Buatlah persediaan ‘masuk kubur’ dengan amalan sedekah jariah - Ad-din | mStar

Buatlah persediaan ‘masuk kubur’ dengan amalan sedekah jariah

Apabila seseorang Islam itu meninggal dunia, terhapuslah semua amalanya melainan tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu bermanfaat dan anak yang soleh. Gambar hiasan.

ASSALAMMUALAIKUM semua semoga kita di dalam lindungan rahmat Allah sentiasa. Kita selalu memikirkan atau merancang untuk hari tua kita dengan pelbagai program seperti simpanan, skim takaful, insuran dan selainnya.

Alhamdulillah! Bagus bukan tak bagus tetapi perancangan itu sepatutnya menjangkau bukan sahaja semasa di dunia sebelum kematian bahkan juga selepas kematian.

Kalau kita perhatikan bahawa manusia yang hidup lama beratus tahun, mereka terpaksa menunggu di dalam kubur lebih lama daripada umur mereka hidup semasa di dunia.

Contohnya Qarun dengan segala kemewahan yang Allah kurniakan kepadanya sehinggakan beberapa orang lelaki gagah terpaksa digunakan untuk membawa kunci perbendaharaannya sahaja, belum lagi hartanya.

Tetapi dek kerana kesombongan dan kedurhakaannya kepada Allah maka Allah bertanya kepada nabi Musa AS bagaimana nak mengajar Qarun yang durhaka?

Maka nabi Musa meminta bumi menelan segala harga Qarun dengannya sekali.

Peristiwa ini telah berlaku puluhan ribu tahun dahulu, sehingga sekarang Qarun terpaksa berada di alam kubur dengan segala siksaannya.

Oleh itu kita hendaklah bersedia selepas kematian juga bukan sahaja sebelum kematian sahaja.

Bahkan selepas kematian itulah paling kita takuti disebabkan hidup selepas kematian adalah kekal selama-lamanya.

Memiliki harta seperti rumah besar antara contoh harta yang akan ditinggalkan apabila seseorang itu meninggal dunia. Gambar hiasan.

Kalau baik amalan kita Alhamdulillah kita akan diberikan syurga oleh Allah tetapi kalau jahat amalan kita maka malanglah hidup selepas kematian kerana kita akan diazab oleh Allah dengan siksaan yang amat dahsyat tiada tolak bandingnya.

Nabi Muhammad SAW bersabda dalam satu hadis; “Apabila mati seseorang anak adam maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara: Sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh yang mendoakan kedua-dua ibu bapanya.”

Kalau kita teliti hadis di atas Nabi SAW menyebut tentang tiga perkara yang akan tetap memberikan kepada kita pahala walaupun kita telah meninggal dunia.

Tetapi di antara tiga perkara tadi yang mana lebih dulu yang disebutkan nabi SAW menunjukkan bahawa itu lebih jaminannya, lebih pentingnya kepada orang meninggal dunia berbanding yang kedua dan ketiga.

Sedekah jariah

Nabi SAW sebut sedekah jariah dulu sebab bila kita melakukan sedekah jariah seperti memberi sumbangan untuk membina masjid atau maahad tahfiz maka selagi berdirinya masjid atau maahad tahfiz digunakan sampai kiamat pun pahalanya masih mengalir kepada kita walaupun kita telah berada di alam kubur.

Oleh itu sebagai langkah permulaaan untuk kita mengamalkan hadis ini, berilah sumbangan untuk apa-apa pembinaan surau atau masjid di tempat kita.

Selalunya ada je pembangunan yang nak dibuat seperti tandas nak diperbaiki ataupun bangunan tambahan dan sebagainya.

Jangan setakat sekali sahaja  bahkan lakukan tiap-tiap bulan cari je dan gunakan sedikit dari gaji kita untuk tujuan sedekah jariah ini. InsyaAllah kita menambah pelaburan kekal dan terjamin pahalanya oleh Maha Pencipta kita sampai kiamat.

Apa lagi yang kita mahukan dari dunia ini kalau bukan pahala amalan baik kita sebab di alam kubur dan akhirat itu pahala kebaikan sahajalah yang akan diterima oleh Allah SWT bukannya harta benda, wang, pangkat boleh dibawa.

Anak-anak yang dibimbing ke jalan Allah akan memberi manfaat kepada kedua-dua orang tuanya kemudian hari. Gambar hiasan.

Harta benda banyak pun kalau kita tinggalkan bukan hak kita lagi dah, akan jadi hak isteri, suami kita dan anak-anak kita. Suami atau isteri kita, apabila kita mati, mereka pun kemungkinan besar akan kahwin lain dan lupakan kita di alam kubur sana.

Maka yang menjadi hak kita dan untuk kita di alam kubur dan akhirat adalah apa yang kita sedekahkan. Maka sebenarnya kalau kita tahu keadaan begini yang akan kita lalui maka istiqamahlah dalam bersedekah jariah.

Sebab tu nabi SAW sebut sedekah jariah dalam hadis tadi di tempat pertama sebelum menyebut yang lain.

Harta pusaka

Berkenaan harta pusaka, sebenarnya kita tak perlu risau terpaksa meninggalkan harta yang banyak kepada pewaris kita apabila meninggal dunia nanti tetapi meninggalkan anak yang soleh itu lebih utama.

Kalau kita tinggalkan anak yang suka berjudi contohnya, banyak mana harta yang kita tinggalkan akhirnya habis juga. Macam filem P.Ramlee bertajuk 3 Abdul tu. Sebab tu dalam hadis tadi nabi SAW sebut anak yang soleh yang mendoakan ibu bapanya, bukan baginda menyebut meninggalkan harta yang banyak untuk mereka.

Saya bagi contoh seorang kawan saya, apabila ayah dia meninggal dunia, si bapa meninggalkan harta lebih kurang RM8 juta untuk lapan orang adik-beradik.

Maka adik perempuannya yang paling tinggi belajar sampai peringkat Ijazah Doktor Falasafah (PhD) diberi kepercayaan untuk mentadbir dan membahagikan harta tersebut sama banyak iaitu RM1 juta seorang.

Maka dia telah melantik peguam dan memproses pembahagian harta tersebut. Apa yang berlaku daripada RM8 juta tu? RM5 juta masuk poketnya sendiri dan RM3 juta lagi baharulah dibahagikan kepada tujuh orang adik-beradiknya yang lain.

Cuba kita fikirkan bolehkah kita jamin daripada RM8 juta tersebut, agak-agaknya berapa juta yang akan anak-anaknya seramai lapan orang tu akan memberikan sedekah jariah untuk mak ayahnya di dalam kubur?

Sedekah jariah seperti memberi sumbangan untuk pembangunan rumah ibadah dan juga apa-apa berkaitan dengannya akan membolehkan pahala kepada si mati terus mengalir.

Bertambah malangnya lagi jika ia digunakan untuk bermaksiat. Oleh itu, bukan harta tetapi anak yang soleh yang perlu kita tinggalkan.

Seorang kawan saya lagi mendidik anaknya pada jalan Allah sehingga menjadi al-hafiz seramai empat orang, seorang menjadi pilot al-hafiz, dua orang doktor al-hafiz, seorang ustaz al-hafiz.

Suatu masa saya tanya kawan saya itu yang juga seorang Datuk: “Tok cantik kereta-kereta Volvo sport ratusan ribu tu… Ni kereta orang muda!”

Jawab Datuk tu… anaknya yang bagi. Beberapa hari lalu, saya nampak dalam Facebook, anaknya yang doktor bawa ayahnya pandu uji kereta Mercedes.

Saya tanya anaknya… kata dia, “hadiah untuk ayah”. MasyaAllah… hadiah untuk ayah sebuah kereta ratusan ribu untuk ayahnya ke surau, masjid atau untuk khidmat kepada masyarakat.

Allahuakbar! Nampak tak yang mana lebih penting kita tinggalkan harta untuk anak atau anak yang soleh?

Sebenarnya jawapan yang lebih baik adalah kita tinggalkan harta kita kepada anak yang soleh.

Tapi kita boleh jamin ke semua harta tersebut akan digunakan semata mata untuk ketaatan kepada Allah yang mana kita akan berkongsi pahalanya?

Lagi sekali sebab tu nabi SAW menekankan amalan sedekah jariah itu dulu dan yang ke tiga baharulah adalah anak yang soleh.

Yang kedua daripada hadis nabi SAW tadi mengenai ilmu yang bermanfaat. Bukan  ilmu yang tidak bermanfaat, bukan ajaran sesat, salah tetapi ilmu yang akan mendekatkan diri kita kepada Allah SWT.

Contohnya Uthman bin Affan RA telah mengumpulkan dan membukukan Al-Quran dan dihantar ke seluruh pelusuk dunia. Nah sampai sekarang lebih kurang 1.8 bilion umat Islam telah menggunakan Al-Quran.

Bayangkan betapa banyaknya pahalanya yang telah dan akan diterima oleh saidina Uthman yang mana beliau sekarang berada di alam kubur.

Sebab tu, kata nabi SAW: “Sampaikanlah dari aku walaupun satu ayat.” Sesungguhnya jika dengan satu ayat tu orang berubah dan melakukan ketaaatan kepada Allah boleh tak kita bayangkan betapa banyaknya pahala yang bakal kita terima.

Oleh itu mulakan merancang dan melaksanakan persediaan untuk hidup selepas kematian kita. Sebarkan artikel ini juga menjadi sebahagian dari ilmu yang bermanfaat. InsyaAllah.

***Ustaz Shams ialah pensyarah di sebuah universiti

Harta , mati , kubur

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain