suria

Diserang kanser limfoma, hidup Dr Mukhlis beralih dari jarum suntikan ke berus solekan

Dr Mukhlis enggan menoleh ke belakang, beliau kini lebih selesa bergelar seorang jurusolek.

PERJALANAN untuk bergelar seorang doktor umumnya bukan dapat dikecapi dalam masa singkat, dan begitulah yang dilalui anak ketiga daripada empat beradik ini.

Pemuda dari Tasek Gelugor, Pulau Pinang itu menghabiskan masa selama lebih enam tahun sebelum menjadi seorang doktor bertauliah.

Namun seperti insan lain, gelaran doktor pelatih yang disandang Dr Mukhlis Idris tidak mampu menolak takdir apabila beliau diserang kanser kelenjar tahap dua sewaktu baru berkhidmat selama empat bulan di Hospital Selayang, Selangor.

Stigma masyarakat bahawa doktor tidak mengalami sakit perlu dibuang jauh kerana hakikatnya kanser tidak mengenal mangsanya.

Biarpun menahan sakit ketika menjalani rawatan kanser, Dr Mukhlis masih mampu melakar senyuman. - Instagram @muks83

“Saya disahkan menghidapi kanser Hodgkin’s limfoma tahap 2b selepas habis giliran di bahagian perubatan dalaman, ketika itu saya baru empat bulan jadi doktor pelatih.

“Memang saya tahu kanser jenis ini menyerang pada usia muda dan tiada penyebab. Tapi, ia berkait dengan stress dan kesan radiasi. Selalunya, budak pandai yang kena (kanser kelenjar) kerana mereka stress belajar, walaupun saya tidaklah pandai mana,” katanya ketika ditemui mStar di Keramat baru-baru ini.

Pada usia 27 tahun, Dr Mukhlis terpaksa menjalani rawatan kimoterapi sebanyak 19 kali dan satu transplant selama dua tahun bagi memulihkan kesihatannya seperti sedia kala.

Serangan kanser itu turut meragut impiannya untuk berbakti kepada masyarakat sebagai seorang doktor atas faktor kesihatan yang tidak mengizinkan.

Kalau orang ‘jual’ je nama mak, saya boleh menitiskan air mata kerana dialah sebab saya survive daripada kanser.

DR MUKHLIS

Jurusolek/Bekas pesakit kanser

“Masa buat rawatan kimoterapi saya tak kerja, jadi saya tiada duit. Kerajaan bayar separuh gaji untuk tahun pertama sahaja.

“Rawatan kimoterapi ini mengubah diri saya sepenuhnya. Dulu, saya amat mementingkan kesempurnaan dan mudah melenting. Daripada tak suka kucing jadi suka kucing pula,” katanya yang kini menemui cinta baharu dalam bidang solekan.

Perubahan hidupnya tidak terhenti setakat itu sahaja, Dr Mukhlis beralih dari jarum suntikan kepada berus solekan demi meneruskan kelangsungan hidup.

Bakatnya dalam dunia solekan dikesan secara tidak sengaja apabila graduan perubatan Universiti Cardiff, United Kingdom itu menjadi bidan terjun sebagai jurumekap adik bongsunya yang ingin melangsungkan perkahwinan pada 2011.

Dr Mukhlis membersihkan berus solekan sebelum mula menyolek wajah pelanggannya.

“Bila tiada kerja, saya buat apa yang saya suka. Saya buat mekap dan tak sangka tiba-tiba jadi, walaupun saya tak pernah mekap sesiapa pun sebelum ini.

“Kebetulan adik bongsu nak kahwin masa tu, jadi saya yang solekkan dia. Saya buat juga sulaman manik untuk sara hidup,” katanya yang amat mengagumi sentuhan magis jurusolek selebriti Khir Khalid.

Ketika ditanya sama ada beliau rindu kehidupan sebagai seorang doktor, Dr Mukhlis mengakui kerjaya itu banyak mengukir kenangan berharga dalam hidupnya.

Tetapi, kehidupan lamanya terlalu sibuk dan berentak laju sehingga menyebabkan beliau jatuh sakit.

Neelofa dan Juliana Evans antara selebriti yang memberikan kepercayaan kepada Dr Mukhlis untuk ditata rias.

Kini, selepas enam tahun bergelar bekas pesakit kanser, Dr Mukhlis lebih selesa mengejar impian dalam berkarya kerana ia membuatkan hidupnya lebih santai dan tidak terlalu terikat.

Antara wajah selebriti tempatan yang menjadi kanvas seni Dr Mukhlis ialah Che Puan Juliana Evans, Neelofa, Puteri Aishah, Nelydia Senrose dan Daiyan Trisha.

Beliau juga mula berjinak-jinak dalam bidang perniagaan dengan melahirkan produk sulungnya, facial essence mist.

Produk yang diformulakan daripada protein royal jelly terhidrolisis, herba centella asiatica dan asid hyaluronik itu dihasilkan sebagai pelengkap kepada solekan untuk membantu kulit kelihatan lebih muda dan bersinar.

Kata Dr Mukhlis, ibunya menjadi pendorong utama untuk beliau melawan kanser.

Bagi pemuda ini, segalanya tidak mungkin menjadi kenyataan tanpa dorongan dan semangat tidak berbelah bahagi daripada ibunya, Ruhana Ahmad.

“Kalau orang ‘jual’ je nama mak, saya boleh menitiskan air mata kerana dialah sebab saya survive daripada kanser.

“Saya lawan kanser ni demi mak saya. Selain mak, penguat semangat saya adalah keluarga dan anak-anak buah,” ujarnya yang baru kehilangan bapa tercinta, Idris Mohamad pada November tahun lalu.

Mukhlis

Artikel Lain