suria

Wanita ini sedih masih ada golongan tolak ilmu, belajar dan mengajar Mandarin dikatakan ‘agungkan bahasa bangsa lain‘

Wanita ini membantu golongan yang ingin mengusai bahasa Melayu dan bahasa Mandarin dengan lebih baik.

TIDAK memiliki darah kacukan Cina, wanita dari Skudai, Johor ini membuktikan dirinya mampu mengajar bahasa Mandarin seperti seorang profesional.

Menurut Faiezah Ahmad Fauzi, dia tidak memiliki ramai kawan Melayu selain pelajarnya sendiri, sebaliknya hanya berkawan dengan ahli keluarga dan rakan berbangsa Cina sejak kecil.

ARTIKEL BERKAITAN: Nak tumbuhan sihat... jom cuba siram air gula, pasti segar tanaman anda!

Bercerita kepada mStar, dia yang mesra disapa Cikgu Zazah mula belajar bahasa Mandarin sejak berumur tiga tahun di sebuah sekolah tadika Cina sebelum menamatkan pengajian dari tingkatan satu hingga tingkatan enam di sebuah sekolah swasta Cina.

"Semua subjek saya belajar dalam bahasa Mandarin kecuali Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu. Sajak pun dalam tulisan Cina," tambahnya.

Cikgu Zazah yang kini berkhidmat sebagai pensyarah di sebuah universiti di Skudai, Johor berkata, dia sudah terbiasa sejak dari kecil berkawan dengan individu berbangsa Cina.

"Tujuan ayah menghantar saya bersekolah di situ sejak kecil supaya saya memiliki peluang besar dalam berurusan dengan orang Cina dalam bidang bisnes.

"Ayah pernah cakap dulu, nanti mudah dia nak deal bisnes... tak perlu upah translator," imbasnya.

Bercerita lanjut, ibu kepada dua cahaya mata ini berkata, tamat persekolahan dia kemudian melanjutkan pelajaran di sebuah universiti di Kampar, Perak dalam jurusan Psikologi dan di situ juga memiliki hampir 90 peratus kawan berbangsa Cina.



Faiezah bersama rakan-rakan yang tinggal serumah dengannya semasa belajar di universiti.

Mengimbau kembali zaman persekolahannya, Cikgu Zazah bersyukur apabila dikelilingi rakan yang baik dan tidak pernah menyisihkan kehadirannya walaupun pada asalnya agak sukar untuk menyesuaikan diri kerana perbezaan agama dan budaya.

"Mereka ni kita kena beritahu kalau tidak mereka tak akan tahu. Contohnya saya cakap agama saya melarang makan babi atau minum arak baru mereka faham," jelasnya.

Cikgu Zazah, bagaimanapun mengakui tidak terlepas daripada kata-kata negatif daripada segelintir orang sekeliling, namun hal itu tidak pernah membuatkan dia patah semangat dan mengabaikan sahaja perkara tersebut.

Ambil keputusan mengajar Mandarin

Setelah menamatkan pengajiannya, Cikgu Zazah mendedahkan bahawa dia mengalami fasa 'down' apabila tidak memiliki sumber kewangan yang stabil pada ketika itu.

Ketika itulah dia mengambil keputusan untuk mengajar di sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina di Skudai, Johor sebagai guru bahasa.

"Mula-mula mengajar tu agak tertekan sebab saya tak minat mengajar tetapi bila tengok keputusan pelajar semakin baik, dari gred F ke C, B boleh jadi A, saya terus jadi lagi semangat nak teruskan mengajar.

"Saya mengajar pelajar Cina sampai ada yang dapat A subjek Bahasa Melayu. Ada mak ayah yang datang jumpa saya cakap happy tengok peningkatan keputusan ujian anak mereka," ujarnya.

Ternyata usahanya sebagai pendidik tidak terhenti di situ sahaja apabila telah ditaja oleh sebuah pusat kebudayaan untuk menjalani kursus latihan mengajar bahasa Mandarin di China.



Bersama-sama dengan pelajar lain semasa berada di Guang Zhou, China.

Selepas memiliki kemahiran setelah mengikuti program tersebut, dia mula menerima orang dewasa yang berminat untuk belajar dan menjadi pelajarnya.

Kini dia bersama suaminya, Badrun Nidzam Mohamed Derapar, 36, yang merupakan graduan sebuah universiti di Mesir membuka pusat tuisyen mereka sendiri di mana suaminya mengajar mengaji dan ilmu agama manakala dia sebagai guru mengajar Mandarin.

Buat masa sekarang dia mengadakan kelas online asas secara percuma di live Facebook, Instagram dan TikTok secara serentak kepada mereka yang ingin mempelajarinya.

"Pelajar saya banyak dari bangsa Cina yang nak belajar bahasa Melayu. Mereka akan ajukan soalan-soalan atau perkataan yang mereka tak tahu sebut Melayunya untuk saya terangkan semasa buat live," kata Cikgu Zazah.

Budaya baik bangsa Cina menjadi ikutan

Bercerita lanjut Cikgu Zazah berkata antara budaya yang menjadi ikutan selama berkawan dengan rakan Cina adalah disiplin mereka dengan masa dan juga dari segi kewangan.

"Apa yang saya lihat mereka tak suka meminta-minta, kalau mereka mahukan sesuatu, mereka usahakan sendiri sampai dapat," kata Cikgu Zazah.

Selain belajar di sekolah, Cikgu Zazah berkata dia lebih gemar menonton drama atau filem Cina di televisyen kerana mendapat akses siaran di Singapura kerana dia menetap bersama keluarga di Johor.



Cikgu Zazah bersama pelajar-pelajar yang megikuti kelas tambahan diadakan.

Dalam pada itu Cikgu Zazah juga banyak menghabiskan masa lapangnya menonton YouTube.

Dia lebih gemar menonton cerita genre perang yang memiliki sejarah dahulu kala berbanding cerita berunsur romantis.

"Kalau tengok cerita Cina dekat rumah saya akan translate dekat suami sebab dia tak reti cakap Cina," tambahnya.

Cabaran mengajar bahasa bangsa lain

Selain menjadi guru bahasa secara online, Cikgu Zazah juga merupakan pensyarah sepenuh masa di sebuah institut di Johor yang mengajar subjek Mandarin.

"Pernah juga ada orang tegur masa saya live tengah mengajar, awak Melayu kenapa nak agungkan bahasa bangsa lain?" katanya yang berasa pelik dengan pertanyaan tersebut.

"Sampai ada yang suruh saya pergi mengaji, padahal suami saya sendiri ustaz mengajar mengaji tak cakap macam tu," ujarnya.



Gambar Faiezah semasa mengajar di kelas tambahan.

Bagi Cikgu Zazah semua orang perlu berebut mencari ilmu, bukan menolak ilmu.

"Sampai satu tahap tu, ada yang hantar gambar bukan-bukan dekat saya. Kadang-kadang saya tak tahan kena tegur masa live, saya ambil keputusan block sahaja orang yang tiada adab," keluhnya.

Niat baik yang disalah erti tidak pernah mematahkan semangatnya untuk terus mengajar kerana dia mahu setiap individu dalam masyarakat berkawan dengan semua kaum.

Pelajarnya sendiri semakin berkembang di media sosial di mana dia kini memiliki jumlah pengikut yang ramai dan setia dengan sesi live yang diadakan setiap hari.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Berkaitan

Artikel Lain