suria

Datanglah 100 biskut 'hipster' sekali pun, 10 kuih raya tradisional ini tetap di hati!

Pelbagai jenis biskut raya yang dijual peniaga setiap tahun.

SELAIN juadah seperti lemang, rendang dan ketupat yang dihidangkan di meja utama, biskut raya juga mempunyai tempat yang tersendiri di hati kita.

Tak lengkap rasanya kalau tiada biskut raya untuk dinikmati ketika berbual-bual bersama keluarga atau pun sahabat handai yang bertandang ke rumah.

Sejajar dengan perubahan masa, biskut raya juga banyak mengalami perubahan dan lebih 'hipster' sehingga terlalu banyak pilihan.

Tetapi datanglah biskut apa sekali pun, 10 juadah ini tidak pernah 'mati' dan sentiasa diburu setiap kali tibanya Aidilfitri.

1. Tart Nenas


Tart Nenas menjadi kegemaran ramai.

Tanpa dipelawa pun, balang Tart Nenas adalah benda pertama yang dicapai sementara menanti tetamu di meja selesai menikmati hidangan utama.

Teksturnya yang rapuh atau gebu membuatkan ia dimasukkan sekali gus ke dalam mulut sebelum merasai kemanisan inti nenas. Siapa yang tak suka tart nenas!

2. Mazola


Mazola juadah ringkas tetapi enak.

Warnya yang kekuningan kesan sapuan kuning telur yang disusun cantik seperti memanggil-manggil, itulah dia Mazola.

Barangkali ia biskut yang ringkas namun kepadatannya dengan kacang tumbuk, Mazola juga menjadi pilihan sebagai juadah ringan di hari raya.

3. Cornflakes Madu


Cornflakes Madu kegemaran kanak-kanak.

Pergilah ke rumah siapa pun, Insya-Allah memang akan jumpa Cornflakes Madu di atas meja tuan rumah dan kebiasaannya memang terpaksa tambah berulang kali.

Mana cukup makan satu... biasanya ia disediakan bagi menarik perhatian kanak-kanak tapi tak mustahil orang tua lagi 'over'.

4. Semperit


Semperit kegemaran ramai.

Datanglah biskut paling 'hipster' pun namun tiada siapa boleh ketepikan Semperit sejak berzaman malah generasi baharu pun tahu biskut berkenaan.

Coraknya mungkin berbeza mengikut kreativiti masing-masing namun bentuk bunga dengan ceri sebagai hiasan paling mengimbau kenangan.

5. Batang Buruk


Rupa yang buruk tidak menggambarkan rasanya.

Rupanya mungkin 'buruk' tetapi juadah diperbuat daripada tepung gandum dicampur tepung beras dan tepung kelapa ini sebenarnya masih ramai peminat.

Cuma apabila makan kena berhati-hati kerana ia rapuh, namun apabila sudah masuk ke mulut dan dapat merasai kacang hijau goreng di dalamnya, tangan cepat je capai satu lagi Batang Buruk.

6. Kuih Ros


Kuih Ros mengimbau nostalgia. 

Memang menggamit kenangan kuih yang berbentuk bunga ros ini. Rasanya yang manis dan rangup membuatkan sampai tak sedar mulut mengunyah.

Mungkin anak-anak muda tidak mengenai kuih ini, tapi bagi generasi lama pastinya ia nostalgia yang sukar dilupakan.

7. Kuih Kapit


Kuih Kapit digemari segenap lapisan masyarakat.

Kuih Kapit atau Sapit, Sepit, Semprong bukan sahaja menjadi hidangan wajib apabila tiba Aidilfitri malah ia juga popular dalam kalangan masyarakat Tionghua setibanya Tahun Baru Cina.

Sejajar dengan peredaran zaman, kuih Kapit kini datang dengan pelbagai perasa seperti coklat, strawberi dan caramel dalam menarik minat golongan muda.

8. Suji


Suji antara biskut raya yang ringkas cara pembuatannya namun ia kekal menjadi juadah kegemaran sepanjang zaman... Mana tidaknya, saat Suji masuk ke dalam mulut ia serta-merta mencair dan membuatkan hari raya anda lengkap.

9. Rempenyek


Rempenyek kerepek wajib setiap kali Aidilfitri.

Kerepek ini disukai ramai tidak kira usia dari kecil hingga ke dewasa malah ia turut dinikmati walaupun bukan hari raya.

Keenakannya boleh mencapai tahap lima bintang jika adunannya digoreng nipis dengan taburan kacang goreng dan ikan bilis yang 'meriah'. Sedapnya!

10. Almond London


Salutan coklat dan kacang badam menjadikan Almond London sering dicari-cari.

"Almond London ada?" Itu antara pertanyaan setiap kali ada tetamu yang menghampiri balang kuih-muih.

Biskut ini memang legend dan sangat sinonim dengan sambutan Aidilfitri. Jadi anda gemar biskut atau kuih yang mana?

Almond London, Suji, Rempenyek, Mazola

Artikel Lain