Seni 'doodle' semakin digemari... Pelukis kolumnis The Star kongsi tip buat yang ingin mencuba - I-suke | mStar

Seni 'doodle' semakin digemari... Pelukis kolumnis The Star kongsi tip buat yang ingin mencuba

Pelukis kolum Doodlism The Star, Sarah Salim memberitahu seni lukisan doodle semakin mendapat tempat. Foto SHAARI CHE MAT & ARKIB THE STAR

DOODLE atau seni bebas nampaknya semakin mendapat tempat dalam kalangan penggemar seni kerana tekniknya yang mudah selain bebas melakukan susunan corak secara spontan mengikut kreativiti.

ARTIKEL BERKAITAN: Berita baik buat pengumpul setem, kaki wayang! Pos Malaysia lancar edisi terhad adiwira Marvel

ARTIKEL BERKAITAN: Rela tinggalkan kerjaya 'bersih', kini mahu terus bergelumang dengan cat dan kanvas

Biasanya bagi yang baru ingin berjinak-jinak dalam seni doodle, corak geometrik serta organik menjadi pilihan sebelum melangkah ke lukisan lebih kompleks seperti landskap serta figura komik.

Antara hasil kerja Sarah yang disiarkan menerusi kolum Doodlism akhbar The Star.

Pelukis kolum Doodlism The Star, Sarah Salim memberitahu meskipun seni doodle nampak mudah namun ia sebenarnya memerlukan teknik dan minat mendalam bagi menghasilkan karya yang baik.

Kata Sarah, doodle terbahagi kepada tiga iaitu unplanned doodle atau tidak dirancang, semi unplanned doodle (separa tidak dirancang) dan planned doodle (dirancang).

Kebiasaannya kata Sarah, pelukis yang ingin berjinak-jinak dalam seni doodle boleh memulakan dengan unplanned doodle bagi membiasakan pergerakan tangan selain mengasah minda dalam membentuk sesuatu konsep tanpa merujuk kepada mana-mana seni sedia ada.

Sarah memberitahu seni lukisan Doodle memerlukan kesabaran dan latihan yang kerap.

"Semi unplanned pula biasanya pelukis akan buat lakaran ringkas terlebih dahulu namun akan menambah idea secara spontan ketika melukis.

"Manakala planned doodle pula biasanya kita akan tampil dengan konsep dan lakaran lengkap untuk menjadikan seni itu nanti lebih fokus sebelum mula melukis," jelasnya.

Sarah yang pernah tampil dengan buku melukis dewasa berjudul Malaysian Animals berkongsi beberapa tip kepada pembaca mStar yang ingin melibatkan diri dalam seni doodle:

Antara hasil kerja Sarah yang dipamerkan.

1. Tiada latar belakang dalam seni lukis bukan bererti tidak boleh melukis sebaliknya hanya perlu kesungguhan dan minat dalam bidang ini.

2. Jadikan YouTube atau hadiri seminar berkaitan doodle bagi mempelajari teknik melukis yang betul.

3. Sertai komuniti doodle di media sosial seperti Facebook, Instagram termasuk artis doodle.

4. Luangkan masa berlatih melukis setiap hari.

5. Cabar diri untuk mencuba teknik baharu atau mereka sendiri acuan lukisan mengikut kreativiti.

Seni lukisan Doodle memberi peluang kepada Sarah untuk memperkenalkan lukisannya menerusi pameran.

Doodle , Sarah Salim

Artikel Lain