suria

City of Love beri idea 2 beradik buka kafe, siap import pencuci mulut dari Paris!

Dua beradik ini merialisasikan impian untuk membuka sebuah kafe berkonsepkan seperti di Paris.

KOTA Paris cukup terkenal dengan identiti bangunan bersejarah yang cukup indah dan tidak hairan ia menjadi destinasi percutian pilihan sekiranya berkunjung ke Eropah.

Selain kerana keindahan tempat pelancongan, ibu kota Perancis ini juga sinonim dengan jolokan sebagai Kota Cinta atau City of Love. Ini kerana sejak dahulu ia menjadi destinasi bagi banyak pasangan untuk menyatakan rasa cinta atau melamar mereka termasuk di hadapan menara ikonik, Eifel Tower.

ARTIKEL BERKAITAN: Terlalu minat berniaga sejak kecil, bekas pramugari tawar servis facial RM1... kini bergelar usahawan, rangkul 3 anugerah berprestij

Bagi dua usahawan muda, Farah Syuhada binti Shamshul, 28, bersama adiknya, Farra Sofea binti Shamshul, 21, peluang berkunjung ke Paris sebanyak beberapa kali telah membuatkan mereka terpukau dengan keindahan di negara itu.

Farine&Sucre-134

Syuhada sanggup meninggalkan kariernya demi mencapai impian membuka sebuah kafe.

Dua beradik itu sentiasa kagum dengan keramahan masyarakat, budaya, sejarah dan kepelbagaian kulinari terutamanya pastri yang enak.

"Paris cukup dekat di hati kami dan sentiasa ternanti-nanti peluang untuk kembali ke sana. Bagaimanapun cukup malang kerana situasi pandemik menyukarkan untuk ke luar negara ketika ini.

"Selain rindukan suasana di sana, paling dinanti-nantikan adalah untuk merasai keenakan kulinarinya terutamanya pelbagai pastri yang terdapat di Paris," katanya kepada mStar.

Farine & Sucre konsep kafe di Paris

Tidak hanya itu, Syuhada juga memberitahu pemergian ke Paris turut membawa matlamat untuk mengutip ilmu tentang bagaimana sesebuah kafe diuruskan selain konsep diketengahkan kerana menjadi impiannya untuk membuka kafe konsep sama di Malaysia.

Dua beradik

Gabungan dua beradik ini telah menjadikan Farine & Sucre realiti.

Berbekalkan kerinduaan terhadap makanan di Paris, Syuhada yang juga seorang bekas penasihat kewangan berjawatan ketua agensi di salah sebuah syarikat takaful sanggup meninggalkan kerjayanya demi merialisasikan impiannya untuk membuka sebuah kafe berinspirasikan di negara itu.

"Maka sejak awal Mac lalu, tercapailah impian kami untuk membuka kafe yang diberi nama Farine & Sucre. Kafe unik berkonsep dan bertemakan hidangan Perancis ini diwujudkan bagi membawa Paris ke Malaysia," katanya.

Tidak keseorangan, Syuhada memberitahu adiknya Sofea turut membantunya sebagai rakan perniagaan meskipun sedang melanjutkan pelajaran di sebuah universiti dalam bidang perakaunan.

Gabungan duo beradik yang saling melengkapi ini, menyerlah apabila mereka menetapkan hala tuju jelas dalam memperkasakan jenama Farine & Sucre. Ia berteraskan visi, misi dan nilai yang memberi pulangan balik kepada masyarakat.

Bagaikan Kafe Paris

Dekorasi kafe ini seperti berada di Paris.

"Visi kami untuk berkongsi keterujaan para pelanggan melalui makanan yang berkualiti dan perkhidmatan yang terbaik dalam keunikan suasana yang berbeza.

"Sementara misi kami pula, untuk memberikan pelanggan suatu lokasi yang dapat mencipta momen istimewa dengan menawarkan seleksi makanan bertemakan inspirasi Parisian, perkhidmatan dan suasana baharu kepada masyarakat," katanya.

Bercakap mengenai nilai pula, gadis tinggi lampai ini berharap dapat menyediakan peluang pekerjaan terutamanya kepada graduan lepasan universiti dan mereka yang tiada pengalaman berkerja untuk sama-sama membina jenama Farine & Sucre dan menyokong perniagaan lokal.

Menjawab persoalan mengapa nama ‘Farine & Sucre’ dipilih, jelas wanita yang pernah mencapai tahap Million Ringgit Agency bagi tahun 2020 sebagai Ketua Agensi Takaful itu, secara literalnya, Farine & Sucre bermaksud tepung dan gula dalam bahasa Perancis.

Import

Ada di antara dessert yang dijual diimport dari Perancis.

"Ia sangat bersesuaian dengan tema kami, memandangkan kami terinspirasi dengan konsep cafe ala Perancis yang cukup terkenal dengan keenakan pelbagai hidangan pastri.

"Malah disebalik nama Farine & Sucre terselit nilai sentimental, kerana ia berkait rapat dengan huruf pertama pada nama kami berdua iaitu Farah Syuhada dan Farah Sofea," tambahnya.

Import khas dari Perancis!

Bercakap mengenai hidangan signature dish, Farine & Sucre memperkenalkan aneka pencuci mulut (dessert) yang sebahagiannya di import khas dari Perancis.

"Kami terdorong untuk menghidangkan makanan dengan kualiti terbaik, harga munasabah yang bersesuaian dengan permintaan di sekitar Shah Alam. Malah, sebahagian daripada dessert yang kami sediakan di kafe diimport khas dari Perancis, seperti macarons, baguettes dan chocolate roll!

Bersama Para Pekerja

Syuhada dan Sofea bersama staf mereka.

"Ini kerana sebahagian pencuci mulut iaitu macarons misalnya, perlu melalui proses pembuatan yang rumit dan kami mahu memastikan hidangan yang disediakan di Farine & Sucre hanya yang terbaik dan berkualiti tinggi,” katanya lagi.

Selain hidangan tanda kenal Macarons yang dibawa khas dari Perancis, Pavlova dan Peach strudels juga menjadi antara daya tarikan utama di kafe ini.

Tidak ketinggalan, pelbagai pilihan pastri termasuk French baguette yang dihidangkan bersama 3 jenis sos, French Onion, Cheese Chives dan Sun Dried Tomato selain 3 jenis Pai iaitu Pai Ayam Cendawan, Pai Daging dan Turkey Quiche.

Minuman istimewa yang sering menjadi pilihan pengunjung di sini pula adalah Biscoff Latte, Ferrero Rocher Latte dan 2 daripada 4 jenis minuman penyegar iaitu Snow White’s Nightmare dan Pocahontas Journey. Minuman penyegar atau refreshers ini cukup unik kerana ia diolah berkonsepkan nama watak puteri-puteri Disney.

Bersama Ibu Bapa

Keluarga penyokong utama impian dua beradik ini.

Memahami persekitaran pasaran sekitar Shah Alam yang rata-rata terdiri daripada pelajar dan keluarga, Farah cuba menyeimbangkan hidangan manisan dan juga berbentuk savori.

Namun dari segi citarasa, sesetengah pencuci mulut yang disediakan diolah dari segi rupa dan rasa agar sesuai dengan citarasa lokal juga peringkat usia.

Ramadan di Paris

Dalam pada itu, bersempena ketibaan Ramadan, Farine & Sucre tidak ketinggalan menyediakan dua set juadah berbuka puasa setiap hari iaitu Set Asian dan Set Western. Apa yang menarik, setiap set yang ditawarkan hanya bermula dari RM50.

Antara menu Asian yang disediakan adalah Nasi Beriyani Daging Hitam, Nasi Beryani Ayam Merah, dan Nasi Minyak Ayam Masak Merah, Dalca Sayur dan Acar Timun Nenas manakala menu barat pula, Grilled Chicken Spaghetti, Beef Lasagna, Prawn Spaghetti with Chicken dan Grilled Chicken Macaroni.

Bersama kek

Syuhada berharap Farine & Sucre akan berkembang selepas ini.

Di tanya mengenai persaingan dan risiko dalam industri makanan dan minuman, akuinya F&B adalah satu perniagaan yang penuh persaingannya.

“Sebagai orang baru, kami masih berusaha untuk belajar meraih seberapa banyak pengalaman dalam industri ini. Namun, dalam tempoh masa 5 tahun akan datang, kami berhasrat untuk kekal utuh dengan pilihan menu kami.

“Di samping memulakan pengeluaran kami sendiri dalam skala yang lebih besar sambil mempelbagaikan sasaran pasaran, kami juga berhasrat untuk berkolaborasi dengan perniagaan tempatan lain, di bawah naungan Farine & Sucre demi mengukuhkan lagi jenama kami,” kata Farah.

Bagi anda yang mahu menikmati kopi dan hidangan pastri serta dessert unik dalam suasana dan gaya ala Perancis, jom singgah ke Farine & Sucre Cafe di No 7A, 1, Jalan Plumbum R7/R, Seksyen 7, 40000 Shah Alam Selangor.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain