suria

Badan rasa gatal, ada iritasi kulit... Rupanya mesin basuh kotor, ini bahagian perlu dicuci

Drum perlu dicuci secara berkala.

DALAM kalangan kita mungkin pernah mengalami kegatalan atau iritasi pada kulit tanpa mengetahui puncanya.

Namun siapa sangka, salah satu faktor tersebut yang sering diabaikan adalah menjaga kebersihan mesin basuh yang digunakan untuk mencuci pakaian.

Mesin basuh yang kotor boleh menyebabkan pakaian tidak dicuci dengan sempurna, sekali gus menyebabkan sisa kotoran masih degil untuk hilang.

Apatah lagi penggunaannya yang kerap, mesin basuh boleh mengumpul kotoran, habuk, dan sisa pencuci di bahagian dalamannya, terutamanya pada drum dan saluran air.

Oleh itu, adalah penting untuk membersihkan mesin basuh secara berkala bagi memastikan kebersihan pakaian serta mengelakkan masalah kulit yang tidak diingini.

Berikut adalah langkah-langkah yang boleh diikuti untuk membersihkan mesin basuh secara berkesan, yang dikongsikan Ku Muhammad Zaimm di media sosial.

Zaimm berkongsi tip membersihkan mesin basuh di media sosial.

1. Tanggalkan skru kipas

Ini bertujuan untuk memudahkan akses kepada bahagian dalaman yang sering mengumpul kotoran.

2. Buka penutup atas mesin basuh

Seterusnya, buka penutup atas mesin basuh untuk membolehkan anda melihat bahagian drum dan kawasan sekitar yang perlu dibersihkan.

3. Keluarkan nat drum

Gunakan peralatan yang sesuai untuk mengeluarkan nat drum mesin basuh.

Langkah ini penting bagi memastikan bahagian dalam drum dapat dibersihkan dengan lebih mendalam.

4. Alihkan drum

Selepas nat drum dikeluarkan, keluarkan drum dengan berhati-hati.

Ini akan memberi akses kepada bahagian bawah dan sekeliling drum yang mungkin dipenuhi dengan sisa pencuci dan kotoran.

Water inlet (kiri) dan drum (kanan) perlu dibersihkan.

5. Cuci drum dan kotoran yang melekat

Gunakan air bersih dan bahan pencuci yang sesuai untuk menggosok dan membersihkan permukaan drum.

Pastikan semua kotoran dan habuk yang melekat dibuang sepenuhnya.

6. Bersihkan bahagian water inlet

Selain drum, bahagian water inlet juga perlu dicuci.

Water inlet sering menjadi tempat terkumpulnya sisa sabun dan mendapan air, yang boleh menyebabkan aliran air menjadi tidak lancar.

Dengan mengikuti langkah-langkah ini, anda dapat memastikan mesin basuh sentiasa dalam keadaan bersih dan bebas daripada kotoran yang boleh menjejaskan kebersihan pakaian.

Artikel Lain