bilik, jadi 'benda' itu menumpang sekali.

"Selama enam tahun saya buat tak tahu sahaja. Namun April lalu, saya migrain sampai kena masuk wad. Bila dah keluar hospital, migrain masih tak hilang. Sejak itu, saya nekad nak berubat, " katanya lagi.

Bagaimanapun kata Adzren, buat masa ini dia belum berkesempatan menjemput perawat Islam 'memulihkan' rumahnya memandangkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini.

SAGIL 4

Pemuda ini mengakui kerap mengalami 'gangguan' sejak peristiwa aneh ketika beriadah di di Air Terjun Gunung Ledang.

Tidak menyangka perkongsiannya menjadi viral di mana ada videonya meraih hampir 500, 000 jumlah tontonan, Adzren berkata dia sekadar berkongsi kisah mistik yang dialaminya sendiri.

"Tak sangka ramai yang teruja dengan kisah mistik. Sebenarnya banyak lagi kisah mistik yang saya alami dan insyaAllah saya akan kongsikannya di TikTok bersama yang lain selepas ini, " ujarnya lagi.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Lain