suria

Untungnya 15,000 pelajar UM... MR D.I.Y. dan Touch ‘n Go eWallet bagi RM300 setiap seorang!

Ketua Pegawai Eksekutif Touch 'n Go Group, Effendy Shahul Hamid (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif MR D.I.Y. Group (M) Berhad, Adrian Ong bekerjasama memberi bantuan RM300 kepada 15,000 pelajar Universiti Malaya.

SERAMAI 15,000 pelajar di Universiti Malaya (UM) yang bakal kembali ke universiti bermula Oktober ini bakal menerima RM300 sumbangan jenama peruncit tempatan, MR D.I.Y. bagi membantu mereka membeli barangan keperluan untuk kegunaan di kampus.

Menerusi program #DIY4UM itu, ia melibatkan bantuan tunai sebanyak RM4.5 juta yang dilaksanakan hasil usaha sama Touch 'n Go melalui platform e-wallet.

ARTIKEL BERKAITAN: Klasik! Idea 4 sepupu nak gembirakan jiran tetangga, kini ‘Kopi Jiran’ jadi buruan penggemar kopi

Bantuan tunai ini akan diberikan kepada pelajar berkenaan melalui Touch ‘n Go eWallet menerusi tiga kali pembayaran sebanyak RM100 pada 1 dan 30 November dan bayaran terakhir pada 30 Disember 2021.

Universiti Malaya

Pelajar Universiti Malaya akan kembali ke kampus bermula Oktober.

Ketua Pegawai Eksekutif MR D.I.Y. Group (M) Berhad, Adrian Ong berkata, program itu diadakan dengan tujuan membantu pelajar membuat persiapan kembali ke kampus dengan lancar.

"Pembukaan semula kampus adalah satu perkara penting untuk pelajar universiti. Selepas sekian lama menjalani PKP, mereka akhirnya dapat kembali meneruskan pengajian di kampus dan menghadiri kuliah secara bersemuka.

"Jadi kami percaya adalah penting untuk semua pelajar lengkap dengan barangan keperluan termasuk dari segi perlindungan diri dan pembelajaran agar mereka kekal selamat serta dapat memberi tumpuan kepada pengajian," katanya.

Touch 'n Go eWallet

Pemohon perlu mendaftar melalui portal Maya UM bermula 3 Oktober sebagai bukti mempunyai Touch 'n Go e-Wallet.

Dalam pada itu, Ong memberitahu pelajar dapat mempersiapkan diri dengan pelbagai barangan keperluan pembelajaran, perlindungan daripada Covid-19 dan sebagainya di cawangan MR D.I.Y. serta platform dalam talian menggunakan kredit tunai yang diberikan.

Selain itu juga kata Ong, pelajar juga bakal menikmati promosi pulangan tunai eksklusif sebanyak RM10 apabila mereka membuat perbelanjaan minimum sebanyak RM20 di mana-mana cawangan MR D.I.Y., platform e-dagang atau melalui program mini MR D.I.Y. di Touch 'n Go e-Wallet.

Program ini adalah sebahagian daripada usaha sama strategik di antara MR D.I.Y dan Touch ‘n Go yang dimeterai pada bulan Julai tahun ini.

file7dqj760974i5wt7u5vm

Pelajar boleh menggunakan bantuan tunai itu untuk membeli barangan keperluan di MR D.I.Y.

Mengulas tentang program bantuan tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Touch 'n Go Group, Effendy Shahul Hamid berkata, pihaknya teruja dengan usaha sama itu bagi manfaat komuniti khususnya pelajar UM terutamanya dalam situasi pandemik ketika ini.

"Semua pelajar tempatan di UM layak untuk menerima bantuan ini. Mereka hanya perlu mendaftar dalam talian melalui portal Maya UM bermula 3 Oktober 2021 untuk membuktikan mereka mempunyai e-wallet Touch 'n Go yang sah," katanya.

Untuk maklumat lanjut, layari laman web dan platform e-dagang MR D.I.Y. selain media sosialnya di Facebook dan Instagram.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain