suria

Wira lebuh raya tolong tukar tayar, malah sambut kelahiran bayi... PLUSRonda sambut ulangtahun ke-31

PLUSRonda Intelligent Management System (PRIME) yang menggantikan Borang Catatan PLUSRonda untuk merekod sebarang insiden di lebuh raya.

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menerusi pasukan PLUSRonda yang ikonik cukup terkenal kerana tugasan mereka yang perlu memastikan keselamatan pengguna di sepanjang 1,000 kilometer jajaran lebuh raya PLUS dan LPT2 dengan 1.3 juta kenderaan setiap hari sejak ia ditubuhkan pada 1 April 1990.

Wira lebuh raya PLUS yang lengkap memakai seragam biru ini telah banyak menyelamatkan nyawa dan membantu pengguna jalan raya yang mengalami masalah sama ada tayar pancit, kenderaan rosak malah mereka pernah membantu pengguna lebuh raya melahirkan bayi selain membantu warga emas berjalan dari kereta ke laluan masuk Kawasan Rehat & Rawat (R&R).

ARTIKEL BERKAITAN: Madu kelulut mampu bantu jana pendapatan, sarang lebah dibina di tanah terbiar sekolah-sekolah tahfiz

Terbaharu, pasukan PLUSRonda turut berjaya membantu pengguna lebuh raya yang mengalami kerosakan kenderaan dan pada masa sama terpaksa bergegas mengejar penerbangan ke lapangan terbang.



PLUSRonda membantu pengguna lebuh raya.

Ia bertepatan dengan usaha syarikat ‘Komited Menjaga Pelanggan di Sepanjang Perjalanan’ dan wira lebuh raya ini membuatkan PLUS sentiasa bangga dengan pengorbanan dan komitmen mereka dalam melakukan sesuatu yang lebih baik.

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail berkata, PLUS telah mengorak langkah menerusi transformasi digital secara berperingkat sejak tahun 2017.

Pasukan PLUSRonda juga katanya telah melalui transformasi teknologi digital apabila di setiap kenderaan mereka diletakkan perakam video bagi merakam sebarang insiden.

Selain itu, inovasi terbaharu iaitu PLUSRonda Intelligent Management System (PRIME) yang menggantikan Borang Catatan PLUSRonda untuk merekod sebarang insiden di lebuh raya berupaya menjimatkan masa dan membolehkan pasukan PLUSRonda lebih fokus untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik ketika berhadapan dengan sebarang insiden.



PLUSRonda juga telah melalui transformasi teknologi digital.

"Selama 31 tahun sejak penubuhan pasukan PLUSRonda, dengan adanya teknologi PRIME ini, ia amat penting bagi membolehkan pasukan PLUSRonda berkomunikasi secara terus dengan Pusat Kawalan Trafik PLUS bagi mengkoordinasi bantuan kepada pelanggan lebuh raya.

"Selain itu, PRIME juga bukan hanya sekadar menggantikan penggunaan borang yang merekod secara manual, malah teknologi ini mampu menyumbang perkhidmatan yang lebih berkesan, efisien serta meningkatkan produktiviti.

"Pada masa yang sama, kami juga memodenkan kenderaan rondaan PLUSRonda yang sedia ada dengan memasang peranti yang lebih canggih serta ciri-ciri yang lain bagi memastikan mereka dapat membuat rondaan dan memantau lebuh raya dengan lebih selamat dan efektif," katanya.

Sementara itu, seramai 589 anggota PLUSRonda bertekad akan terus berusaha dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik berikutan pandemik Covid-19 yang masih melanda negara.



31 tahun menabur bakti, PLUSRonda tetap setia membantu pengguna lebuh raya.

Bertugas selama 24 jam sehari, 7 hari seminggu dan 365 hari dalam setahun meliputi jajaran Lebuh raya PLUS serta LPT2. Mereka juga turut bekerja rapat dengan pasukan Peronda Lebuhraya PDRM, Jabatan Pengangkutan Jalan dan agensi penguatkuasaan yang lain dalam memastikan lebuh raya PLUS selamat digunakan.

‘Walau Ketika Pandemik, PLUSRonda Tetap Dinamik’, merupakan tema ulang tahun PLUSRonda bagi tahun ini yang juga bertepatan dengan situasi negara yang masih berusaha memerangi penularan wabak Covid-19 dan bersesuaian dengan norma baharu,

"Berikutan dengan kehidupan norma baharu yang telah menjadi kebiasaan dalam kehidupan masa kini serta pergerakan rentas negeri masih tidak dibenarkan, pasukan PLUSRonda tetap memastikan tugasan mereka dilaksanakan walaupun ketika berdepan dengan cuaca hujan mahupun panas.

"Maka, tujuan utama bagi meraikan wira lebuh raya ini adalah sebagai tanda penghargaan kepada mereka," ujarnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain