suria

Pelajar Malaysia dapat markah tertinggi dalam bidang pesawat di universiti UK, mahu jadi penyiasat nahas dikenali dunia

Arief meraih dua kejayaan sebaik menamatkan pengajian di Universiti Cranfield di UK.

BERMULA dari impian untuk bergelar juruterbang, siapa sangka anak kelahiran Malaysia ini mencatatkan kejayaan di universiti di United Kingdom (UK).

Bukan satu, tetapi dua pencapaian terbaik yang diraih Mohd Azrul Arief Mohd Azmi selepas menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Reka Bentuk Kenderaan Aeroangkasa pengkhususan dalam Reka Bentuk Pesawat di Universiti Cranfield di Bedford, UK pada akhir Jun lalu.

Kejayaan diraihnya adalah The Course Director's Prize for the best work in the field of Airframe Systems Design (Hadiah Pengarah Kursus untuk kerja terbaik dalam bidang Reka Bentuk Sistem Kerangka Udara) dan The Course Director's Prize awarded for the best Group Design Project Individual Thesis (Hadiah Pengarah Kursus untuk Tesis Individu Terbaik bagi Projek Reka Bentuk Berkumpulan).

Graduan Universiti UK 2

Bersama tenaga pengajar dan rakan sekelas di Universiti Cranfield.

Pemuda berusia 25 tahun dari Klang, Selangor itu mengakui pada mulanya menyimpan hasrat untuk menjadi juruterbang kerana mempunyai minat mendalam dalam industri penerbangan.

"Saya minat dalam penerbangan sejak sekolah menengah. Sebenarnya nak jadi juruterbang, biasalah cita-cita cliche. Tapi terpaksa dilupakan kerana saya memakai cermin mata (rabun mata) selain yuran untuk mengikuti jurusan tersebut yang agak mahal ketika itu.

"Selepas tamat SPM (Sijil Pelajaran Malaysia), saya ada dua pilihan untuk membuat permohonan melalui UPU (Unit Pusat Universiti) antara pertama iaitu Diploma Kejuruteraan Mekanikal dan kedua, Diploma Kejuruteraan Teknologi dalam Penyelenggaraan Pesawat Terbang dan saya memilih yang kedua kerana nama jurusannya macam gah," katanya ketika dihubungi mStar.

Graduan Universiti UK 7

Salah satu pencapaian Arief memperoleh markah tertinggi di dalam kelas.

Mengikuti pengajian Diploma Kejuruteraan Teknologi dalam Penyelenggaraan Pesawat Terbang di Institut Teknologi Penerbangan Malaysia, Universiti Kuala Lumpur (UniKL MIAT) dari Jun 2015 sehingga Jun 2018 dengan kepujian kelas pertama.

ARTIKEL BERKAITAN: Eksotik, unik! Ridzman Zidaine model Melayu catwalk di Minggu Fesyen Paris, peraga jenama Louis Vuitton, Hermes

ARTIKEL BERKAITAN: Cakap tak berhenti, matang dari usia! Johan pidato peringkat kebangsaan tetap kental saat teks ditukar saat akhir

Lebih mesra disapa Arief, dia kemudian menyambung pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Penyelenggaraan dan Kelayakan Udara Pesawat di Universiti Limerick di Limerick, Ireland juga dengan kepujian kelas pertama.

Graduan Universiti UK 3

Dari kiri, Arief, ibu, Pro Naib Canselor Aeroangkasa, Pengangkutan, Pembuatan Universiti Cranfield, Profesor Dame Helen Atkinson dan bapa.

Bukan hanya gah pada nama, anak kedua daripada tiga beradik itu mengakui jurusan pengajian yang diikutinya adalah sukar, namun menyahut cabaran tersebut.

"Kerana minat, saya berusaha. Keluarga saya mahupun saudara-mara tiada terlibat dalam industri penerbangan... ayah merupakan penjawat awam dan mak bekerja berkaitan bidang elektronik.

"Tapi saya sering mengikuti program dokumentari di TV mengenai nahas kapal terbang. Sebab itulah juga saya berhasrat untuk menjadi penyiasat nahas pesawat atau pensyarah dalam bidang penerbangan," kata Arief yang menetap di Ampang, Selangor.

Graduan Universiti UK 5

Arief (tiga dari kanan) bersama rakan-rakan sekelas menamatkan pengajian.

Mengenai dua pencapaian tertingginya di Universiti Cranfield, Arief memperoleh markah tertinggi di dalam kelas iaitu 90 peratus bagi tesis individu bertajuk "LH2 Liquid Hydrogen 200-passengers Ultra-Green Airliner: Aircraft and System Safety Assessment, and Design of Initial Airworthiness Targets" yang mana projek tersebut bertujuan untuk mengurangkan pelepasan dioksida pada 2050.

Satu lagi pencapaiannya menerusi Projek Penyelidikan Individu (IRP) yang bertajuk "An Investigation into Methods to Assist Forced Water Landings for Conventional Aircraft - Making the 'Miracle on the Hudson' the Normal".

“Saya memperoleh dua daripada lapan anugerah tertinggi, daripada 24 pelajar dari serata dunia bagi jurusan Ijazah sarjana yang saya ikuti di Universiti Cranfield, alhamdulillah,” katanya.

Graduan Universiti UK 6

Arief (kiri) bersama penyelia projek, Jack Stockford.

Salah satu projek tersebut mendapat inspirasi daripada filem kegemarannya terbitan 2016, Sully lakonan Tom Hanks yang diadaptasi daripada peristiwa sebenar pada 2009 mengenai seorang kapten juruterbang bernama Sully melakukan pendaratan cemas di Sungai Hudson di New York, Amerika Syarikat di mana kesemua 155 penumpang dan anak kapal selamat.

"Filem tersebut memberi kesan pada diri saya, dengan membayangkan tentang pendaratan cemas pesawat di permukaan air adalah berisiko.

Saya mahu menjadi sebahagian daripada mereka yang menyiasat punca sebenar kejadian, dan siapa tahu menjadi antara penyiasat nahas pesawat yang dikenali dunia.

MOHD AZRUL ARIEF MOHD AZMI

"Satu lagi nahas pesawat yang memberi kesan pada saya adalah nahas pesawat Sriwijaya Air pada Januari 2021 di Indonesia," kata Arief merujuk kepada tragedi pesawat yang membawa 62 penumpang termasuk 12 anak kapal, terhempas di perairan Kepulauan Seribu, Jakarta.

Antara pencapaian lain, Arief juga menerbitkan satu video di laman YouTube menerusi saluran ML Studio pada November 2020 mengenai kronologi kehilangan pesawat MH370.

Graduan Universiti UK 4

Arief (tengah) bersama keluarga yang hadir meraikan kejayaannya.

Selain minat dalam penerbangan, anak muda ini juga gemar bermain permainan video Mobile Legends, mengumpul dan membaca komik di masa lapang serta mereka bentuk poster.

"Untuk mengejar cita-cita sebagai penyiasat nahas pesawat bukan mudah, saya perlu mencari pengalaman dalam reka bentuk pesawat terlebih dahulu.

"Banyak faktor boleh mengakibatkan nahas pesawat seperti cuaca, sistem dan kesilapan manusia (human error). Minta dijauhkan tragedi berlaku tetapi malang tidak berbau.

"Saya mahu menjadi sebahagian daripada mereka yang menyiasat punca sebenar kejadian, dan siapa tahu menjadi antara penyiasat nahas pesawat yang dikenali dunia," kata Arief.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain