suria

Gara-gara sijil lahir melintang, wanita bertekak dengan staf di KLIA... Rupanya ramai tak tahu kewujudannya

Sijil pengangkatan penting bagi melindungi hak anak dan ibu bapa angkat. -Gambar hiasan

LUAHAN seorang wanita berhubung sijil lahir berbentuk melintang mendapat perhatian netizen.

Sijil lahir tersebut merujuk kepada sijil pengangkatan yang mana seorang kanak-kanak itu berada dalam jagaan, sedang dibesarkan, ditanggung dan dididik oleh mana-mana individu atau pasangan suami isteri bersama tidak kurang dari dua tahun.

Menerusi hantaran yang dibuat, wanita terbabit seolah-olah geram apabila urusan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mengalami gangguan disebabkan penguatkuasa pada masa itu tidak mengetahui tentang status sijil berkenaan.

"Normal ke kalau penguatkuasa di KLIA tak kenal atau tidak tahu apa itu sijil pengangkatan?

"Cukuplah cikgu sendiri 'benak' tak kenal sampai bertekak semasa nak daftar sekolah... atau korang sendiri tak tahu apa itu surat beranak melintang?" ajunya meminta pandangan warga maya.

Sijil pengangkatan yang dikongsikan wanita ini untuk rujukan masyarakat.

Sijil pengangkatan yang dikongsikan wanita ini untuk rujukan masyarakat.

Hantarannya itu mengundang reaksi bercampur dalam kalangan netizen, dengan ada yang mengakui tidak mengetahui kewujudan jenis sijil tersebut.

Tidak kurang juga yang menyatakan sijil berkenaan adalah bukti jerih perih pasangan suami isteri memperjuangkan hak anak angkat mereka.

Merujuk laman sesawang Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sijil pengangkatan atau lebih dikenali sebagai sijil lahir melintang merupakan dokumen pengenalan diri yang penting seperti sijil rasmi kelahiran biasa dan dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Pengangkatan dibuat di bawah Akta Pendaftaran Pengangkatan 1952 (Akta 253), satu undang-undang di Malaysia yang membenarkan pendaftaran anak angkat de facto bagi ibu bapa yang bukan beragama Islam dan yang beragama Islam. 

Pendaftaran anak angkat bukanlah sesuatu yang wajib namun jika ia dilakukan, anak angkat mahupun ibu bapa angkat akan dilindungi kerana ia diiktiraf dari segi undang-undang.

Malah ia memberikan anak angkat itu satu identiti baharu dan menyatakan mereka sebagai anak sah kepada ibu bapa angkat.

Artikel Lain