suria

Pasangan suami isteri ‘bukan guru’ tak sangka berjaya bina empayar MyTutor, sasar tersenarai Bursa Saham pada 2026

Peneraju MyTutor, Mohd Farhan Firdaus Jamil (kiri), Mohd Hafiz Kamaruddin dan Siti Zulaikha Jeffry.

PANDEMIK telah banyak mengubah sesi pembelajaran pelajar sekolah termasuk dilaksanakan di rumah secara dalam talian sehingga ada segelintir pelajar tercicir dalam pelajaran.

Disebabkan itu juga, ramai ibu bapa mencari kelas tuisyen bagi membantu anak-anak mereka menghadapi ujian penting di sekolah sehingga sanggup mengeluarkan wang lebih demi memastikan mereka mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan.

Pasangan suami isteri yang juga pengasas syarikat MyTutor Academy Sdn Bhd memberitahu tidak dinafikan permintaan terhadap home tutor terus meningkat meskipun negara berada dalam suasana pandemik.

ARTIKEL BERKAITAN: Pengiktirafan global bakar semangat... Cikgu Fana bulatkan tekad teruskan perjuangan menyebar ilmu, bantu pelajar hadapi peperiksaan

Meskipun bukan seorang guru, tetapi pasangan suami isteri ini memilih kerjaya dalam bidang pendidikan kerana mempunyai minat mendalam sejak menuntut di universiti.

Bermula dengan menawarkan khidmat tutor rumah ke rumah di sekitar Sungai Buloh dan Kota Damansara, Selangor pada 2016, Mohd Hafiz Kamaruddin dan Siti Zulaikha Jeffry pada awalnya melakukan perkara itu bagi menambah pendapatan untuk menampung yuran pengajian.

IKH_0420

Mohd Hafiz serius membantu pelajar mencapai potensi diri dalam pelajaran.

Bagaimanapun, dari situ, ibu bapa mula menghebahkan tentang perkhidmatan tutor rumah ke rumah itu sehingga menjadikan mereka berdua buah mulut dalam kalangan masyarakat setempat.

"Alhamdulillah kami mampu menjana pendapatan sebanyak RM6,000 sebulan ketika itu dan mengadakan kelas selepas kuliah ataupun hujung minggu.

"Memandangkan permintaan ibu bapa mengajar anak mereka secara one on one semakin banyak, kami menggaji kira-kira 10 lagi tutor baru dalam kalangan rakan-rakan seuniversiti.

"Bukan sahaja kami dapat memberi ilmu kepada pelajar tetapi dapat membantu rakan-rakan sekuliah mencari pendapatan sampingan," kata Mohd Hafiz yang juga Ketua Pegawai Eksekutif MyTutor.

Mohd Hafiz Kamaruddin dan Siti Zulaikha yang masing-masing berumur 33 tahun adalah graduan Sains Nuklear dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Bukan sahaja kami dapat memberi ilmu kepada pelajar tetapi dapat membantu rakan-rakan sekuliah mencari pendapatan sampingan.

MOHD HAFIZ KAMARUDDIN

KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF MYTUTOR

Pasangan suami isteri itu aktif mengajar subjek Sains, Matematik, Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris untuk pelajar sekolah rendah dan menengah.

17,000 pelajar bersama MyTutor

Terbaharu pasangan suami isteri itu melancarkan EdufyMy yang telah mempunyai lebih 1,900 tutor dengan 17,000 pelajar yang berdaftar seluruh Malaysia termasuk pelajar Malaysia yang berada di luar negara.

Mohd Hafiz berkata MyTutor akan sentiasa berevolusi seiring dengan keperluan semasa pelajar apatah lagi dengan kes Covid-19, Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) menjadi kaedah terbaik dalam memastikan pendidikan dapat diteruskan apabila pembelajaran secara bersemuka tidak dapat dilaksanakan.

“Menerusi pelaksanaan PdPR kaedah pembelajaran diajar oleh para guru di sekolah menggunakan kemudahan peranti dan akses internet telah mendapat sambutan baik dalam kalangan pelajar.

“Sebagai peneraju servis tuisyen di rumah, kami juga mengikuti perkembangan tersebut dengan menawarkan kelas tuisyen secara dalam talian secara individu atau berkumpulan yang tidak melebihi 24 pelajar dalam satu-satu masa,” katanya.

my-tutor-belajar

Kelas membaca mendapat permintaan tinggi daripada ibu bapa.

Katanya Edufy telah dibangunkan sejak tiga tahun lalu sebagai alternatif kepada pelajar namun kebanyakan ibu bapa lebih gemar memilih servis guru datang ke rumah mengajar secara bersemuka.

“Disebabkan PKP, mereka tidak mempunyai pilihan dan kami ambil kesempatan menggunakan platform Edufy secara efektif dan percubaan tersebut nyata berjaya kerana draf permintaan meningkat,” katanya.

Edufy adalah platform pertama yang menghubungkan aplikasi Zoom secara bersepadu bagi pelaksanaan kelas berserta modul pelajaran secara digital mengikut permintaan pelajar.

