SETIAP ibu bapa pasti menginginkan yang terbaik untuk anak mereka dalam setiap aspek, maka tidak hairanlah banyak perancangan dibuat sejak kecil. Begitulah yang dilakukan Noor Fathin Azlan dalam usaha memastikan anaknya mencapai cita-cita menjadi seorang doktor. Dalam perkongsiannya di Facebook, wanita ini menggunakan pendekatan menarik dengan menyediakan buku catatan sendiri. Buku ini diwujudkan untuk dijadikan panduan dan rujukan ketika membesarkan anak perempuannya, Siti Aisyah yang berusia enam tahun dan dua lagi anak yang lain. "Satu anak, satu buku catatan. Tujuan utama untuk catat tahap perkembangan anak mengikut usia, pemakanan sihat, kesihatan, pendidikan, rutin harian, kenal pasti minat dan bakat anak. "Selain itu, tolong buatkan hala tuju kerjaya anak. Anak saya nak jadi doktor. Jadi apa yang mommy perlu bantu di awal usia. Catatan dibuat oleh Fathin ketika membesarkan anaknya. "Salah satunya, buat jadual pemakanan dan menu sihat untuk merangsang otak anak dan beri pendedahan awal subjek Sains dan Matematik," katanya. Sekiranya anak Fathin tidak lagi mahu meneruskan cita-citanya menjadi seorang doktor, sekurang-kurangnya pendedahannya kepada subjek asas tersebut sudah mencukupi syarat utama untuk kerjaya lain. Imbas Fathin, sebelum ini dia sudah mengamalkan kaedah mencatat maklumat ke dalam buku sebagai nota dan rujukan ketika berbisnes. "Tak rugi beri pendedahan awal subjek Sains dan Matematik pada anak. Boleh merangsang otak. Bila anak mahir dalam Sains dan Matematik, InsyaAllah subjek lain juga akan jadi mudah untuk anak. "Dulu setiap malam selalu buat nota macam ni untuk bisnes, bila melihatkan bisnes ni ada naik dan turun. Kita dah berkorban macam-macam, tiba-tiba boleh jatuh. Sebab bisnes ni satu dunia yang tak boleh dijangka. "Sampai satu tahap, hati jadi lali dan kebal. Ah dia nak jatuh, jatuhlah. Tak ada nak 'down'. Nanti esok bangkit dan berusaha, naiklah baik. Jarang orang yang bangkit dari jatuh dan berusaha takkan berjaya," katanya lagi. Ibu kepada tiga cahaya mata ini mengutamakan subjek Sains dan Matematik dalam membesarkan anak-anak. Tambah Fathin, walaupun dalam menguruskan bisnes memerlukan usaha dan pengorbanan, tetapi ia tidak boleh dijadikan sebagai perkara paling utama dalam hidup. Berbeza dengan anak, apabila mereka diabaikan sejak kecil, ia akan membuatkan mereka menjauh daripada ibu bapa. "Bila kita abaikan anak dari kecil, dah buat mereka menjauh dengan kita, nak naikkan balik hubungan seperti bisnes bukan mudah. Sebab masa tidak boleh diputar. Tak boleh nak putar anak jadi baby balik. "Dengan bisnes kita boleh bermula dari bawah semula, tapi dengan anak, kita hanya boleh melalui kesempatan yang ada sahaja. Entah sempat atau tidak. "Sekarang, saya gembira menjadi mompreneur (ibu bekerjaya) yang meletakkan keluarga nombor satu dan menjadikan bisnes sebagai punca pendapatan sahaja, bukan lagi penentu kejayaan diri," jelasnya lagi. Jika diteliti pada ruangan komen, Fathin juga menjelaskan bahawa dia hanya boleh menjadi pendorong dengan memberikan sokongan dan pendedahan awal kepada anak dan bukanlah memaksa mereka sekiranya tidak mahu meneruskan cita-citanya. Malah ramai turut memuji kaedah yang digunakan wanita ini yang mengambil serius tentang impian anaknya dengan merekodkan progres ketika membesarkan mereka. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube