suria

Petua roti jagung boleh tambah susu badan rupa-rupanya mitos, tetapi tidak salah dimakan!

Roti jagung tidak dapat meningkatkan susu badan tetapi ia kaya dengan serat, vitamin serta antioksidan.

ADA dalam kalangan ibu-ibu yang sedang menyusu badan pasti berasa bimbang apabila susu dihasilkan tidak mencukupi serta mampu memberi kesan kepada anak.

Pelbagai perkara cuba dilakukan bagi meningkatkan susu dalam badan termasuk menukar diet, mengambil suplemen serta menggunakan alatan milk booster.

ARTIKEL BERKAITAN: Dah makan baru sedar roti berkulat... betul ke boleh mati?

Pelbagai petua cuba digunakan tanpa mendapatkan nasihat doktor terlebih dahulu sehingga ada di antaranya mampu memberi kesan buruk kepada ibu dan bayi yang masih menyusu.

Ini termasuklah ada mengatakan roti berperisa jagung mampu menjadi milk booster semula jadi bagi menggalakkan penambahan air susu pada ibu.



Jagung kaya dengan pelbagai khasiat.

Menjelaskan mengenai perkara itu, Pegawai Perubatan Klinik Ajwa Shah Alam, Dr. Arisman Abdul Rahman menjelaskan petua itu tidak berasas.

Bagaimanapun jelasnya, roti berperisa jagung masih mempunyai pelbagai manfaat termasuklah tinggi kandungan serat, vitamin, mineral serta antioksidan.

"Ia tidak benar dan sekadar mitos. Jadi jangan beli hanya kerana percaya kepada tuntutan tersebut. Pun begitu, roti jagung masih mempunyai pelbagai manfaat," katanya.

Menjawab soalan mengenai kaedah terbaik bagi ibu yang sedang menyusu badan untuk meningkatkan susu badan, Dr. Arisman menyenaraikan beberapa tip, termasuklah;

1. Air Kosong

Ibu yang sedang menyusu badan disarankan untuk lebih kerap minum air kosong kerana dengan cara itu ia boleh menghindarkan dehidrasi.

2. Teknik menyusu

Adalah penting bagi ibu terutamanya yang belum berpengalaman mempelajari teknik menyusu dengan betul. Jururawat di klinik kesihatan turut menyediakan kelas teknik menyusu dengan betul.



Menyusu badan perlu dilakukan dengan tenang.

3. Tenang

Menyusu badan boleh menjadi proses sukar jadi ibu disarankan untuk sentiasa bertenang dan jangan tertekan.

4. Jangan berputus asa

Sebaik-baiknya berikan air susu ibu kepada bayi sehingga mencapai usia enam bulan. Jangan terburu-buru memberikan susu formula tanpa berjumpa doktor terlebih dahulu.

5. Jauhi produk dalam talian

Jangan mudah terpedaya dengan produk yang dijual di internet dan dapatkan konsultasi doktor terlebih dahulu. Jika perlu doktor akan memberikan ubat 'milk booster' kepada ibu dengan pemantauan.



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain