suria

Warisan negara cerminan kita... Seni ukiran kayu melangkah ke era baharu

Kayu adalah bahan semula jadi yang sangat sesuai dijadikan ukiran dengan nilai estetika tinggi.

UKIRAN kayu adalah seni yang cukup sinonim dengan identiti masyarakat Melayu, malahan ia telah wujud sejak berabad lamanya. Meskipun dianggap sebagai industri desa, namun ia mempunyai potensi cukup besar kerana dianggarkan terdapat 3,000 spesis sumber kayu di negara ini.

Kayu adalah bahan semula jadi yang sangat sesuai dijadikan ukiran dengan nilai estetika tinggi, selain digunakan sebagai komponen tambahan kepada produk lain serta banyak digunakan dalam pembuatan perabot, kapal dan barang perhiasan.

ARTIKEL BERKAITAN: Menuju kegemilangan... Ayuh pereka muda, perkasakan industri buluh negara ke persada dunia

Sebagai contoh, penghasilan perabot yang digabungkan dengan ukiran kayu dapat memberi keunikan dan identiti tersendiri sekaligus dapat meningkatkan margin keuntungan lebih tinggi dari segi harga jualan.

Hal ini sekaligus turut menjelaskan mengapa ia cukup popular dalam kalangan masyarakat Malaysia kerana industri ini dapat mencapai nilai pasaran tahunan antara RM150 juta sehingga RM200 juta.



Ketua Pengarah Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), Mohd Kheiruddin Mohd Rani memberitahu industri ukiran kayu mempunyai potensi besar.

"Industri ukiran kayu memiliki potensi sangat besar dan menjamin pulangan yang menarik selain memiliki nilai estetika yang tinggi. Setiap motif yang diukir mempunyai plot dan cerita tersendiri.

"Ini yang memberikan sesuatu produk itu nilai tambah yang kuat, jika dipasarkan secara meluas di pasaran antarabangsa," kata Ketua Pengarah, Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), Mohd Kheiruddin Mohd Rani.

Ketika ini, terdapat kira-kira 500 pengusaha yang terlibat secara aktif dalam pelbagai kapasiti industri ukiran kayu di seluruh negara namun hanya 42 pengusaha yang aktif seperti adiguru, Abd Muhaimin Hasbollah.

Abd Muhaimin memberitahu ukiran kayu adalah warisan seni nasional yang akan pupus sekiranya ia tidak dipelihara sebaik mungkin, malahan berpendapat ia adalah tanggungjawab kerajaan, agensi berkaitan dan masyarakat dalam memastikan pembangunan berterusan terutamanya dalam usaha pemuliharaan, pendidikan dan dokumentasi.



Norhaiza Noordin merupakan seorang adiguru yang cukup mahir dan berpengalaman dalam bidang ukiran halus.

MTIB memegang tanggungjawab penting dalam melestarikan serta mengembangkan industri tersebut. Antara usaha awal dilakukan termasuklah merangka Pelan Pembangunan Strategik Ukiran Kayu 2021-2030 yang bertujuan untuk menggalakkan pengeluaran produk ukiran kayu secara besar-besaran bagi mewujudkan permintaan dan meningkatkan penjualan selain menghasilkan sumber pendapatan baharu dan lebih menguntungkan bagi pengukir kayu tempatan.

Antara fokus pelan strategik adalah penyelarasan perkembangan teknologi terkini termasuk memanfaatkan teknologi sedia ada agar pengukir kayu dapat terus kekal dalam tempoh jangka panjang sekaligus pengembangan industri tersebut dapat mencapai tahap lebih tinggi dalam tempoh lebih singkat.

Salah satu caranya adalah dengan meningkatkan kemahiran pengukir kayu termasuklah meningkatkan produktiviti dan penggunaan teknologi seperti pemotong laser, alat kawalan berkomputer untuk ukiran dan pencetak 3D yang dapat membuka ruang lingkup lebih luas terhadap pengeluaran dan penggunaan kayu ukiran.

Ketika ini, MTIB sedang melaksanakan program Lakar Meet Lakar untuk mengembangkan industri tersebut ke arah pengeluaran besar-besaran melalui kerjasama dengan pereka di Pusat Reka Bentuk Tanggam (TDC) bagi menghasilkan elemen ukiran kayu yang digabungkan bersama perabot moden.



Antara ukiran kayu di Lobi Utama Parlimen Malaysia yang cukup memukau.

Penolong Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan Industri MTIB, Nik Zuraihah Nik Mohammad berkata, tujuannya adalah untuk bergerak daripada produksi buatan tangan kepada proses besar-besaran iaitu memadankan pereka perabot dengan pengukir kayu bagi mereka perabot baharu.

"Ini adalah kaedah baharu untuk merancang lebih banyak karya kontemporari bagi memperkenalkan seni itu kepada generasi masa kini melalui pengeluaran besar-besaran.

"Reka bentuknya masih mengekalkan tradisi dan warisan kita, sementara alat produksi yang digunakan adalah moden," katanya sambil menambah bahawa pengukir kayu lebih terbuka dalam menerima perubahan dalam perniagaan untuk mempelbagaikan sumber pendapatan.

Lebih-lebih lagi, MTIB kini mengandakan usaha pemasarannya melalui saluran sedia ada serta program baharu dengan memfokuskan kepada kegiatan promosi di negeri-negeri sebelum ke peringkat nasional.



Adiguru, Abd Muhaimin Hasbollah pula cukup berpengalaman luas dalam bidang ukiran kayu.

Ia juga dalam usaha menjadikan Besut, Terengganu sebagai pusat ukiran kayu kebangsaan di mana pelbagai program berkaitan pembangunan ukiran kayu akan diadakan di situ.

Bagi meningkatkan penerimaan produk ukiran kayu di arena antarabangsa, MTIB juga akan mengenal pasti pasaran yang sesuai untuk aktiviti penerokaan dan promosi termasuk misi perdagangan yang boleh disertai pengukir kayu tempatan.

MTIB turut bercadang meningkatkan latihan kepada golongan yang berminat menyertai industri ini dengan mengadakan kursus sesuai dalam usaha mewujudkan generasi baharu pengukir kayu tempatan serta meneruskan tradisi tersebut.

Selain itu, pihak berkenaan sedang giat melakukan usaha merakam dan mengabadikan produk ukiran kayu bernilai tinggi seperti proses penghasilan dan ukiran pengukir, Mohd Salizan Abd Rahman di Singgahsana Istana Syarqiyyah, Terengganu untuk dijadikan rujukan generasi akan datang.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain