suria

Cakap tak berhenti, matang dari usia! Johan pidato peringkat kebangsaan tetap kental saat teks ditukar saat akhir

Nur Adelia menyampaikan pidato pada 2020. (Gambar kecil) Nur Adelia kini berusia lapan tahun.

NAIK bulu roma!

Begitulah aura yang dirasai apabila menyaksikan kanak-kanak ini petah berpidato yang bertajuk 'Membudayakan Normal Baharu'.

Tutur katanya tersusun kemas, pesonanya juga memukau sehingga mengundang rasa kagum bagaimana si cilik ini begitu yakin berbicara dengan lantang dan berani.

Tidak hairanlah video kanak-kanak ini berpidato menjadi tular di media sosial, kerana dia merupakan Johan Pidato Perempuan Tabika Kemas Peringkat Kebangsaan 2020.

Ibu kepada kanak-kanak comel, Nur Adelia Rania Hanif Akbar berkata, video tersebut dirakamkan ketika anaknya berusia enam tahun dan belajar di Tabika Kemas dan kini berusia merupakan murid Tahun Dua di sebuah sekolah rendah di Jengka, Pahang.

Berkongsi cerita, Syamsulsuriani Ghazali mendedahkan anaknya Nur Adelia sebenarnya lebih matang dari usianya sejak kecil.

ARTIKEL BERKAITAN: Abang nak jadi polis trafik, getah rambut adik jadi 'mangsa'! Dah pandai tegur cara pemanduan mak ayah

ARTIKEL BERKAITAN: "Siap buat research, pasang target sebelum pergi ke Jepun" - Wow! Baru darjah 5, lukisan bakal animator jadi perhatian

"Dari usianya empat tahun sehingga enam tahun, saya dan suami sudah hantar dia ke Tabika Kemas Felda Jengka 18 di Pahang.

"Sekarang ni belajar di Tahun Dua, dia lebih matang. Suka membaca sampai dapat Anugerah Pembaca Terbanyak (Nilam) Bulanan," kata wanta berusia 29 tahun itu ketika dihubungi mStar.

budak pidato mainpic 3

Belakang tabir rakaman pidato Adelia.

Lebih mesra disapa Nani, katanya, Nur Adelia yang merupakan anak sulung daripada tiga beradik itu juga sememangnya petah bercakap sejak kecil.

"Dia bercakap tak berhenti, ada saja nak bercerita kepada saya dan suami. Dia pernah menjadi pengacara majlis (MC) di Tabika dalam majlis apresiasi ketika umurnya enam tahun.

"Di sekolah rendah sekarang pun, bila balik ke rumah dia akan cerita apa yang dia belajar. Apa yang cikgu ajar, dia mudah dapat... Alhamdulillah," ujarnya mengenai anaknya yang dilahirkan di Temerloh dan dibesarkan di Felda Jengka.

budak pidato mainpic 5

Adelia berkebolehan menjadi pengacara majlis.

Di sebalik kepetahan berpidato, anaknya juga suka menyanyi di masa lapang dan menjadikan penyanyi kegemarannya Shila Amzah dan Marsha Milan sebagai artis kegemaran.

"Dia selalu nyanyi lagu Memori Tercipta oleh Shila Amzah. Dia kata suara Shila Amzah sedap," katanya sambil menambah anaknya juga suka melukis dan bermain badminton.

budak pidato mainpic 7

Adelia kini merupakan murid Tahun Dua.

Nani yang berniaga di kantin di sebuah kilang bersama suami bersyukur anaknya berjiwa kental berdepan dengan situasi di mana teks pidato bagi pertandingan tersebut terpaksa ditukar pada saat akhir.

"Dia memang stres sebab dah hafal teks siang malam. Tapi Alhamdulillah, anak saya kuat dan mendengar kata. Saya dan suami serta nenek-neneknya termasuk guru memberikannya semangat sehingga dia meneruskan ke peringkat akhir.

"Anak saya memang sukar untuk menangis. Cita-cita pun nak jadi askar katanya. Tapi minatnya untuk berpidato tetap akan diteruskan," ujar Nani.

budak pidato mainpic 6

Nani (belakang, kanan) bersama suami (belakang, kiri), Adelia (hadapan, kanan) dan seorang lagi anaknya.

Sementara itu, guru Tabika Kemas Felda Jengka 18 yang membimbing Nur Adelia berpidato sehingga menjadi johan di peringkat kebangsaan berkata, bekas muridnya itu merupakan seorang kanak-kanak yang rajin, berdikari dan mempunyai semangat yang tinggi.

"Setiap arahan dan tugasan yang diberikan dapat dilaksanakan dengan baik, dari situ saya nampak Nur Adelia berpotensi untuk saya latih berpidato," kata Liaaidawati Mohd Kabil, 34.

Setiap arahan dan tugasan yang diberikan dapat dilaksanakan dengan baik, dari situ saya nampak Nur Adelia berpotensi.

LIAAIDAWATI MOHD KABIL

Mengenai pertandingan sempena Hari Potensi Tabika Kemas Peringkat Kebangsaan pada 2020, katanya, buat pertama kali ia diadakan secara maya berikutan ketika itu dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Anak-anak ini termasuk Adelia sebenarnya kena bijak dan pandai untuk bermain dengan lensa kamera. Mereka juga kena berlatih dari segi teks dan mimik muka," katanya.

budak pidato mainpic 4

Cikgu Liya (kiri) membimbing Adelia dalam pidato.

Berpengalaman mengajar selama 10 tahun, Liaaidawati atau Liya mengakui teks pidato muridnya itu ditukar semasa pertandingan di peringkat negeri, berikutan tajuk asal yang dipilih di peringkat Parlimen telah digugurkan.

"Syukur Adelia juga sangat matang berbanding usianya pada ketika itu baru enam tahun, setiap apa yang saya katakan dia mudah untuk faham.

"Bila saya kata Adelia 'Kita mesti jadi johan peringkat kebangsaan untuk banggakan mama dengan papa Adelia'. Bila saya sebut ayat tu dia mesti akan angguk dan senyum.

"Ayat itu yang saya selalu ulang-ulang setiap kali sebelum mula latihan untuk membakar semangat Adelia. Alhamdulillah dia menjadi johan," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain