suria

Pakai ‘pantyliner’ setiap hari untuk serap keputihan, rasa bersih... Doktor tegur kesilapan ramai wanita buat

Wanita disarankan memakai 'pantyliner' sekiranya ada keperluan, bukannya sepanjang masa. -Gambar hiasan

BAGI kebanyakan wanita, penggunaan pantyliner atau pelapik seluar dalam sudah menjadi rutin harian untuk mengatasi rasa melekit akibat masalah lelehan atau keputihan. 

Tambahan pula, keadaan cuaca panas dan berpeluh sering membuatkan ramai wanita tidak selesa dengan rasa lembap atau melekit di bahagian intim.

Namun timbul persoalan, adakah penggunaan pantyliner setiap hari selamat untuk kesihatan wanita?

Menurut perkongsian Dr Raihana Ismail, yang sering berkongsi tip kesihatan wanita di media sosial, memakai pantyliner setiap hari tidak salah, asalkan dilakukan dengan cara yang betul.

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita umur 30-an tinggi peluang hamil kembar, doktor kongsi rahsia buat pasangan sedang ikhtiar dapat ‘twin’

"Sebenarnya tak salah pun kalau kita nak pakai pantyliner setiap hari, selagi mana cara pakai dan penjagaannya betul," jelasnya.

Tambah beliau, ramai wanita suka memakainya kerana berasa lebih bersih, tidak melekit, tidak berbau dan lebih selesa terutama apabila sedang berpeluh atau mengalami sedikit keputihan.

Bagaimanapun ujarnya, masalah boleh timbul apabila pantyliner dipakai terlalu lama atau tidak ditukar dengan kerap.

"Pantyliner sebenarnya dibuat daripada bahan sintetik yang tidak berapa 'bernafas' (non-breathable).

"Bila kita pakai lama, kawasan 'bawah' tu jadi panas, lembap dan tertutup. Bakteria dan kulat suka sangat suasana macam tu.

"Jadi kalau tak tukar dengan kerap, ia boleh menyebabkan gatal-gatal, ruam, bau kurang menyenangkan dan jangkitan yis," katanya.

Pemakaian 'pantyliner' untuk tempoh yang lama akan mengundang masalah seperti kegatalan dan iritasi kulit. -Gambar hiasan

Bagi wanita yang masih mahu menggunakan pantyliner secara harian, Dr Raihana menasihatkan agar mengikuti beberapa langkah mudah bagi mengelakkan masalah kulit dan jangkitan:

1. Tukar setiap tiga hingga empat jam, jangan tunggu hingga petang.

2. Pilih pantyliner tanpa pewangi (fragrance-free) kerana bahan pewangi boleh mengganggu keseimbangan pH semula jadi faraj dan menyebabkan iritasi.

3. Gunakan jenis breathable cotton atau berasaskan kapas agar kulit dapat 'bernafas'.

4. Elakkan memakainya ketika tidur malam supaya bahagian intim dapat berehat dan kering secara semula jadi.

Dr Raihana turut menegaskan bahawa bagi wanita yang mengalami masalah keputihan berlebihan, pantyliner bukanlah jalan penyelesaian utama.

"Kadang-kadang ada masalah hormon, jangkitan kulat atau bacterial vaginosis. Jadi, daripada terus cover dengan pantyliner, lebih baik cari punca kenapa discharge (lelehan) tu banyak sangat," jelasnya.

Beliau juga menambah bahawa terlalu bergantung kepada pantyliner boleh mengganggu keseimbangan semula jadi bakteria baik di kawasan intim.

"Sesetengah orang ingat pantyliner ni boleh buat lagi bersih, tapi hakikatnya bila terlalu bergantung, kita sebenarnya ganggu keseimbangan semula jadi dekat 'bawah' tu.

"Kesimpulannya, pakai bila perlu, bukan sebab terbiasa. Sebenarnya tak bahaya kalau guna dengan cara betul dan jaga kebersihan. Guna dengan bijak," kongsinya lagi. 

Artikel Lain