DALAM dunia perubatan tradisional, tumbuhan semula jadi digunakan secara meluas sebagai penawar untuk menjaga kesihatan dan mencegah penyakit.
Salah satu daripadanya adalah bendi atau nama saintifiknya Abelmoschus esculentus, sejenis sayuran yang kaya dengan nutrisi dan sering dikaitkan dengan pelbagai manfaat kesihatan.
Sayur bendi banyak digunakan dalam pelbagai jenis masakan.
Menerusi media sosial, wanita dikenali sebagai Zamila Miela berkongsi kisah mengenai seorang lelaki berusia 86 tahun yang masih sihat dan aktif, meskipun usianya sudah lanjut.
Rahsia lelaki yang merupakan kawan kepada datuknya ini ialah dengan mengamalkan minum air rendaman bendi setiap hari sejak usia 30 tahun.
Berbeza dengan adik-beradiknya yang mengalami pelbagai penyakit seperti tekanan darah tinggi, diabetes dan kolesterol tinggi, lelaki itu menikmati tahap kesihatan lebih baik tanpa sebarang penyakit kronik.
Khasiat bendi untuk kesihatan. -Grafik Kementerian Kesihatan Malaysia
Berikut adalah langkah-langkah mudah untuk menyediakan air rendaman bendi:
1. Beli satu ikat bendi (harga sekitar RM1).
2. Potong halus bendi untuk membolehkan lendirnya keluar.
3. Rendamkan dalam air mineral selama lapan hingga 12 jam supaya semua nutrisi dan lendir bendi keluar (terlarut dalam air).
4. Minum air rendaman secukup rasa untuk mendapatkan manfaat kesihatannya.
5. Air boleh digunakan semula dengan cara rendam bendi yang sama sebanyak dua hingga tiga kali sehingga lendirnya habis.
6. Gunakan bendi sudah direndam dalam masakan seperti kari, digoreng kicap atau direbus sebagai ulam untuk mengelakkan pembaziran.