suria

Cintai seni warisan dan budaya... lelaki ini cetuskan ‘Misi Mencari Melayu’

Munir bergambar dihadapan pintu gerbang kayu yang diukir unik di Kampung Serada di Kuala Lumpur Terengganu. - Gambar Instagram @munirshaari

TIDAK hanya berbangga dengan warisan Melayu, lelaki ini berhasrat untuk mempamerkan kekayaan budayanya kepada dunia dengan cara paling mudah dan santai iaitu melalui Instagram.

Lima tahun lalu, Munir Shaari mewujudkan akaun Instagram @misimencarimelayu di mana dia memuat naik gambar berkaitan budaya, seni bina dan tradisi masyarakat Melayu.

ARTIKEL BERKAITAN: Hebat, pemuda ini mahir tulis khat walau kidal! Berbaloi dalami ilmu, kini dah boleh jana pendapatan

Bagi pemuda berusia 35 tahun ini, penting untuknya berkongsi warisan dan budaya Melayu untuk tatapan orang ramai kerana ia adalah sebahagian daripada identiti sebagai seorang bangsa Melayu dan sejarah di sebaliknya.

"Jika asas kita kukuh, kita akan lebih yakin dan bangga dengan siapa diri kita, tambahan pula dengan mengetahui budaya sendiri menjadikan hidup terasa lebih lengkap dan menarik.

"Saya pilih Instagram kerana ia adalah saluran yang digunakan ramai daripada kita, ia adalah medium yang tidak rumit malah memudahkan lagi penyebaran maklumat," kata anak kelahiran Sitiawan, Perak ini.



Rumah Uda Manap menampilkan ukiran kayu keras yang unik.

Pengurus resort di Pulau Pangkor ini memberitahu minatnya itu turut membuatkan dia memahami dan mempelajari kepentingan mengekalkan identitinya.

"Saya seorang yang suka membaca, menonton program mengenai sejarah kontemporari, penggembaraan dan budaya seperti National Geographic Channel dan Discovery Channel.

"Ia bukan semata-mata memuat naik gambar yang menarik tetapi saya sendiri dapat belajar lebih banyak tentang budaya, sejarah dan tradisi saya," kata bapa kepada dua cahaya mata itu.

Dalam pada itu, Munir berkata, kunjungan ke Pulau Bali pada 2014 telah membuatkan dia tertarik dengan masyarakat di sana yang pada pemerhatiannya cukup berbangga dengan identiti dan budaya mereka.

Perkara itu juga menurutnya telah memberi inspirasi dan idea kepadanya untuk melakukan perkara sama apatah lagi budaya Melayu sendiri sarat dengan keunikan tersendiri.



Seni ukiran kayu mengetengahkan konsep warisan budaya itu sendiri.

"Saya diberitahu bahawa kanak-kanak di Bali diajar tentang seni tradisional seperti menari, mengukir kayu dan bermain gamelan pada usia muda. Dengan cara itu mereka dapat menyerapkan nilai-nilai cintakan budaya dan warisan dalam diri generasi baru.

"Itu juga membuatkan saya mempersoalkan tentang budaya dan asal usul saya... Selepas dapat dorongan daripada isteri, saya buka akaun Instagram supaya dapat berkongsi perjalanan dan penemuan saya kepada masyarakat," katanya yang sehingga kini telah memuat naik 200 gambar di halaman tersebut.

Antara gambar yang dimuat naik termasuklah kepelbagaian rumah warisan, peralatan dapur kuno yang dijumpai sekitar Malaysia, Bali dan Singapura sejak 2015.

"Ada di antara rumah warisan yang saya temui daripada perkongsian rakan-rakan, carian di internet malah penduduk kampung yang saya temui banyak berkongsi sejarah dan ilmu tentang artifak, seni bina dan sebagainya.

"Dari situ buat saya rasa terdorong untuk menyiarkan dan berkongsi pengetahuan yang saya dapat di Instagram. Selain itu, saya tidak pernah berhenti mencari buku rujukan mengenai warisan Melayu," katanya yang turut mempunyai banyak koleksi buku vintaj mengenai rumah dan artifak warisan Melayu.



Keindahan corak dan seni bina dapat dilihat pada bot yang diilhamkan oleh alam semula jadi.

Bagi membuatkan perkongsiannya lebih menarik, Munir turut membahagikan gambar-gambarnya kepada enam kategori iaitu Santapan, Upacara, Kitab, Seni bina, Lukis dan Bunyi.

Menerusi semua kategori, Munir memberitahu dia paling suka tentang seni bina, ukiran kayu, makanan dan alam semula jadi kerana ia saling berkait rapat.

"Budaya Melayu sentiasa diilhamkan oleh alam semula jadi terutamanya darat dan laut. Sebab itu juga orang Melayu memanggil negara kita sebagai tanah air. Kita tidak boleh wujud tanpa yang lain," katanya.

Tambah Munir, Allahyarham bapanya, Kapten (B) Shaari Abd Raof banyak memainkan peranan penting dalam menyemai minatnya terhadap warisan budaya Melayu.

"Abah suka melancong. Dia kadang-kadang membawa kami bercuti dan mendedahkan kami kepada budaya yang berbeza. Beberapa perjalanan yang paling tidak dapat dilupakan ialah menonton tarian Apsara di My Son Champa Sanctuary di Vietnam, melawat Whakarewarewa Living Maori Village di New Zealand dan belajar tentang Orang Asli Amerika di Taman Negara Yosemite California.



Keunikan seni binaan lama Istana Tengku Long atau Istana Indera Segara di bina pada tahun 1904 oleh Cik Hat.

"Setiap perjalanan adalah pendidikan dan menunjukkan betapa indah dan hebatnya perbezaan setiap orang dan budaya di dunia," ujarnya.

Munir berharap apa yang dilakukannya dapat menyemarakkan minat golongan belia untuk mempelajari budaya dan tradisi mereka.

"Golongan muda mahukan semangat kekitaan, sama ada melalui agama, budaya pop, ideologi atau pasukan bola sepak. Sama pentingnya untuk mengajar generasi muda di sekolah tentang budaya kita. Cipta mata pelajaran wajib di sekolah sama ada tarian, muzik atau ukiran kayu, dan dedahkan mereka kepada budaya dengan pergi ke festival, muzium dan acara seni.

"Mudah-mudahan ini dapat memberi inspirasi kepada mereka untuk mempelajari tentang warisan asal mereka," kata Munir, yang berharap untuk pergi ke Indonesia, Thailand dan Filipina untuk bertemu masyarakat Melayu yang tinggal di sana apabila pintu pelancongan mula dibuka kelak.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain