Impian nak jadi pereka hiasan dalaman, tapi jadi pereka grafik, “Bila ada yang DM, rasa konon cita-cita lama tercapai” - I-suke | mStar

Impian nak jadi pereka hiasan dalaman, tapi jadi pereka grafik, “Bila ada yang DM, rasa konon cita-cita lama tercapai”

Hiasan bilik Amirah yang menjadi tular di Twitter.

BILIK tidur yang cantik dan kemas diibaratkan seperti terapi untuk kita merehatkan diri.

Terbaharu, transformasi bilik tidur selepas mendapat sentuhan seorang gadis menjadi tular di laman Twitter.

Kebanyakan netizen meluahkan rasa kagum dengan keupayaannya menghasilkan ruang peribadi yang disifatkan cukup cantik dan menawan.

ARTIKEL BERKAITAN: "Tak semua lelaki pengotor", dekorasi DIY pelajar ini kejutkan ramai teman sekampus
ARTIKEL BERKAITAN: Mahu hias rumah secantik ini? Pemiliknya pesan jangan terburu-buru, hias rumah bukan kerja satu hari

Bercerita kepada mStar, Amirah Othman, 23, mendedahkan proses itu memakan masa hampir sebulan untuk menyiapkannya sepenuhnya, baru-baru ini.

Elemen tumbuhan hijau menjadikan bilik tidur kelihatan lebih 'hidup' dan tenang.

"Bagi saya bilik tu ruang peribadi. Saya memang jenis suka duduk rumah dan duduk dalam bilik, jadi ia boleh tenangkan minda dan bagi semangat positif.

"Saya perasan, lepas transformasi tu, ia jadi motivasi untuk saya jadi seorang yang lebih kemas. Jaga bilik ni asasnya seperti jaga diri sendiri juga," ujar Amirah ketika dihubungi pada Selasa.

Saya suka hias rumah sebab cita-cita nak jadi pereka hiasan dalaman, tapi jadi pereka grafik pula. Bila mereka rujuk, mestilah gembira sebab buat saya rasa konon-konon cita-cita lama tu tercapai.

AMIRAH OTHMAN

Mengulas reaksi positif orang ramai, Amirah ternyata gembira dengan hal itu.

Malah,segelintir pelayar Twitter turut menghubunginya bagi meminta idea untuk membantu mereka membuat transformasi bilik masing-masing.

"Saya suka hias rumah sebab cita-cita nak jadi pereka hiasan dalaman, tapi jadi pereka grafik pula. Bila mereka rujuk, mestilah gembira sebab buat saya rasa konon-konon cita-cita lama tu tercapai.

"Ada beberapa gadis yang direct message (DM) tanya idea, saya memang suka kongsi info. Saya cuba yang terbaik untuk jawab. Gembira dapat bagi inspirasi pada orang dan mereka percaya kreativiti saya," katanya lagi.

Dekorasi dalam biliknya yang ringkas dan kemas.

Bercerita lanjut mengenai proses transformasi itu, Amirah mendedahkan tempoh masa sebulan diperlukan kerana dia terpaksa menunggu beberapa perabot dan hiasan yang ditempah menerusi dalam talian.

Tambahnya, dia membelanjakan sekitar RM2,000 untuk melengkapkan dekorasi bilik impiannya itu.

"Mengenai konsep, mula-mulanya nak hitam putih dan emas sahaja. Bila jumpa kertas dinding bercorak pisang, saya buat keputusan untuk konsep tropika dengan sentuhan klasik vintaj.

Ramai netizen bertanya kepada Amirah dari mana mahu mendapatkan barangan dekorasi yang dibelinya.

"Sebab itu saya penuhkan bilik dengan perabot rotan dan kayu serta tumbuhan hijau.

"Idea sebenar, saya nak tunjuk macam mana nak manfaatkan ruang kecil dalam bilik itu," katanya lagi.

Dalam pada itu, perkongsian Amirah di laman Twitter menerima lebih 6,400 ulang kicau (Retweet).

Selain pertanyaan mengenai barangan hiasan dan perabot, ramai netizen turut memuji sentuhan magis Amirah dalam menghasilkan bilik tidur impian.

Keadaan biliknya sebelum transformasi dilakukan.

Amirah juga menyenaraikan beberapa tip ringkas dalam membuat dekorasi bilik.

1. Bijak bermain warna, hadkan kepada dua atau tiga warna yang bersesuaian.

2. Jika bilik kecil, susun atur perabot memainkan peranan penting untuk menjadikan ia kelihatan luas.

3. Cermin boleh menjadikan bilik nampak luas, malah ia merupakan satu trend dalam dekorasi masa kini.

4. Letak tumbuhan dalam bilik, tak kira tumbuhan hidup atau palsu. Bilik yang hijau akan kelihatan lebih 'hidup'.

Artikel Lain