suria

Semakin menjadi-jadi kes kamera tersembunyi, 4 langkah ini boleh bantu anda!

Kamera tersembunyi boleh dikesan dengan pelbagai cara.

PADA Ahad lalu, polis Daerah Gombak menahan seorang lelaki yang juga pekerja di sebuah kilang di Taman Perindustrian Batu Caves selepas disyaki meletakkan kamera tersembunyi berbentuk pen dalam tandas wanita.

Kamera itu dipercayai diletakkan di bawah sinki dalam tandas wanita di kilang tempatnya bekerja dan perbuatannya terbongkar selepas seorang pekerja wanita menemui kamera tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Ketahui 5 tanda aircond anda berada di ‘hujung hayat’, perlu diganti baharu

Kes penggunaan kamera tersembunyi di dalam tandas atau ruang peribadi memang banyak berlaku oleh pihak tidak bertanggungjawab yang menyalahgunakan teknologi demi kepuasan peribadi.

Lebih malang ada di antara pelaku yang tergamak menyebarkan rakaman tersebut sehingga mangsa terpaksa menanggung malu akibat perbuatan tersebut.

Pengasas Refine Digital, TJ McCue menjelaskan terdapat pelbagai cara untuk mengesan kamera tersembunyi terutamanya di tandas awam atau tempat-tempat tertutup yang mencurigakan.



Ada yang menyembunyikan kamera di bawah sinki.

1. Perhati keadaan sekeliling

Perhatikan keadaan sekitar untuk mengetahui sama ada terdapat sebarang perkara aneh atau luar biasa. Belek kabinet atau cermin yang digantung dalam posisi pelik.

Ini kerana terdapat beberapa titik yang sering digunakan untuk menyorokkan kamera seperti alat pengesan asap, hiasan dinding, penyangkut pakaian, kotak tisu dan sebagainya.

TJ memberitahu perhatikan pelbagai hiasan yang terdapat di dalam tandas untuk memastikan tiada kamera tersembunyi.

2. Padamkan lampu

TJ juga menyarankan jika berasa was-was, padamkan lampu dan gunakan lampu suluh telefon bimbit untuk memeriksa keadaan sekeliling.

Lensa kamera telefon katanya akan memantulkan cahaya walaupun ia bersaiz kecil apabila disuluh dengan cahaya. Bilik yang gelap akan memudahkan mencari kamera tersembunyi.



Tandas awam juga sudah tidak selamat.

3. Guna aplikasi

Seiring dengan teknologi, terdapat beberapa aplikasi yang boleh dipakai untuk mengetahui kedudukan kamera tersembunyi yang ada di sekitar kita.

TJ menyarankan untuk menggunakan aplikasi Fing yang sesuai untuk iOS dan anroid. Pun begitu, kaedah ini tidak begitu efektif kerana ada beberapa jenis kamera yang tidak boleh dikesan menerusi aplikasi.

4. Alih sebarang peranti mencurigakan

Cara seterusnya untuk menjaga keselamatan diri adalah dengan membuang atau mencabut sebarang peranti yang mencurigakan. Tutup apa sahaja benda yang kelihatan mencurigakan dengan tisu atau tuala sebagai keselamatan.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain