LAUTAN yang luas dan dalam kekal sebagai satu misteri alam kerana ia belum habis diterokai oleh manusia.
Antara penghuni paling aneh di dalamnya ialah ikan oarfish gergasi, makhluk laut dalam berbentuk seperti reben yang turut digelar sebagai “ikan kiamat”.
Kemunculan ikan ini sering menimbulkan ketakutan kerana ia dianggap sebagai petanda malapetaka.
Selama berabad lamanya dalam budaya masyarakat pesisir pantai, mereka percaya ikan ini akan muncul sebelum berlakunya bencana seperti gempa bumi dan tsunami.
Namun, adakah kepercayaan ini benar? Atau kita sekadar menjadi mangsa mitos dan kebetulan?
Ciri-ciri 'ikan kiamat'
Ikan ini tergolong dalam keluarga Regalecidae dan memegang rekod sebagai ikan bertulang terpanjang di dunia, dengan panjang boleh mencecah 11 meter.
Oarfish mendiami zon mesopelagik laut, iaitu di kawasan yang gelap dan sangat sejuk.
Segelintir nelayan percaya kehadiran ikan kiamat membawa petanda kehadiran tsunami atau gempa bumi.
Disebabkan ia hidup di dasar laut, kemunculan oarfish di permukaan sangat jarang berlaku. Kebiasaannya, ia timbul apabila sakit atau hampir mati.
Badan panjang seperti ular, kulit perak yang berkilau, dan sirip dorsal berwarna merah terang sepanjang tubuhnya menjadikan ia kelihatan aneh dan menyeramkan.
Penampilan dramatik ini mungkin menjadi punca kaitannya dengan petanda bencana.
Asal-usul cerita rakyat
Dalam cerita rakyat Jepun, oarfish dikenali sebagai Ryugu no tsukai yang bermaksud “Utusan dari Istana Dewa Laut”.
Sejarah mencatatkan kemunculan makhluk ini dianggap sebagai amaran kepada gempa bumi atau tsunami, dipercayai sebagai mesej daripada dewa laut.
Masyarakat pesisir di seluruh Asia Pasifik turut berkongsi kepercayaan serupa yang mana kemunculan oarfish dilihat sebagai petanda malang, kematian, atau bencana alam.
Oarfish hidup di kedalaman antara 200 hingga 1,000 meter di bawah permukaan laut.
Kepercayaan ini diturunkan secara lisan oleh generasi nelayan yang hidup bergantung kepada perubahan laut.
Kemunculan oarfish
Dalam dekad ini, laporan kemunculan oarfish semakin kerap. Ini mungkin disebabkan perubahan iklim atau kerana lebih ramai orang merakam dan berkongsi video berkaitan laut.
Video TikTok dan Instagram memaparkan oarfish yang timbul berhampiran pantai atau tersangkut dalam jaring nelayan, sering disertai dengan kapsyen panik tentang gempa bumi yang bakal berlaku.
Jepun merupakan antara negara yang kerap dilanda tsunami.
Kemunculan terkini yang mencetuskan perhatian termasuk:
- 2022: Seekor oarfish sepanjang 3.96 meter dilihat di Taiwan, mencetuskan khabar angin gempa bumi.
- 2023: Seekor oarfish sakit muncul di Filipina, beberapa hari sebelum gempa bumi bermagnitud 6.1 melanda Luzon.
- 2025: Seekor oarfish hidup dirakam berhampiran Baja California, Mexico. Video itu meraih jutaan tontonan dan mencetuskan semula kegusaran tentang ‘kiamat’.
Fakta sebenar
Walaupun wujud kepercayaan itu, kajian saintifik tidak menemui bukti kukuh yang mengaitkan kemunculan oarfish dengan aktiviti seismik.
Satu kajian pada tahun 2019 yang diterbitkan dalam Bulletin of the Seismological Society of America meneliti puluhan laporan kemunculan oarfish dan mendapati tiada korelasi statistik signifikan antara oarfish dan gempa bumi.
Saintis memberikan beberapa penjelasan biologi mengapa oarfish kadang kala muncul ke permukaan:
- Cedera atau sakit akibat parasit atau jangkitan
- Disorientasi disebabkan pencemaran bunyi bawah laut atau perubahan suhu
- Peristiwa upwelling yang membawa makhluk laut dalam ke permukaan
- Gangguan habitat akibat perubahan iklim dan pemanasan laut