suria

Pandemik ubah kehidupan... Wirda Adnan ajak wanita bangkit sabut cabaran, perbaiki diri

Wirda Adnan merupakan pengasas majalah WM yang telah ditubuhkan pada tahun 2017.

SIAPA yang tidak kenal dengan Wirda Adnan yang cukup ikonik dalam industri percetakan majalah di negara ini.

Sepanjang 40 tahun kariernya dalam bidang itu, Wirda pernah menyandang pelbagai jawatan penting termasuk ketua pengarang GLAM yang disifatkan antara majalah fesyen tempatan terkemuka.

ARTIKEL BERKAITAN: Tanpa restu tak akan berjaya... 'Budak flat' kini bergelar usahawan beli banglo balas jasa ibu

Meskipun sudah tidak menerajui majalah itu sejak April 2011, Wirda tidak pernah melupakan bidang penulisan sebaliknya terus mengukuhkan namanya dalam industri penerbitan apabila mewujudkan majalah secara dalam talian iaitu WM yang membawa maksud Women Milennial di mana ia memfokuskan kepada gaya hidup, personaliti, agama, budaya dan sudah tentunya fesyen!



Wirda berkongsi pengalaman bagaimana dia menempuhi kehidupan norma baharu dengan sikap positif.

Berkesempatan bertemu dengan figura istimewa ini ketika program sesi bual bicara santai ‘Women’s Role After Covid-19 - Dare To Challenge’ di ibu negara baru-baru ini, Wirda turut berkongsi pengalamannya berhadapan dengan pandemik.

Pandemik satu hikmah, eratkan hubungan keluarga dan Allah

Ketika ramai menganggap pandemik yang berlaku sebagai 'meragut' dan mengubah kehidupan 360 darjah, bagi Wirda beliau melihat apa yang berlaku sebagai satu hikmah.

Mengakui pandemik dan kehidupan norma baharu memberi impak besar namun katanya kehidupan perlu diteruskan seperti biasa dengan semangat yang positif.

"Bagi saya mudah, segala kerja yang perlu dilakukan boleh diselesaikan secara atas talian dan sudah setahun kita semua melakukannya.

"Jika kita lihat sesuatu perkara itu dari sudut pandang positif maka positiflah jadinya dan sebaliknya," katanya kepada mStar.



Wirda menganggap pandemik ini sebagai peluang untuk meluangkan masa bersama keluarga.

Jelas Wirda, pandemik juga telah memberi peluang kepadanya untuk meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga tercinta berbanding sebelum ini.

Sebagai ibu kepada Mohamed Ihtisham Hisham, 29, dan Mohamed Imtiaz Hisham, 27, ini adalah peluang untuknya bermesra dan bermanja dengan mereka selain mendekatkan diri dengan Allah.

"Sepanjang setahun lalu, walaupun kita disuruh untuk duduk di rumah, saya rasa ada kebaikan dan hikmahnya kerana kita boleh memantau dan melihat semua perkara di depan mata.

"Saya sendiri sebagai seorang ibu, kalau tengok jam dah pukul 12 malam dan anak-anak masih belum pulang, saya pasti akan berasa risau.

"Pandemik telah menguatkan 'bonding' kekeluargaan, rasa lebih dekat dengan Allah kerana kita tidak tahu berapa lama lagi masa yang kita ada di dunia ini," ujarnya.

Hargai setiap detik, kemewahan tiada erti

Bertitik tolak daripada itu, Wirda berkata, situasi semasa membuatkan dirinya lebih menghargai setiap detik yang ada selain mengambil kesempatan ini untuk berbuat baik sesama manusia.

Wirda berkata, pandemik turut menyedarkannya bahawa harta dan kemewahan bagaikan sudah tidak bererti apabila kehidupan berubah sekelip mata akibat Covid-19.

"Kalau dulu kita tengok orang boleh berbelanja untuk bercuti, beli beg tangan berjenama dan bazirkan beratus ribu untuk mengadakan sebuah majlis.

"Sekarang ada duit pun tak boleh ke mana-mana dan beg tangan mewah pun dah tak boleh bawa keluar.

Memandangkan semuanya boleh dilakukan secara atas talian, kita sebagai pemilik bisnes juga perlu menggunakan pendekatan tersebut untuk meneruskan perniagaan.

WIRDA ADNAN

PENGASAS MAJALAH WM

"Waktu beginilah seelok-eloknya kita berbelanja mengikut keperluan kerana di luar sana masih ada yang kurang bernasib baik daripada kita," ujarnya.

Ada yang hilang punca pendapatan, terpaksa keluar dari rumah akibat tidak dapat membayar sewa dan hidup dalam keadaan serba kekurangan. Ketahuilah bahawa harta yang dimiliki sekarang ini hanyalah sementara kerana kita semua dinilai sama sahaja dimata Allah.

Wanita perlu sahut cabaran

Sementara itu, mengulas mengenai program yang diadakan, Wirda memberitahu ia bertujuan untuk memperkasakan wanita yang terjejas akibat Covid-19 sejak setahun lalu.

Tumpuan program itu adalah bagi menyuntik kembali semangat wanita untuk kekal berjuang walaupun dilanda masalah ketika pandemik.

Menerusi forum santai itu, antara perkara yang dibincangkan adalah tentang wanita yang sering menjadikan keluarga, suami mahupun anak-anak sebagai alasan untuk mengetepikan impian mereka.

Wirda menekankan wanita sepatutnya mampu untuk membuat keputusan bagi membentuk keluarga, masyarakat dan diri sendiri sekiranya mereka percaya pada kebolehan diri sendiri.

“Kita selalu takut untuk bertanggungjawab atas keputusan yang diambil dan berkata ‘saya perlu tanya dengan suami dahulu’ sebelum memberi sebarang kata putus.

“Akhirnya, keputusan yang di ambil itu bukan apa yang sebenarnya kita mahukan, ” jelasnya.

Selain itu, Wirda juga berpesan agar kaum wanita perlu lebih berani menyahut cabaran dan sentiasa berubah mengikut peralihan masa supaya kekal relevan. Salah satu caranya ialah dengan membaca kerana ia akan membantu kita untuk menjadi seorang yang berpengetahuan.



Kenalan rapat juga turut hadir memeriahkan lagi majlis tersebut.

“Memandangkan semuanya boleh dilakukan secara atas talian, kita sebagai pemilik bisnes juga perlu menggunakan pendekatan tersebut untuk meneruskan perniagaan.

“Dengan cara ini, kita dapat menjalankan aktiviti perniagaan seperti biasa walaupun bukan secara fizikal, ” katanya.

Wirda turut menjemput Ketua Pegawai Operasi Perbadanan Nasional Berhad, Juliana Abdul Kadir, penceramah Tessie Lim dan pakai motivasi, Norma Norell untuk memberi pandangan mengenai isu yang dibincangkan.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain

Covid-19: 70 kilang diarah tutup