suria

'Hipsterkan' Aidilfitri dengan sampul duit raya tempahan khas!

Hasil karya Izzati Che Suza. - Instagram Kobis Menghijo

MENJELANG musim perayaan bukan sahaja tukang jahit baju dan pembuat kuih raya tidak menang tangan menyiapkan pesanan, tetapi situasi itu turut dirasai oleh pembuat sampul duit raya.

Pereka sampul duit raya, Azhafizah Md Nor, 34, berkata pada tahun ini beliau terpaksa bersengkang mata untuk menyiapkan hampir 7,000 sampul duit raya yang ditempah sejak Februari lepas berbanding 4,000 keping tahun lepas.

Menjalankan perniagaan itu sejak 2010 dengan bantuan suami Mohd Aidil Kamaruzzaman, 34, katanya keunikan sampul duit raya yang dihasilkan terletak pada rekaannya.

"Sampul dihasilkan dengan kertas kraf pelbagai corak bermotifkan hipster selain batik, songket dan monstera leaf. Selain itu, pelanggan boleh pilih buatan khusus dengan meletakkan perkataan pilihan dan gambar mereka di belakang sampul.

"Sehari saya mampu siapkan 200 sampul sahaja dan hanya tidur tiga hingga empat jam sehari pada Ramadan memandangkan daripada proses gunting, lipat dan bungkus kepada pelanggan saya uruskan sendiri tanpa bantuan pekerja," katanya ketika dihubungi Bernama.

Menjalankan perniagaan secara dalam talian, Azhafizah berkata, sampul duit raya dijual bermula RM6 (10 keping) menerusi laman sesawang www.azhafizah.com dan instagram (@azhafizahgraphic).

Salah satu rekaan sampul duit raya hipster yang dihasilkan oleh Azhafizah. - Instagram @azhafizahgraphic

Seorang lagi pengusaha sampul duit raya, Izzati Che Suza, 24, berkata beliau tidak menjangka menerima sambutan menggalakkan daripada pelanggan selepas hanya sekadar 'suka-suka' memuat naik lakaran sampul duit raya di laman sosial miliknya.

Menurutnya, beliau mula menerima pesanan pada awal Ramadan dan kini harus menguruskan masa sebaiknya bagi menyiapkan lebih 200 tempahan sampul duit raya yang bertemakan 'Adikku Manis Cantik Bergaya' dan 'Perangai Raya'.

"Sampul bertemakan 'Adikku Manis Cantik Bergaya' mempunyai lakaran watak-watak yang menggayakan pelbagai fesyen ketika Aidilfitri, manakala bagi tema 'Perangai Raya' saya buat rekaan suasana ketika menyambut raya. 

"Selepas seminggu mengambil tempahan saya sudah tidak boleh terima pesanan lagi kerana bimbang tidak dapat menyiapkannya kerana proses penghasilan dibuat sendiri dan ia perlu dilakukan dengan teliti, malahan mengambil masa.

"Saya tidak menjangka mendapat permintaan macam ini," katanya yang minat melukis sejak kecil.

Menurut anak bongsu daripada tiga beradik itu, koleksi sampul raya hipster itu dijual dengan harga RM10 (lima keping) menerusi instagram dan twitter (@kobismenghijo).

sampul duit raya hipster

Artikel Lain