PEMAKANAN seimbang memainkan peranan penting dalam tumbesaran dan perkembangan kanak-kanak. Malangnya, kekurangan nutrisi menjadi isu yang semakin membimbangkan, terutamanya dalam kalangan kanak-kanak di peringkat awal usia. Menurut seorang doktor perubatan, Dr Erna Nadia, terdapat kes kanak-kanak lapan tahun di negara ini yang hilang deria penghilhatan kerana kekurangan vitamin A. "Seorang kanak-kanak darjah dua tiba-tiba cakap kepada gurunya, dia tak nampak apa-apa. Terkejut satu kelas dia jerit macam tu. Cikgu terus hubungi ibu bapa dan dia dibawa ke hospital. "Total blindess. Kehilangan deria penglihatan untuk kedua-dua mata. Setelah diperiksa, dilakukan pelbagai pemeriksaan yang bukan mudah dan bukan mengambil masa sehari dua, keputusan menunjukkan kekurangan vitamin A yang teruk. Menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk menyediakan makanan yang sihat kepada anak-anak. -Gambar hiasan "Terduduklah ibu bapanya. Sebabnya bila dietitian siasat, anak ini cuma makan processed foods sahaja iaitu nuget, sosej dan cookies sejak bayi sampailah ke darjah dua," tulisnya. Dalam perkongsian di Facebook, Dr Erna berkata kisah itu diceritakan sendiri oleh rakannya. Simptom awal Menurut Dr Erna, keadaan mata yang kering atau sukar melihat mungkin boleh menjadi petanda kepada masalah kekurangan vitamin A. "Simptom awal kekurangan vitamin A adalah mata menjadi kering, ada macam bayang atau spot kelabu di mata putih, sukar melihat waktu malam atau di dalam gelap, mata kurang menghasilkan air mata, jika dibiarkan akan lead to kehilangan penglihatan. Menu seperti nuget tidak sepatutnya diberi setiap hari kepada si cilik. -Gambar hiasan "Makanan yang tinggi dengan vitamin A adalah sayur bayam, carrot, buah mangga, buah betik, aprikot, ikan, ayam, telur kuning dan sweet potato," ujarnya. Saranan Menurut Dr Erna, ibu bapa sepatutnya membeli makanan yang sihat kepada anak-anak walaupun mereka mempunyai kekangan untuk memasak di rumah. "Sebagai ibu, jika kita tak dapat masak selalu sebab sibuk, tapi kita cubalah beli makanan yang betul-betul makanan lengkap. Nasi ayam pun OK, bihun sup pun OK, dan kena paksa juga mereka makan makanan yang sihat. "Kalau kena suap pun tak apalah janji mereka makan makanan yang betul-betul makanan supaya mereka dapat nutrisi tu. Vitamin dan makanan tambahan tidak membantu seperti makanan betul. "Kita cubalah ya masukkan menu sihat dan makan makanan yang betul-betul makanan setiap hari. Makan nasi dengan telur mata dan kicap pun OK janji makanan betul. "Makanan terproses adalah sangat tidak sihat dan tidak ada apa-apa nutrisi di dalamnya. Semakin lama ia boleh bertahan, semakin banyak warnanya, semakin tidak sihatlah ia," pesannya lagi.