suria

Tiada pelanggan sejak pandemik, idea lelaki ini transform homestay jadi 'rumah ais krim' memang berbaloi - “Asal dua sekarang ada enam peti sejuk beku”

Perniagaan ais krim secara kecil-kecilan sebelum ini kini sudah berkembang maju.

SUDAH hampir setahun homestay yang diusahakan oleh Muhammad Hafiz Abu Bakar di Tasik Gelugor, Pulau Pinang tidak menerima tempahan disebabkan pandemik dan larangan merentas negeri.

Meskipun tidak bergantung sepenuhnya kepada perniagaan itu sebagai punca rezeki namun Muhammad Hafiz, 37, mengakui sedikit sebanyak ia memberi kesan kepada pendapatannya selain perlu menanggung kos seperti bil elektrik, air dan penyelengaraan kediaman itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Hebat, tak nampak macam di Malaysia! Pasangan suami isteri gigih ubah kuarters guru jadi farmhouse, kini library sekolah pula jadi sasaran

Enggan terus berpeluk tubuh mengenang situasi yang berlaku ketika ini, bapa kepada dua cahaya mata ini mengambil keputusan mengubah fungsi kediaman itu sebagai tempat menjual dan stor penyimpanan ais krim sejak sebulan lalu.

"Sebelum ini saya memang ada jual ais krim di rumah secara kecil-kecilan dan biasanya dibeli oleh kanak-kanak di kawasan perumahan.

Hafiz Pembekal 1

Muhammad Hafiz kini mempunyai enam buah peti sejuk beku untuk menyimpan ais krim.

"Apabila pandemik berlaku, permintaan terhadap ais krim meningkat mungkin disebabkan kanak-kanak tidak boleh keluar rumah dan ais krim adalah satu perkara yang boleh membuatkan mereka gembira.

"Jadi timbul idea untuk meluaskan perniagaan itu apatah lagi homestay yang saya usahakan tiada tempahan, jadi boleh gunakan rumah itu sebagai stor menyimpan stok," katanya kepada mStar.

Muhammad Hafiz memberitahu disebabkan permintaan tinggi pelanggan yang membeli secara pukal, dia turut menambah beberapa lagi peti sejuk beku untuk menyimpan stok ais krim.

Katanya, dia menjual pelbagai jenis ais krim dan tidak menyangka perminataan terhadapnya cukup tinggi dalam suasana pandemik ketika ini.

Pelbagai Jenis Ais Krim

Pelbagai jenis ais krim popsicle dijual.

"Alhamdulillah daripada dua peti sejuk beku, kini saya ada enam memandangkan perlu menyimpan lebih banyak stok ekoran permintaan tinggi.

"Bekalan juga saya ambil terus daripada kilang dan saya fokuskan kepada pelbagai perisa popsicle (ais krim batang)," katanya.

Muhammad Hafiz juga memberitahu pendapatan yang diraih melalui menjual ais krim melebihi ketika dia mengusahakan homestay berkenaan.

Sementara itu, Muhammad Hafiz berkata, perniagaan itu bukan sahaja membuka peluang menambah pendapatan kepadanya namun kepada pembeli yang membeli secara pukal.

Hafiz Pembekal 2

Muhammad Hafiz menitikberatkan soal SOP kepada pelanggan.

Ini kerana katanya, ada di antara pelanggannya membeli secara pukal untuk dijual semula di kawasan perumahan mereka.

"Pada awalnya saya tak terfikir bahawa perniagaan ini turut boleh membantu orang lain tetapi ia sebenarnya dapat membuka peluang pekerjaan ketika musim pandemik.

"Apatah lagi ais krim adalah 'comfort food' yang semua orang suka dan permintaannya juga cukup tinggi.

"Alhamdulillah ramai pelanggan yang datang daripada pelbagai tempat di Pulau Pinang yang datang membeli dan memberitahu membeli kerana ingin berniaga," katanya.

Pembekal

Ais krim turut dijual secara pukal kepada pembeli.

Tidak hanya menumpukan kepada pembelian secara pukal, Muhammad Hafiz memberitahu pelanggan juga boleh membeli dalam kuantiti dikehendaki di homestay berkenaan.

Sebagai menjaga SOP dan membendung penularan Covid-19, Muhammad Hafiz memberitahu dia menyediakan khidmat tempahan menerusi WhatsApp dan pelanggan boleh mengambil secara pandu laju.

"Pelanggan boleh melihat jenis ais krim yang dimahukan menerusi Facebook dan hanya perlu membuat tempahan menerusi WhatsApp dan terus ambil.

"Cara ini mudah kerana selain cepat ia mengurangkan kontak dan membendung penularan Covid-19," katanya.

Artikel Lain