suria

Jaga kulit sehabis baik, tetap naik jerawat? Doktor beri 4 kesilapan pengambilan makanan

Ramai ada jerawat di bahagian kulit akibat masalah hormon. -Gambar hiasan

MASALAH jerawat hormon atau hormonal acne sering menghantui ramai remaja atau mereka yang menuju ke umur dewasa, terutamanya kaum Hawa.

Selain penjagaan kulit, pemakanan yang betul juga memainkan peranan penting dalam mengawal keadaan ini.

Menurut pakar estetik dan kecantikan, Dr Sharifah Firdawina Syed Ayob, terdapat empat langkah pemakanan yang boleh membantu mengurangkan jerawat akibat hormon.

Perubahan kecil dalam diet harian boleh memberi kesan besar bukan sahaja kepada kulit tetapi juga kesihatan keseluruhan.

Dr Wina banyak berkongsi tip di TikTok.

1. Tukar urutan pemakanan

Ramai orang terbiasa menjadikan nasi atau karbohidrat sebagai makanan utama namun, Dr Wina mencadangkan untuk menukar urutan pemakanan.

a. Makan makanan tinggi serat seperti sayur atau kekacang terlebih dahulu.

b. Diikuti oleh sumber protein seperti ayam, ikan atau daging.

c. Akhir sekali, barulah ambil nasi atau karbohidrat lain.

Cara ini dapat mengurangkan lonjakan insulin (insulin spike) sehingga 40 peratus serta membantu mengawal hormon yang boleh mencetuskan jerawat.

Selain itu, ia juga membantu mengekalkan berat badan yang sihat.

2. Jarakkan waktu makan sebelum tidur

Mengambil makanan berat, terutama yang tinggi karbohidrat atau berlemak sebelum tidur boleh meningkatkan risiko jerawat.

Sebaiknya, jarakkan sekurang-kurangnya empat jam sebelum tidur untuk mengelakkan peningkatan insulin dan gangguan hormon.

Jadi, jangan terkejut jika jerawat muncul keesokan harinya jika anda sering makan mi segera atau makanan berat sebelum tidur.

Makanan dari sumber protein baik untuk kulit.

3. Pilih protein yang lebih baik

Protein sangat penting untuk kesihatan, tetapi bukan semua protein memberi kesan yang sama terhadap kulit.

Dr Wina menasihatkan agar ayam tidak dimakan setiap hari, sebaliknya menggantikan dengan 'ayam organik'.

Menambah pengambilan ikan sekurang-kurangnya tiga kali seminggu, terutama ikan kembung dan salmon yang kaya dengan omega-3.

Ini kerana omega-3 membantu mengurangkan keradangan dan menyeimbangkan hormon, sekali gus mengurangkan risiko jerawat.

4. Minum teh yang baik untuk kulit

Terdapat dua jenis teh boleh membantu dalam mengawal hormonal acne

a. Teh hijau – Mengandungi antioksidan yang baik untuk kesihatan kulit.

b. Spearmint tea – Mampu mengurangkan aktiviti androgen, iaitu hormon yang berkaitan dengan jerawat hormon.

Untuk kesan terbaik, minum teh ini tanpa gula selepas makan.

Artikel Lain