Kisah lucu jemaah terkentut akibat sapu minyak angin dalam ihram - Ad-din | mStar

Kisah lucu jemaah terkentut akibat sapu minyak angin dalam ihram

Banyak pantang larang perlu dipatuhi ketika umat Islam mengerjakan haji dan umrah.

KISAH ini tidak dapat saya lupakan. Apabila teringat, hati saya bagai digeletek. Setiap kali juga apabila berkunjung ke padang Arafah ketika ziarah di sekitar kota Makkah, kenangan silam akan terjah dalam fikiran.

Peristiwa itu berlaku di padang Arafah, Makkah ketika saya menunaikan ibadat haji tidak lama dulu. Semua jemaah bersiap sedia untuk berangkat ke Muzdalifah dan seterusnya ke Mina selepas solat Isyak.

Kesesakan begitu ketara. Semua jemaah fokus untuk menaiki bas.

Nasihat kakitangan Lembaga Tabung Haji agar semua jemaah beratur ketika menaiki bas tidak lagi diendahkan kerana semua kepenatan menunggu setelah seharian di Arafah dengan cuaca panas kering.

Bas yang sepatutnya sampai anggaran pukul 9 malam tidak kunjung tiba. Jemaah keresahan, terutama warga emas. Bukan saja tubuh mula lemah lesu dan minda keletihan, mata pula terasa mengantuk kerana malam kian larut.

Hanya pada pukul 1 pagi, bas tiba untuk mengambil jemaah. Sejurus bas sampai di depan mata, jemaah berebut menaikinya, yang berusia semestinya tewas dalam rebutan menaiki bas kerana terpaksa akur dengan kekuatan fizikal jemaah yang lebih muda.

Saya pula biarpun ketika itu berusia 30-an, tidak mahu berebut dan hanya menunggu dengan sabar kerana bersama-sama saya, ada tiga warga emas.

Umat Islam ketika melakukan wukuf di Arafah pada musim haji.

Jadi saya biarkan saja sambil melihat perlakuan jemaah berebut-rebut menaiki bas.

Persekitaran padang Arafah mulai lengang. Saya tidak dapat melelapkan mata manakala ramai juga yang kelihatan lena dan tidak kurang juga ada yang berdengkur.

Kira-kira pukul 3 pagi, muncul sebuah bas berhampiran tempat kami berkumpul.

Saya turut mengejutkan beberapa jemaah yang ada di kiri kanan. Semua terjaga dan kami menaiki bas tanpa gopoh.

Sejurus bas bergerak, saya memerhati di sekeliling. Belum mampu tidur walaupun terasa penat. Di sebelah kiri saya, terpandang sepasang suami isteri berusia. Si suami kelihatan tidak bermaya dan mengeluh penat.

Si isteri pula mencari sesuatu di dalam beg galas lantas mengeluarkannya. Bau minyak angin cap kapal menyusup ke dalam hidung.

“Eh boleh ke guna minyak angin? Kita ni dalam ihram?” soal si suami.

“Ustaz cakap boleh. Kalau minyak wangi memang tak bolehlah. Inikan ubat…” balas si isteri.

Saya terus memerhatikan mereka. 

Si isteri menggosok bahagian belakang badan si suami yang sedang membongkokkan sedikit tubuhnya. Sesekali terdengar si isteri sendawa.

“Awak tu angin,” ujar si isteri. Si suami diam saja.

Saya mengalihkan perhatian ke tempat lain. Mata hampir terlelap sambil memeluk beg bimbit yang dibawa sebagai bekalan di Arafah dan Mina. Suasana di dalam bas sepi sebab ramai yang tidur.

Mata saya tertumpu semula pada pasangan itu sebab si suami meminta si isteri menggosok minyak lagi di tengkuknya.

Dalam leka memerhatikan mereka, tiba-tiba, jemaah lelaki itu terkentut dengan bunyi yang agak kuat sehingga menyebabkan saya ketawa sendirian. 

Saya menahan ketawa beberapa ketika kerana terasa kurang sopan jika mereka mendengar suara saya. Sejurus kentut, masih saya ingat kata-kata jemaah berkenaan.

“Hah, lega rasanya dah keluar angin,” ujar si suami dengan nada penuh kelegaan.

Jemaah lain dibuai mimpi. Saya tidak dapat tidur dek kerana memerhatikan gelagat pasangan jemaah berkenaan.

Insiden itu mengingatkan saya mengenai pantang larang ketika berihram.

Antara pengajaran daripada peristiwa itu ialah jemaah selalu keliru sama ada boleh menggunakan minyak angin atau tidak ketika dalam ihram.

Minyak angin tidak termasuk barang yang dilarang untuk digunakan oleh jemaah.

Berikut ialah pantang larang ketika dalam ihram

1. Memakai pakaian bercantum seperti baju, seluar, sarung (lelaki)

2. Memakai penutup kepala seperti topi, songkok dan tuala (lelaki)

3. Menutup muka dan tapak tangan (perempuan)

4. Memakai sarung tangan

5. Memakai wangi-wangian atau haruman

6. Memakai minyak di kepala, janggut, misai dan semua bulu di muka kecuali bulu yang tumbuh di pipi dan dahi.

7. Menanggalkan rambut atau bulu dari anggota tubuh.

8. Memotong kuku.

9. Menebang, mematah atau mencabut pokok atau tumbuhan di Tanah Haram.

10. Memburu atau membinasakan haiwan buruan yang halal.

11. Bercumbu-cumbu atau sebarang perbuatan/perlakuan yang membangkitkan nafsu.

12. Melakukan persetubuhan.

13. Bernikah atau menikahkan.

***Raihanah Abdullah ialah mutawif dan pembimbing jemaah haji wanita.

Mina , minyak angin , ihram , jemaah

Klik

default image

Pakar ekonomi saran Malaysia laksana pembaharuan struktur

HALA tuju perdagangan dan pelaburan global memainkan peranan penting dalam ekonomi terbuka seperti Malaysia.

default image

15 prinsip tulang belakang untuk capai matlamat WKB2030

LIMA belas prinsip panduan digariskan berasaskan tiga aspek penting iaitu pembangunan untuk semua, menangani jurang kekayaan dan pendapatan serta negara bersatu, makmur dan bermaruah.

default image

TMM2020: “Malaysia ada makanan sedap, banyak tempat indah dan membeli-belah pun murah” - Muhamaddin Ketapi

MALAYSIA menetapkan sasaran 30 juta pelancong dengan sasaran pendapatan sehingga RM100 bilion untuk TMM2020.

default image

Ketahui 8 petunjuk bagi memantau manfaat WKB 2030 dikongsi rakyat

INDIKASI sosial sedang dibina bagi memastikan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) memenuhi sasaran dan memberi manfaat kepada semua.

default image

CPA Australia platform berkualiti, pantas capai kelayakan perakaunan diiktiraf global

JIKA anda mempunyai kelayakan yang sewajarnya dalam industri perakaunan, perbankan dan kewangan, ia boleh memberikan prospek kerja dan kepelbagaian projek kepada anda.

Artikel Lain