suria

Tension headache paling kerap dialami rakyat Malaysia... Pakar kata boleh jadi punca tumor otak!

Dr Kok Chin Yong menjelaskan tension headache paling biasa berlaku dalam kalangan rakyat Malaysia.

SAKIT kepala boleh berlaku disebabkan pelbagai faktor namun sesetengah individu mungkin akan mengalami kesukaran untuk melakukan aktiviti harian apabila kesakitan dialami semakin serius termasuklah migrain.

Tension headache merupakan sejenis sakit kepala paling kerap dialami rakyat Malaysia iaitu sebanyak 26.5 peratus, diikuti migrain (9 peratus) serta pelbagai jenis sakit kepala lain (28.2 peratus).

Untuk rekod Tension headache adalah sakit kepala tegang yang rasa sakitnya biasanya menyebar di sekitar dahi, bahagian belakang serta leher.

ARTIKEL BERKAITAN: Fobia ke klinik gigi? Pakar saran jumpa doktor pada waktu petang

Pakar Perunding Perubatan dan Neurologi daripada Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV), Dr Kok Chin Yong berkata, tension headache dan migrain boleh bertukar menjadi sakit kepala kronik dengan kajian menunjukkan bahawa dua peratus daripada pesakit migrain bertukar menjadi pesakit migrain kronik setiap tahun.

"Sakit kepala kronik boleh diklasifikasikan sebagai sakit kepala yang berlaku selama 15 hari atau lebih dalam tempoh sebulan, selama tiga bulan atau lebih.

"Walaupun ia tidak semestinya menjadi petanda kepada satu penyakit yang lebih serius, sakit kepala kronik tidak boleh dipandang ringan.

"Anda perlu dapatkan rawatan perubatan jika sakit kepala yang dialami disertai dengan simptom lain seperti rasa kebas, lemah badan, sukar bercakap dan berjalan, gangguan penglihatan, demam dan penurunan berat badan," jelasnya.

Dr Kok Chin Yong

Pakar Perunding Perubatan dan Neurologi dari Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV), Dr Kok Chin Yong.

Punca sakit kepala dan cara merawat

Dr Kok berkata, kebanyakan pesakit mengalami sakit kepala berepisod yang datang dan pergi, di mana sesetengah daripada mereka memerlukan sedikit atau tidak memerlukan sebarang ubat.

Sesetengah daripada pesakit juga menderita daripada medication overuse headache (MOH) yang sebahagian besarnya kurang didiagnos namun masih boleh dirawat dengan menggunakan ubat tahan sakit secara terkawal untuk mengurangkan tahap keseriusannya.

"Migrain boleh mengehadkan serta mempengaruhi kualiti kehidupan dan kerja seseorang. Ia boleh menjadi semakin teruk selepas melakukan aktiviti fizikal lalu mempengaruhi konsentrasi dan fokus yang seterusnya mengurangkan tahap kecekapan mereka di tempat kerja.

"Sakit kepala berepisod pula boleh dihindarkan daripada menjadi migrain kronik melalui pengambilan ubat pencegahan dan membuat perubahan gaya hidup," jelasnya.

Perubahan gaya hidup ini kata Dr Kok, termasuklah melakukan senaman secara kerap, menguruskan tekanan dengan baik dan mendapatkan tidur yang mencukupi.

Asian beautiful frustrated girl in pajamas sleep on bed in dark night. Attractive young woman lying down with upset and angry feeling due to noise and put cozy blanket on her ears in bedroom in house.

Tidur yang mencukupi dan berkualiti boleh membantu masalah sakit kepala.

Plan rawatan alternatif yang tidak menggunakan ubat juga adalah penting menurut Dr Kok kerana ia boleh mencetus atau menambahkan lagi sakit migrain, menerusi;

1. Mendapatkan sekurang-kurangnya tujuh jam tidur yang berkualiti

2. Jangan mengambil alkohol atau minuman berkafein selepas pukul 3 petang kerana ia boleh mengganggu kualiti tidur

3. Elak menatap skrin telefon atau komputer terlalu lama kerana ia boleh mencetuskan migrain terutamanya dalam kalangan orang muda kerana golongan umur ini lebih sensitif terhadap cahaya dan bunyi.

"Kunci utama untuk mengelak migrain adalah keteraturan. Pesakit yang menghidapi migrain perlu mempunyai jadual makan dan tidur yang teratur.

"Jika seseorang itu kerap mendapat serangan migrain, mereka harus tahu bahawa terdapat ubat-ubatan pencegah yang sememangnya baik dan berkesan untuk mengurangkan beban sakit yang dialami mereka.

"Sesetengah daripada ubat-ubatan pencegah ini hadir dalam bentuk pil dan sesetengahnya pula dalam bentuk suntikan. Ubat pencegah dalam bentuk suntikan lebih mudah untuk diawasi dan boleh mengurangkan kekerapan dan keseriusan serangan migrain," katanya.

Dr Gerard Arvind Martin

Pakar Bedah Neuro SMCV, Dr Gerard Arvind Martin.

Petanda masalah kesihatan yang lebih serius

Sementara itu, Pakar Bedah Neuro SMCV, Dr Gerard Arvind Martin pula berkata, pesakit dengan sakit kepala yang berlarutan atau semakin teruk kadangkala boleh membawa kepada penyakit saraf yang mengancam nyawa dan, jika tidak dirawat, boleh membawa maut.

Dr Gerard menjelaskan sesetengah sakit kepala boleh menjadi petanda tumor yang mengakibatkan sakit kepala di seluruh bahagian atau di sesetengah bahagian kepala.

"Ada kes di mana sakit kepala dialami pesakit disebabkan oleh tumor atau keadaan vaskular seperti aneurysm yang boleh menjejaskan kawasan tertentu dengan cara menekan atau berkembang dalam otak.

"Tumor ini boleh membesar secara perlahan atau cepat dengan menekan otak dan menyebabkan bahagian itu memberi reaksi kepada tisu tumor tersebut, lalu pembengkakan otak dan sakit kepala berlaku," jelasnya.

Selain daripada sakit kepala, pesakit juga boleh memerhatikan fungsi neurologi lain sama ada terjejas atau pun tidak seperti kemerosotan dalam membuat keputusan, pemikiran dan daya ingatan.

Asian woman having headache migraine, hangover, lack of sleep sitting in bed after wake up in morning

Rawatan segera boleh membantu pesakit.

Dr Gerard juga memberitahu sawan yang berlaku sebelum, semasa atau selepas sakit kepala juga boleh dijadikan petanda tumor otak.

"Apabila pesakit datang ke hospital dengan beberapa atau kesemua simptom ini, ujian imbasan CT akan dilakukan sebagai ujian saringan awal dan ujian MRI akan dilakukan bergantung kepada hasil ujian imbasan CT serta plan rawatan yang disyorkan kepada pesakit," katanya.

Namun begitu, Dr Gerard menekankan bahawa bukan semua sakit kepala boleh menjadi petanda kepada penyakit saraf yang merbahaya.

Sebaliknya kata Dr Gerard, sakit kepala sebenarnya boleh berlaku disebabkan oleh anggota kepala yang lain seperti mata, telinga, leher, sinus atau gigi.

Oleh itu, pesakit perlu mengambil kira keadaan di bahagian tersebut dahulu dan beritahu doktor semasa menjalani konsultasi pertama.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain