suria

Jurugambar jelajah seluruh Malaysia ‘buru’ foto monyet

Usaha Peter Ong ternyata tidak sia-sia apabila berjaya merakamkan foto 14 daripada sekurang-kurangnya 25 spesies monyet di Malaysia yang turut membawanya menerokai hutan di seluruh negara. Foto GLENN GUAN

TERPAKSA berkhemah selama tujuh malam di hutan tebal dan berjalan selama lapan jam semata-mata untuk mendapatkan gambar spesies monyet, itulah antara cabaran yang ditempuhi seorang jurugambar bagi menghasilkan karya yang menarik serta sempurna.

Selain perlu menempuh kawasan berbukit curam dan licin, kesabaran jurugambar juga diuji apabila perlu menanti kemunculan haiwan itu berjam-jam lamanya dengan suasana persekitaran dalam keadaan sunyi.

ARTIKEL BERKAITAN: Dah rancang aktiviti bersama anak cuti sekolah ini? Apa kata ambil kira 5 tip ini

Bercakap kepada Bernama, jurugambar sambilan, Peter Ong, berkata usahanya itu ternyata tidak sia-sia apabila berjaya merakamkan foto 14 daripada sekurang-kurangnya 25 spesies monyet di Malaysia, yang turut membawanya menerokai hutan di seluruh negara.

Monyet yang dikenali sebagai lar gibbon. Foto Ihsan PETER ONG

Antara spesis menarik dan luar biasa yang berjaya dirakamkannya ialah ‘Selangor Silvery Lutung’ yang bulunya akan berubah daripada keperangan kepada hitam apabila meningkat dewasa.

“Di hutan kita tidak boleh buat bising… hanya buat bahasa isyarat jika mahu berkomunikasi dengan rakan kita... bila monyet dengar bunyi dan hidu bau manusia, monyet ini akan lari,” kata anak jati Pulau Pinang itu ketika ditemui di pameran foto ‘Project Monyet’ di sini, baru-baru ini.

Demi minatnya, lelaki berusia 43 tahun yang juga penggiat seni ini sanggup mengeluarkan perbelanjaan sendiri dan berkampung bersama penduduk tempatan yang akan turut menemaninya masuk ke hutan, termasuk di Kampung Long Pasia, Sipitang, Sabah.

Antara foto spesies monyet yang berjaya diabadikan termasuklah Maroon Surili, Silvery Lutung, Lar Gibbon, East Bornean Grey Gibbon, Southern Pig-Tailed Macaque, Proboscis Monkey dan Orang Utan yang diambil di hutan di seluruh negara seperti di Tabin, Lembah Danum, Maliau Basin di Sabah; Bakoh di Sarawak; Fraser Hill, Pahang serta Kuala Selangor, Selangor.

Peter Ong mengadakan pameran Project Monyet baru-baru ini. - Foto Ihsan PETER ONG

Biarpun belum sempurna, Ong mengambil inisiatif mempamerkan ‘hasil buruannya’ melalui Project Monyet bagi memupuk kesedaran orang ramai bahawa spesies itu semakin berkurangan akibat aktiviti manusia.

“Melalui Project Monyet ini, sekurang-kurangnya saya dapat melakukan sesuatu untuk memberi kesedaran kepada orang ramai bahawa haiwan seperti ini perlu dipelihara dan dilindungi,” jelasnya.

Mengulas mengenai ‘Project Monyet’, pameran itu dibuka kepada orang ramai tanpa bayaran dari 16 hingga 28 November ini di Think City, Kuala Lumpur dan akan dilancarkan oleh ahli primatologi dan antropologi, Dr Jane Goodall pada 22 November ini (hari ini). - BERNAMA 

Jurugambar, Monyet

Artikel Lain