Sistem pengurusan pembelajaran diautomasi sepenuhnya bermula daripada pendaftaran, pembayaran, pautan Zoom sehinggalah rakaman kelas diuruskan oleh sistem.

Edufy kini terdapat lebih 130 kelas dan mampu menampung kelas yang bersiaran langsung secara serentak pada skala yang lebih besar.

mytutor-group

MyTutor berpangkalan di Seramban 2, Negeri Sembilan.

Perniagaan terkesan, Edufy beri peluang pelajar timba ilmu

Bagaimanapun kata Mohd Haiz, PKP turut memberi kesan kepada perniagaan mereka kerana sebelum ini syarikat ini memfokuskan servis mengajar bersemuka dengan pelajar, sama ada secara perseorangan mahupun berkumpulan.

“Memang terkesan di peringkat awal lebih-lebih lagi memikirkan pendapatan tutor yang terjejas terutamanya tutor sepenuh masa yang berkhidmat dengan MyTutor.

"Kami mengambil masa beberapa bulan sebelum bangkit dan mendapat sokongan pasukan yang mahir dalam teknologi digital yang diketuai oleh Mohd Farhan Firdaus Jamil yang juga salah seorang pengasas My EduTech Berhad sehingga terbinanya Edufy.

"Farhan sangat faham kehendak kami kerana sistem pengurusan MyTutor juga dibangunkan oleh beliau. Situasi pandemik menjadi pencetus kepada kami bagi mencapai matlamat yang lebih besar dalam perniagaan kerana perubahan permintaan daripada ibu bapa sendiri.

"Misalnya, pada tahun lepas terdapat ibu bapa yang meminta MyTutor menyediakan kelas persediaan UPKK dan MyTutor dapat memenuhi permintaan tersebut. Dalam masa kurang dua minggu, program tersebut dilancarkan dan bilangan pendaftaran mencapai sasaran penuh”, ujarnya.

KIM_2527

Mohd Hafiz dan Siti Zulaikha pada hari pelancaran Edufy.

Jika sebelum ini katanya kebanyakan ibu bapa mencari pusat tuisyen dan sanggup mengeluarkan belanja untuk membantu anak-anak memperoleh teknik lebih efisen sebagai persediaan menduduki peperiksaan utama, situasi kini berubah.

Permintaan kelas membaca paling tinggi

Impak pandemik menyebabkan pandangan sebahagian ibu bapa berubah. Keperluan tuisyen dan tutor terbaik bukan hanya untuk lulus cemerlang tetapi memastikan mata pelajaran yang sepatutnya dibekalkan kepada pelajar disampaikan kepada mereka dengan baik menepati dengan tahap penguasaan pelajar.

“Misalnya kini, permintaan untuk kelas membaca adalah yang tertinggi dan ia melibatkan murid yang berumur empat, lima dan enam tahun kerana kumpulan ini paling ramai terjejas penguasaan 3M iaitu membaca, mengira dan menulis,” ujarnya.

Menyentuh mengenai tenaga pengajar di MyTutor jika sebelum ini pihaknya menawarkan peluang terbuka kepada semua pemegang ijazah dari mana-mana bidang kini MyTutor mengorak langkah mengadakan perjanjian usahasama dengan pihak Institusi Pengajian Tinggi bagi membantu lebih ramai graduan.

“Kerjasama ini melibatkan siswazah yang telah tamat belajar tetapi belum memperoleh pekerjaan bagi menimba pengalaman sebagai tenaga pengajar. Selain keupayaan mereka menyampaikan modul kepada pelajar, kemahiran berkomunikasi juga meningkat.

IKH_0524

Farhan, Hafiz dan Siti Zulaikha menyasarkan MyTutor tersenarai di Bursa Saham pada 2026.

“Lebih daripada itu ganjaran pendapatan daripada pekerjaan itu juga boleh dimanfaatkan sebaiknya kerana terdapat tutor yang mampu menjana pendapatan sehingga RM5,000 sebulan jika mengajar secara sepenuh masa.

“Kami menyokong graduan supaya kadar pengangguran dikurangkan di samping mencari “duit poket” sebelum memperoleh pekerjaan yang setanding dengan kelulusan semasa di universiti,” katanya.

Kumpulan tutor ini katanya perlu menjalani beberapa ujian kelayakan sebelum diserap masuk sebagai tenaga pengajar termasuk latihan dan kemahiran mengajar sama ada kelas bersemuka mahupun dalam talian.

Program bimbingan serta latihan diberikan secara percuma kepada semua tutor berdaftar.

“Daripada jumlah 1,900 tutor dengan pendapatan purata tutor sekitar RM1,000 ke RM3,000, kami menyasarkan peningkatan bilangan tutor aktif seramai 100,000 tempoh empat tahun akan datang dan seterusnya mendokong aspirasi MyT EduTech Berhad untuk tersenarai di Bursa Saham pada tahun 2026,” katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain