suria

Jaga-jaga... 5 penyakit ini lebih popular dalam kalangan wanita berbanding lelaki

Penyakit rheumatoid arthritis lebih banyak menyerang kaum wanita berbanding lelaki.

PELBAGAI faktor boleh menjadi penyebab seseorang itu diserang sesuatu penyakit seperti terdedah kepada risiko, genetik serta gaya hidup.

Bagaimanapun jantina seseorang juga boleh mempengaruhi malah terdapat beberapa jenis penyakit yang lebih sinonim dengan kaum wanita berbanding lelaki.

ARTIKEL BERKAITAN: Bukan semata-mata gaya hidup... Anak sulung antara 6 faktor lain risiko diabetes

Apakah penyakit tersebut? Berikut adalah 5 penyakit yang lebih popular dalam kalangan wanita.

1. Migrain

Penyelidikan yang dilakukan Duke-NUS Medical School dan Novartis mendapati migrain tiga kali lebih banyak berlaku kepada wanita berbanding lelaki.

Alasannya, ia disebabkan ketidakseimbangan hormon dan lebih daripada 50 peratus migrain yang berlaku pada wanita adalah sebelum, ketika dan selepas datang haid.

Kajian lain pula mendapati otak wanita memiliki pencetus untuk mengaktifkan gelombang yang bertanggungjawab ke atas serangan migrain.

2. Angin ahmar

Data yang diperoleh mendapati satu daripada lima wanita mengalami angin ahmar. Jumlah ini lebih tinggi berbanding kes melibatkan kaum lelaki iaitu satu daripada enam.

Ada beberapa faktor membuatkan risiko strok lebih tinggi pada wanita termasuk penggunaan terapi hormon tertentu dan pengambilan pil kontraseptif.

Kedua-duanya meningkatkan risiko pembekuan darah yang boleh menyebabkan strok iskemia. Selain itu, wanita juga berisiko mengalami pecah saluran darah di otak yang menyebabkan strok hemoragik.

Seperti diketahui umum, tekanan darah tinggi yang tidak terkawal juga boleh menjadi penyebab serangan angin ahmar.

3. Rheumatoid arthritis

Penyakit autoimun ini berlaku tiga kali lebih banyak pada wanita berbanding lelaki.

Sehingga kini, penyebab sebenar penyakit ini belum diketahui tetapi gabungan kromosom X dan gen yang berkaitan dengan imunisasi, hormon dan faktor persekitaran dikatakan sebagai penyebab utamanya.

4. Insomnia

Banyak kajian yang menunjukkan insomnia lebih kerap berlaku pada golongan wanita berbanding lelaki. Ini berkaitan dengan perubahan hormon terutamanya semasa mengalami menopaus.

Di samping itu, penyelidikan terbaharu menunjukkan wanita lebih cenderung mewarisi gen tertentu yang meningkatkan kemungkinan mengalami insomnia berbanding lelaki.

5. Kemurungan

Singapore Mental Health Study pada 2017 mendapati gangguan kemurungan seumur hidup lebih banyak berlaku kepada kaum wanita iaitu sebanyak 7.2 peratus berbanding lelaki, 4.3 peratus.

Ia boleh disebabkan kejadian tertentu yang berlaku kepada mereka sehingga meningkatkan risiko kemurungan. Contohnya melahirkan anak atau mengalami menopause lebih awal.

Selain itu, tugas di pejabat dan rutin menjaga keluarga boleh menjadi pencetus kemurungan.

Artikel Lain