suria

“Singgah beli satu barang pun buat kami cukup gembira” - Peniaga R&R, pekerja dan pembekal harapkan sokongan ramai untuk terus bertahan

Sokongan ramai terhadap peniaga R&R, pekerja dan pembekal amat membantu ketika waktu sukar ketika ini.

SETIAP kali singgah di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) paling tidak pasti kita akan membeli makanan atau minuman sebelum meneruskan perjalanan.

Kesempatan itu juga boleh membeli pelbagai buah-buahan tempatan serta barangan kraf sebagai buah tangan untuk keluarga dan sahabat handai di kampung.

ARTIKEL BERKAITAN: Wira lebuh raya tolong tukar tayar, malah sambut kelahiran bayi... PLUSRonda sambut ulangtahun ke-31

Bukan sahaja kita gembira tetapi pengendali perniagaan di R&R juga mampu tersenyum kerana kehadiran pelanggan adalah sumber rezeki mereka.

Tetapi kini 600 pengendali perniagaan di sepanjang Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) merasai kesan pandemik apabila tidak ramai pelanggan singgah ke R&R ekoran larangan merentas negeri.

Tajudin

Tajuddin Ahmad (kiri) dan salah seorang tukang masaknya menyediakan juadah meskipun tidak mempunyai ramai pelanggan di R&R Gurun arah Utara.

Namun mereka masih tidak patah semangat dan masih meneruskan perjuangan mempertahankan perniagaan masing-masing dan berharap ada sinar menanti mereka selepas ini.

Lebih menggembirakan apabila pihak PLUS Malaysia Bhd (PLUS) memperkenalkan kempen Satu Pembelian, Seribu Harapan dalam menggalakkan pelanggan singgah ke R&R.

Kempen itu turut dilihat dapat membantu kelangsungan perniagaan dan kitaran ekonomi meskipun dalam situasi sukar dihadapi peniaga ketika ini.

"Satu pembelian pun sudah membawa erti yang cukup besar kepada kami kerana ia memberi manfaat kepada banyak pihak," kata Yin Thyen Chun yang juga peniaga di R&R Ulu Bernam arah Selatan.

Hampir 90 peratus pelanggan hilang, pemandu lori 'penyelamat' peniaga

"Berbeza sebelum Covid-19 melanda negara, kemeriahan di R&R antara yang membuatkan kami sebagai peniaga bersemangat tetapi kini melihat suasana lenggang tanpa pelanggan memang rasa sedih.

MP

Meskipun menghadapi situasi sukar namun pengendali perniagaan di R&R tidak berputus asa.

"Ada rakan-rakan peniaga yang terpaksa menutup kedai kerana tidak mampu menanggung kos yang meningkat setiap hari tetapi itulah hakikat yang terpaksa dihadapi ketika ini," kata Tajuddin Ahmad yang juga peniaga restoran makanan nasi kandar di R&R Gurun arah Utara.

Tajuddin, 61, memberitahu sebelum pandemik pelanggan yang datang ke restorannya boleh mencecah 500 orang namun kini tinggal hanya 10 peratus.

Katanya, kebanyakan pelanggannya kini adalah pemandu lori, treler, bas selain orang awam yang mendapat kebenaran merentas negeri.

"Sebelum ini masak memang tidak berhenti sebab pelanggan yang datang cukup ramai. Sekarang kalau masak dalam kuantiti sedikit pun pasti akan ada lebih dan terpaksa dibuang," ujarnya yang sudah berniaga di R&R itu sejak 22 tahun lalu.

Mr. Yin Thyen Chun & his assistant Mr. Yin Chee Kong

Yin Thyen Chun (kanan) dan bapanya, Yin Chee Kong berharap pandemik segera berakhir dan R&R kembali meriah dengan pelanggan.

Perkara sama turut dirasai oleh Yin yang juga pemilik restoran Uncle Yin Noodles di R&R Ulu Bernam arah Selatan di Perak.

Kata Yin, 45, dia cukup merindui suasana meriah di R&R itu apatah lagi restoran milik asal bapanya, Yin Chee Kong mempunyai ramai pelanggan tetap yang sukakan mi kicap dan wantan sup resepi keluarganya.

"Sebelum ini bapa memang rajin berbual dengan pelanggan yang singgah ke gerai kami tetapi sekarang keadaan sudah berbeza.

"Kehadiran pemandu lori boleh dikatakan sebagai penyelamat meskipun jumlah yang singgah membeli makanan tidak ramai tetapi sekurang-kurangnya kami dapat meneruskan perniagaan," ujarnya.

Pekerja bagaikan keluarga

Bagi Chandran Vythialingam yang berniaga nasi kandar di R&R Ayer Keroh arah Selatan memberitahu dia berusaha sedaya upaya mengekalkan kesemua enam orang kaki tangannya meskipun terpaksa memotong gaji mereka.

Mr Chandran

Chandran sudah 17 tahun berniaga di R&R Ayer Keroh, Melaka dan masih bertahan demi kelangsungan hidup dan menjaga kebajikan pekerjanya.

"Setakat ini saya tiada perancangan untuk membuang pekerja kerana mereka adalah tulang belakang saya sejak mulakan perniagaan ini 17 tahun lalu.

"Sebaliknya saya cuba jelaskan situasi semasa sekarang dan mujur mereka faham. Sebagai seorang 'bapa' saya tak sanggup untuk abaikan dan tinggalkan mereka begitu sahaja," ujarnya.

Kongsi Chandran, berkat menyimpan sebelum ini, ia sedikit sebanyak dapat membantu menampung membayar gaji selain cuba mengurangkan kos lain seperti bahan mentah dan sebagainya.

Malah ketika ini katanya, dia lebih menumpukan kepada masakan ala carte termasuk hidangan popularnya iaitu nasi goreng udang dan nasi goreng kambing untuk pelanggan yang singgah di restorannya.

Dua bulan kedai terpaksa ditutup!

Bagi peniaga kraf tangan di R&R Sungai Perak arah Utara, Nizamuddin Ahmad, memori selama 28 tahun berniaga di R&R membuatkan dia terus bertahan mengharungi situasi sukar ketika ini.

R&R Rawang

Suasana di R&R Rawang yang meriah dengan kehadiran pelanggan sebelum pandemik.

Terkenal dengan produk seperti labu sayong dan tikar mengkuang dalam kalangan pelanggan, Nazimuddin memberitahu sudah dua bulan dia terpaksa menutup gerainya disebabkan bukan dalam kategori barang keperluan sekaligus terputus sumber pendapatan.

"Alhamdulillah setakat ini saya bertahan dengan simpanan yang ada selain ada sumber pendapatan daripada rumah sewa. Sekurang-kurangnya dapat juga meneruskan kehidupan dan membayar gaji pekerja.

"Semangat itu masih kuat kerana sudah lama saya terlibat dalam bidang ini, tetapi buat masa sekarang apa boleh saya lakukan adalah tunggu dan lihat dan akan cuba bertahan sampailah saya 'terduduk'," katanya.

Pun begitu, di sebalik kepayahan yang terpaksa dilalui ketika ini, Rakan Niaga mampu menarik nafas lega atas keperihatinan pengurusan konsesi yang banyak memberi bantuan termasuk pengurangan sewa sejak Mac tahun lalu berikutan impak sekatan perjalanan rentas negeri.

Puan Akmal

Nur Akmal kini memberi tumpuan kepada jualan secara dalam talian ekoran kekurangan pelanggan singgah ke kedainya.

Malah mereka menyambut baik pengumuman PLUS baru-baru ini yang melanjutkan bantuan sewa tiga bulan bermula Ogos hingga Oktober depan termasuk pengecualian sewa bulanan peniaga di R&R Gelang Patah (arah utara dan selatan) susulan penutupan sementara sempadan Malaysia-Singapura.

Tidak terkecuali, pengecualian sewa bulanan selama dua minggu kepada Rakan Niaga di Selangor yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sebelum ini.

Jualan dalam talian usaha selamatkan perniagaan, tiada istilah putus asa!

Pemilik gerai Keropok Cap Mutiara di R&R Perasing Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2), Nur Akmal Alias tidak menjadikan pandemik sebagai alasan untuk berputus asa sebaliknya bersikap tenang dalam mencari penyelesaian.

Menyifatkan ia dugaan dan cabaran dalam perniagaan, Nur Akmal, 40, optimis dalam situasi itu meskipun adakalanya terdetik di hati perasaan sedih.

"Alhamdulillah sejak awal pandemik lagi saya sudah jangka situasi sekarang akan berlarutan lebih lama dan saya sudah buat pelan B sebagai sandaran, berputus asa bukan pilihan," jelas bekas jurutera perisian perbankan yang telah tujuh tahun bergelar rakan niaga Plus di R&R tersebut.

Encik Nizam

Nizamuddin sudah dua bulan tidak membuka kedai kraf tangannya di R&R Sungai Perak arah Utara.

Mengakui jualan Keropok Cap Mutiara keluaran sendiri merosot sebanyak 90 peratus, Nur Akmal tidak menanti keajaiban sebaliknya mengambil inisiatif mempromosikan jenama itu di laman sosial selain kaedah jualan dalam talian.

"Alhamdulillah kini produk Keropok Cap Mutiara sudah boleh dibeli menerusi aplikasi beli-belah Shopee dan ini adalah salah satu usaha saya untuk terus menghidupkan perniagaan," ujarnya.

Kongsi Nur Akmal, kekuatannya ingin mempertahankan gerai miliknya itu bukan sahaja disebabkan keluarga dan pekerjanya tetapi minat mendalam terhadap dunia perniagaan.

Malah kongsi anak kelahiran Terengganu ini, dia pernah menolak tawaran menyambung pengajian di peringkat Sarjana dalam bidang kejuruteraan di United Kingdom demi melibatkan diri dalam dunia perniagaan.

"Saya datang daripada keluarga yang kesemuanya memang usahawan, jadi ia sudah mengalir dalam diri saya. Malah kesemua adik-beradik lain pun turut terlibat dalam perniagaan sama.

KV Illustration v3_01

Kempen satu pembelian, 1,000 Harapan dapat membantu kelangsungan perniagaan Rakan Niaga di R&R.

"Sebab itu berputus asa bukan pilihan sebaliknya ini adalah masa untuk saya menjadi lebih kreatif mencari jalan lain sementara kedaan pulih," tuturnya.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

PLUS turut menjemput mereka yang mendapat kelulusan melakukan perjalanan semasa tempoh PKP ini untuk membuat pembelian makanan dan minuman menggunakan fungsi pra-pesanan melalui aplikasi PLUS dan membantu menyalakan seribu harapan.

Pelanggan lebuh raya boleh memuat turun aplikasi PLUS secara percuma dari Google Play Store atau Apple Store dan menggunakan fungsi Order Di Sini (Pra-Pesanan) untuk pesanan bawa pulang di R&R terpilih.

Sila layari www.plus.com.my untuk maklumat lanjut.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain