DALAM budaya masyarakat Malaysia, berkumpul di rumah pusaka ketika musim perayaan atau kenduri kendara merupakan satu amalan yang merapatkan lagi hubungan kekeluargaan. Namun, ada individu yang kurang peka terhadap tanggungjawab selepas bermalam berhari-hari di rumah pusaka tersebut. Menurut Sarina, atau mesra dikenali sebagai Kak Tam, antara perkara yang ramai terlepas pandang selepas acara tamat ialah aspek kebersihan dan penyelenggaraan rumah pusaka. Ramai yang pulang ke kediaman masing-masing tanpa mengambil kira keadaan rumah yang ditinggalkan. Antara 'kelalaian' sering berlaku termasuklah tidak membayar bil elektrik dan air, meninggalkan tuala mandi telah digunakan serta melipat semula toto dan selimut tanpa mencucinya terlebih dahulu. Begitu juga kain selimut yang telah digunakan sekadar dilipat dan disimpan semula tanpa dibersihkan. Tangkap layar video penjelasan dibuat Kak Tam. Situasi ini memberi beban kepada individu yang tinggal di rumah pusaka atau yang terakhir meninggalkannya apabila terpaksa menjadi 'cleaner' tanpa kerelaan. Keadaan ini menimbulkan ketidakadilan dan beban bagi mereka yang bukan sahaja perlu mencuci bilik air tetapi juga perlu membuang lampin pakai buang yang ditinggalkan di dalam tandas. Kak Tam menegaskan jika rumah pusaka digunakan bersama, sepatutnya menjadi tanggungjawab bersama untuk membersih dan menyelenggaranya semula. Saranan Kak Tam, semua individu yang menggunakan kemudahan di rumah pusaka mengambil inisiatif untuk menghantar barangan seperti tuala dan selimut ke dobi sebelum pulang. Tambahnya, pinggan mangkuk, peralatan memasak seperti kuali kotor dan berkerak yang telah digunakan perlu dicuci dan disimpan di tempat yang betul. Selain menjaga kebersihan, aspek kewangan juga tidak harus diabaikan. Sekiranya mampu, meninggalkan sedikit wang untuk kegunaan penghuni rumah pusaka adalah satu tindakan yang boleh meringankan beban mereka. Namun sekiranya tidak berupaya menyumbang dari segi kewangan, sekurang-kurangnya pastikan tidak meninggalkan rumah dalam keadaan yang menyusahkan individu lain.