suria

Jaga gigi palsu, ia bukan hanya pelengkap senyuman si pemakai

Seorang pelancong asing bergambar sambil menunjukkan giginya bersebelahan iklan gigi palsu ketika bersiar-siar di sekitar Jalan India baru-baru ini. Foto: Bernama

GIGI palsu memang 'penyelamat' kepada mereka yang tidak mempunyai gigi kerana ia mampu menutup ruang-ruang kosong di bahagian gusi, sekaligus memberi keyakinan diri kepada si pemakai.

Pemakai bukan sahaja mempunyai lebih banyak pilihan makanan malah lebih yakin ketika bercakap dengan orang lain.

Namun, sejauh manakah kesedaran penjagaan gigi palsu dalam kalangan pengguna gigi palsu?

Kaji selidik secara global yang dijalankan oleh GlaxoSmithKline (GSK) mendapati, 56 peratus pengguna gigi palsu tidak tahu cara yang betul menjaga kebersihan gigi palsu mereka. Malah, kebanyakan pengguna hanya menggunakan berus gigi biasa dan ubat gigi untuk membersihkan gigi palsu.

Lebih memeranjatkan, kira-kira 49 peratus daripada pengguna gigi palsu tidak berjumpa doktor gigi secara berkala. Mereka hanya berjumpa doktor apabila mengalami masalah dengan gigi palsu mereka.

Cara berkesan bersih gigi palsu

Gigi palsu perlukan penjagaan kebersihan.


Pensyarah dan pakar prostodontik Fakulti Pergigian Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Ho Ting Khee menegaskan bahawa pemakai gigi palsu harus menitiberatkan kebersihan mulut.

Penjagaan kebersihan mulut yang betul penting bagi menghalang plak dan kalkulus terbentuk pada asas gigi palsu yang boleh berlaku jangkitan bakteria dan seterusnya membuatkan nafas berbau dan keradangan dalam mulut.

"Pesakit harus menjalani pemeriksaan oral dan gigi palsu dengan doktor gigi setiap enam bulan, dan tidak menunggu apabila gigi atau gigi palsu mereka mempunyai masalah serius.

"Saya sering memberi nasihat kepada pesakit saya mengenai penjagaan gigi palsu yang betul dan mengelak mereka daripada terikut-ikut dengan cara pembesihan gigi palsu dalam internet,” katanya semasa majlis penutupan kempen “Senyum bersama dengan yakin Polident, baru-baru ini.

Dr Ho berkata gigi palsu seharusnya ditanggalkan pada waktu malam ketika tidur dan gigi direndamkan dalam ubat pencuci gigi palsu setelah dicuci mengguna berus gigi lembut.

"Jangan gunakan ubat gigi atau produk pembersihan rumah kerana bahan ini boleh merosakkan gigi palsu," tegas beliau sambil menambah bahawa pengguna juga perlu membersihkan gusi dengan menggunakan kain yang lembap.

Menurut beliau, pada 2016 sahaja, kliniknya menyediakan sebanyak 62,352 set gigi palsu untuk Kementerian Kesihatan.

"Ia menunjukkan bahawa kita perlu memberi kesedaran dan mendidik rakyat mengenai cara penjagaan gigi palsu yang betul kerana ramai yang memakai gigi palsu," katanya.

Seksanya tidak punyai gigi

Menurut Dr Ho, kajian di barat mendapati bahawa pesakit yang mengalami keadaan kesihatan pergigian yang kurang baik akan menjejaskan pengambilan makanan yang seimbang.

Lebih-lebih lagi sekiranya pesakit itu mengalami masalah kegusaran (tanpa gigi), kerana mereka akan mempunyai masalah mengunyah dan menelan, terutama sayur-sayuran dan buah-buahan.

"Keadaan ini akan menjejaskan pengambilan nutrien dan mereka akan menjadi lemah kerana kurang bertenaga. Justeru adalah sangat penting bagi pesakit mendapatkan rawatan untuk menggantikan gigi yang dicabut," katanya.

Dr Ho menjelaskan, keadaan gigi palsu yang sempurna bukan sahaja dapat melaksanakan banyak fungsi, malah seseorang itu akan lebih tenang jiwanya.

"Ramai pesakit memberitahu saya, mereka segan untuk bersosial kerana malu untuk senyum.

"Ada sesetengah daripada mereka yang tidak mempunyai gigi, sebenarnya mempunyai otot pipi yang sangat tegang apabila senyum. Mereka tidak menunjukkan mulut mereka dan kerap kali akan cuba menyembunyikan gigi ketika senyum," katanya.

Dr Ho menjelaskan lazimnya sebanyak 32 set gigi kekal akan dibuat untuk seumur hidup, namun atas faktor jangkitan atau sebarang insiden, gigi palsu itu mungkin akan ditanggalkan.

Penyakit yang biasa dialami pemakai gigi palsu ialah gigi berlubang atau berongga dan punca lain yang biasa ialah penyakit gusi atau periodontal.Terdapat juga kejadian, kehilangan gigi adalah disebabkan kemalangan atau kejadian trauma semasa perlawanan yang melibatkan sentuhan fizikal seperti hoki.

Penjagaan sering diabaikan

Gigi palsu perlu dicuci menggunakan berus gigi lembut.


Mengulas isu sama, Presiden Persatuan Pergigian Malaysia Dr Leong Kei Joe mengingatkan pesakit agar berjuma doktor gigi dua kali setahun walaupun tidak ada masalah pada mulut atau gigi mereka.

"Lazimnya, jika masalah dikesan awal, anda sebenarnya boleh dengan mudah merawatnya dan ia juga akan menjimatkan wang," katanya.

Beliau menegaskan bahawa ramai yang memandang remeh akan penjagaan gigi sedangkan gigi sebahagian daripada tubuh badan mereka dan penjagaan kesihatan mulut yang baik akan menyumbang kepada kesejahteraan hidup.

"Ini sangat penting dan jika kita kehilangan gigi, banyak masalah akan datang, anda tidak boleh bercakap, menyanyi dengan betul begitu juga anda tidak boleh makan dengan sempurna," katanya.

Penjagaan gigi ibu bapa

Kebersihan gigi palsu ibu bapa adalah tanggungjawab anak-anak.

Statistik 2016 Kementerian Kesihatan Malaysia menunjukkan bahawa secara purata jumlah gigi yang ada akan berkurangan dengan peningkatan usia.

Bagi kumpulan usia 65 hingga 74 tahun, sebanyak 11.1 peratus pesakit tidak bergigi dan jumlahnya meningkat hampir dua kali ganda, kepada 21.4 peratus, bagi kumpulan umur 75 tahun dan ke atas.

Disebabkan faktor ini, Pengarah Pemasaran dan Ketua Digital GSK Consumer Healthcare bagi rantau Asia Tenggara, Venaig Solinhac berkata kempen bertujuan untuk meningkatkan kesedaran kanak-kanak terhadap penjagaan gigi palsu ibu bapa mereka.

"Ibu bapa memainkan peranan penting dalam tahun-tahun awal pembentukan hidup kita.

Mereka juga adalah insan yang memperkenalkan berus gigi pertama dan mengajar kita semua tentang kebersihan gigi.

"Apabila kita dewasa, peranan bertukar dan kini tibalah giliran kita untuk menjaga keperluan kesihatan pergigian ibu bapa, terutamanya jika mereka memakai gigi palsu," katanya. -Bernama

Gigi palsu, kebersihan, jaga, Famili, xpose

Artikel Lain