SETIAP penunggang motosikal pasti mengharapkan perjalanan yang lancar, lebih-lebih lagi jika berada di lebuh raya.
Namun, situasi tidak diduga boleh berlaku seperti tayar pancit secara tiba-tiba.
Begitulah yang dialami seorang pemuda dikenali sebagai Muhammad Ishraf dan sekumpulan rakannya ketika dalam perjalanan pulang dari percutian di Hatyai, Thailand.
Menerusi perkongsian di TikTok, Ishraf menceritakan detik cemas apabila motosikal ditunggangnya bocor akibat permukaan tayar yang sudah botak.
Lebih membimbangkan, mereka tidak membawa 'cacing' untuk menampal kebocoran tersebut.
Teknik kecemasan (emergency skill) menggunakan rumput
Dalam keadaan terdesak, pemuda ini menggunakan kaedah alternatif dengan mengisi rumput yang digulung-gulung ke dalam ruang antara tayar dan tiub.
Teknik ini bertujuan untuk memberi sedikit sokongan kepada tayar supaya ia tidak terus terjejas teruk sehingga tiba di bengkel berdekatan.
Menurutnya, jika perjalanan diteruskan tanpa sebarang isian, risiko lebih besar boleh berlaku seperti rim tayar menjadi bengkok dan seterusnya menyebabkan kerosakan lebih serius.
Ishraf menyumbat gumpalan rumput pada celahan tayar yang bocor.
Hubungi peronda PLUS untuk bantuan
Selain menggunakan rumput sebagai penyelesaian sementara, penunggang motosikal boleh mendapatkan bantuan daripada peronda lebuh raya.
Ramai yang tidak tahu bahawa peronda lebuh raya beroperasi 24 jam dan mereka bukan hanya membantu kenderaan empat roda sahaja.
Peronda lebuh raya mempunyai kelengkapan termasuk pam tayar dan 'cacing' untuk membantu penunggang motosikal yang mengalami masalah tayar bocor.
Perkongsian ini mendapat perhatian ramai di TikTok kerana teknik yang dikongsikan boleh menjadi penyelesaian sementara dalam keadaan darurat.
Untuk makluman, cacing merujuk kepada alat pembaikan tayar yang digunakan untuk menampal kebocoran kecil pada tayar tanpa tiub atau tubeless.
Ia berbentuk jalur getah menyerupai cacing yang dimasukkan ke dalam lubang tayar menggunakan alat khas bagi menutup kebocoran.
Teknik ini sering digunakan sebagai penyelesaian sementara sebelum mendapatkan pembaikan penuh di bengkel.