suria

Keluarga ini ada formula elak bosan ketika PKP... dapur meriah pagi sampai supper, siap ada kedai mini di rumah!- “Kalau nak duit lebih kena rajin”

Anak-anak Rozita menghabiskan masa bersama membantu membuat kuih.

KEBIASAANYA hanya hujung minggu masa diluangkan untuk anak-anak memandangkan rata-ratanya masih bersekolah.

Hanya Sabtu dan Ahad dikhususnya untuk kita lakukan aktiviti bersama keluarga, itu pun jika ibu atau ayah tidak sibuk dengan urusan kerja.

Tetapi sedar atau tidak, tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini telah membuatkan hubungan kekeluargaan itu semakin erat. Mana tidaknya, dari pagi sampai ke malam, hanya ruang rumah sahaja menjadi tempat berkumpul menghabiskan masa bersama.

ARTIKEL BERKAITAN: Resah, sedih tak dapat keluar rumah... Dr Che Hafiz kongsi 7 tip jaga kesihatan mental ketika PKP

Bagi ibu kepada empat anak, Rozita Omar, walaupun kadang-kadang timbul rasa kesian dengan anak bongsunya, Syaqeef yang berusia setahun setengah yang ingin keluar ke taman berdekatan pada waktu petang, tetapi demi keselamatan dia perlu bertegas.

Syafika (kanan) meluangkan masa bermain monopoli bersama adik-adiknya dan seorang sepupu.

“Rutin setiap petang, saya atau kakaknya akan mebawa dia berjalan-jalan atau bermain di kawasan pemainan berhampiran rumah.

“Namun sejak PKP ini, saya memang tak bagi mereka keluar rumah kerana bimbang dengan penularan Covid-19 ini. Jadi lebih baik saya banyakkan aktiviti di dalam rumah sahaja,” kongsinya bersama mStar.

Buat aktiviti bersama

Menurut suri rumah sepenuh masa ini, dia bersyukur kerana tiga lagi anaknya (Nursyifaa, Mohd Syabil dan Nursyafiaa) sudah boleh berdikari dan melakukan kerja-kerja rumah.

Antara kuih yang dibuat oleh anak-anak Rozita.

“Anak yang sulung berusia 13 tahun dan sudah boleh diharap. Selain menjaga adik-adiknya, dia juga sudah pandai memasak menu harian untuk seisi keluarga.

“Sebarang aktiviti di rumah, seperti memasak saya akan libatkan anak-anak.  Biasanya mereka akan lihat dulu saya memasak dan selepas itu mereka sendiri yang ingin mencuba.

“Boleh dikatakan setiap hari dapur rumah saya memang meriah dari pagi sampai ‘supper’. Ada sahaja menu yang hendak dicuba.

“Kebetulan suami (Ismail Hashim) pula bekerja dari rumah, jadi lengkaplah kami sekeluarga menghabiskan masa bersama di rumah setiap hari,” ujarnya.

Ulangkaji pelajaran

Jelas Rozita, tempoh panjang cuti persekolahan ini bukan bermakna ‘buku sekolah’ turut bercuti.

“Setiap hari mereka akan ambil masa sekurang-kurang dua jam untuk mengulangkaji pelajaran masing-masing.

“Kalau sebelum ini papanya sibuk dengan kerja dan tidak sempat melihat kerja-kerja sekolah anak-anak, keadaannya berbeza dalam tempoh PKP ini.

Syafiyaa bersama adik bongsunya turut sibuk di dapur.

“Selepas mengulangkaji pelajaran baharulah mereka diberi pelepasan untuk membuat aktiviti sendiri seperti permainan video atau menonton filem kegemaran masing-masing," katanya.

Dalam pada itu, anak sulungnya Nursyifaa memberitahu, tempoh PKP ini agak boring tetapi dia menggunakan masa yang ada dengan baik.

“Setiap hari cikgu ada hantar (WhatsApp) kerja-kerja sekolah yang perlu disiapkan atau ulangkaji.

"Papa juga akan print homework dan kami semua akan siapkan bersama.

“Selain itu, apa yang paling seronok saya dapat luangkan masa dengan melayan adik-adik bermain monopoli dan sebagainya,” jelasnya.

Belajar menu baharu

Tambah ibu berusia 40 tahun ini, dia lega kerana anak-anaknya menunjukkan minat dalam bidang masakan.

“Saya ni memang jenis yang suka memasak pelbagai resepi. Jadi setiap hari saya akan pastikan dua hingga tiga menu untuk hidangan sekeluarga.

“Sebelah petang pula sediakan kuih muih, jadi merekalah yang menjadi pembantu chef saya.

“Macam hari ini saya ajar mereka buat kuih cucur badak. Semua teruja menguli tepung, dan lebih-lebih lagi kuih mereka itu menjadi,” katanya.

Nursyifaa sudah boleh diharap melakukan kerja-kerja di dapur termasuk memasak.

Tambah Rozita, ibu bapa memainkan peranan penting dalam tempoh PKP ini untuk melayan anak-anak daripada kebosanan berada di rumah.

“Saya memang tak benarkan mereka bermain handphone atau gajet lain. Ada banyak benda lain yang boleh mereka buat selain bermain gajet.

“Bergurau senda dengan anak-anak antara faktor penting hubungan sesebuah keluarga itu happy. Paling penting kami semua dapat merapatkan hubungan dengan melakukan solat berjemaah. 

"Selepas itu anak-anak akan mengaji bersama-sama.

“Kalau nak fikir, memanglah PKP ini membosankan anak-anak perlu berada di rumah sepanjang hari, tetapi kita yang mencorakkan agar mereka tidak rasa bosan,” ujarnya.

Kedai mini yang disediakan oleh Rozita untuk anak-anaknya.

Buat kerja dapat gaji

Tambah Rozita, dia juga turut menyediakan kedai mini di rumahnya.

"Saya ada siapkan pelbagai jenis makanan ringan seperti roti, keropok dan lain. Tetapi anak-anak saya tidak boleh ambil semua barang-barang tanpa 'membayarnya'. Kira ada syaratlah kalau nak makan.

"Setiap hari akan ada tugas untuk mereka sepeti jemur baju, mop rumah, kemas rumah atau cuci bilik air. Segala kerja yang mereka buat itu akan dapat gaji dari papa mereka. 

"Jadi duit gaji itulah mereka beli barang-barang di kedai mini dalam rumah ni. Saja saya ajar mereka berdikari. Kalau nak duit lebih, kena rajin, " jelasnya.

Aktiviti, Anak-Anak, Masak, PKP, Covid-19

Artikel Berkaitan

Artikel Lain