suria

Jangan asyik nak makan luar, masak lebih jimat... Ini 5 peringatan untuk pengantin baharu, hidup berdua lebih ‘keras’

Berpindah masuk ke kediaman baharu memerlukan perbelanjaan yang bukan sedikit. -Gambar hiasan/The Star

PASANGAN yang baru melangkah ke alam rumah tangga sudah pasti akan memulakan fasa baharu dalam kehidupan.

Perkara pertama yang akan dilakukan adalah berpindah ke kediaman sendiri dan hidup berdikari sebagai pasangan suami isteri.

Namun, berpindah ke kediaman baharu bukanlah satu perkara yang mudah.

Sudah pastilah ia melibatkan kos yang bukan kecil jumlahnya kerana perlu menyediakan wang deposit untuk menyewa, membeli perabot dan perkakas rumah, membayar sewa lori untuk mengangkut barang dan pelbagai lagi perbelanjaan yang perlu ditanggung.

ARTIKEL BERKAITAN: Cara pengantin ini buat ‘saving’ sebelum kahwin nampak logik... Tahu-tahu dah ada RM24,000!

Justeru, adalah penting untuk pasangan pengantin baru atau bakal mempelai membuat perancangan kewangan yang teliti agar tidak 'terkucil' ketika mahu memulakan kehidupan berdua.

Berikut dikongsikan lima tip yang boleh dijadikan panduan buat pasangan pengantin:

1. Persediaan lebih awal

Pastikan anda sudah membuat persediaan sekurang-kurangnya tiga bulan lebih awal sebelum memasuki rumah.

Dalam tempoh ini, anda sudah boleh membeli barang keperluan penting seperti peti sejuk, dapur memasak atau barang lain sedikit demi sedikit.

Ini bagi memastikan anda tidak mengeluarkan belanja sekali gus ketika mahu berpindah rumah nanti.

pindah 2

Memasak dapat menjimatkan perbelanjaan bulanan keluarga. -Gambar hiasan

2. Bezakan antara keperluan dan kehendak

Senaraikan barangan atau keperluan yang penting sahaja dahulu untuk dibeli.

Dalam tempoh ini, perabot tambahan seelok-eloknya dibeli kemudian berpandukan bajet masing-masing. Begitu juga dengan dekorasi dalaman (interior design) yang boleh dilakukan kemudian.

Tidak perlu untuk membeli perkakas atau barang baru sekiranya anda boleh menggunakan yang sedia ada dari rumah bujang ataupun diperoleh daripada hadiah kahwin. Jimat berganda, bukan?

3. Wang simpanan atau tabung khas

Berbincang dengan pasangan untuk membuat tabungan yang mungkin akan digunakan semasa kecemasan.

Contohnya anda terpaksa mengeluarkan perbelanjaan untuk membaiki kerosakan barangan tertentu, membuat pendawaian, dan sebagainya.

Secara tidak langsung, anda tidak perlu kerap membuat pengeluaran wang daripada akaun simpanan.

Selain wang simpanan tidak diusik, secara tidak langsung, anda dapat mengesan perbelanjaan yang dilakukan apabila mempunyai tabung khas ini.

4. Buat bajet

Menyediakan belanjawan mingguan atau bulanan juga penting agar anda dan pasangan dapat mengawal perbelanjaan khususnya melibatkan barang dapur, bil utiliti dan komitmen lain.

Tidak dinafikan, waktu ini pasti anda mahu membeli macam-macam barangan terutama ketika mengunjungi ekspo perabot yang menawarkan promosi.

5. Kurangkan makan di luar

Tindakan ini mungkin kecil tapi sedikit sebanyak ia tetap memberikan impak yang besar.

Sebagai contoh, anda memperuntukkan sekitar RM300 sebulan untuk membeli barangan dapur. Bandingkan jumlah yang sama digunakan untuk makan di luar untuk enam atau tujuh kali sahaja.

Biarlah masakan yang simple, tapi jika dicongak, silap hari bulan boleh jimat ratusan ringgit.

Pendek kata, biarlah bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian. Selamat mencuba!

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain