Hati jadi gelap antara 10 kesan buruk kerana tonton bahan lucah - Ad-din | mStar

Hati jadi gelap antara 10 kesan buruk kerana tonton bahan lucah

Menonton bahan lucah memberi kesan negatif kepada seseorang termasuk ketagihan. Gambar Sekadar Hiasan

AWAL minggu ini kita telah dikejutkan dengan kelakuan seorang murid berumur 12 tahun menodai kanak-kanak perempuan berusia empat tahun. Kita juga pernah dikejutkan dengan pelbagai berita menyedihkan mengenai sumbang mahram yang begitu teruk dan dashyat.

Keruntuhan akhlak dan budaya kita ini berpunca daripada laman sesawang yang mendedahkan bahan-bahan porno yang mudah diakses di internet.

Pornografi mendatangkan kesan negatif kepada semua peringkat sama ada kepada golongan dewasa, remaja mahupun kanak-kanak.

ARTIKEL BERKAITAN: Allah tidak ampun dosa orang yang sebar aib sendiri secara terbuka

Dr. Victor Cline (2008), pakar psikoterapi dan juga Professor Emeritus dalam bidang Psikologi di University Utah, Salt Lake City, dalam menangani masalah ketagihan seks menyatakan penggunaan pornografi dilakukan secara berterusan dan jika dibiarkan akan membawa kepada ketagihan yang lebih teruk (bermula daripada soft pornography kepada hard core pornography).

Beliau juga menyatakan pornografi juga boleh membawa kepada tingkah laku seksual yang buruk dan tidak normal. Hal ini berlaku kerana penonton pornografi akan cuba beraksi berdasarkan pada apa yang dilihat, berfantasi dan berakhir dengan keputusan atau hasil yang merosakkan atau menghancurkan seseorang.

Banyak kesan buruk menonton pornografi termasuk merasa jauh dari rahmat Allah dan terhalang rezeki.

Islam yang membawa kepada kerahmatan, kemuliaan dan kebaikan telah menegaskan bahawa seseorang itu jika melihat sesuatu perkara yang bukan haknya maka hendaklah ia menundukkan pandangan.

Ini kerana matalah yang menjadi punca kepada segala bentuk maksiat yang ingin dilakukan. Firman Allah didalam Surah An-Nur ayat 30 dan 31: Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan (30).

Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka (31).

Para alim ulamak mengatakan bahawa dalam konteks ayat ini dapat difahami bahawa dengan menjaga penglihatan maka kehormatan diri juga akan dapat dijaga dengan baik.

Internet memberi kesan buruk kepada masarakat jika ia disalahgunakan.

Ia juga akan membersihkan hati. Sebaliknya mata yang dibiarkan bebas tidak dapat lari daripada melihat perkara-perkara yang haram dan perkara-perkara yang dilihat itu akan melekat pada hati seterusnya membentuk cita-cita dan khayalan yang panjang serta terjauh dari mengerjakan kebaikan.

Ibn Qayyim dalam al-Jawab al-Kafi li Man Saala al-Adawa’ al-Syafi telah menukilkan berkenaan kesan dan pengaruh maksiat. Antaranya ialah:

1. Terhalang dari mendapat ilmu

2. Terhalang dari rezeki yang murah

3. Merasa jauh dari rahmat Allah

4. Merasa terpinggir dari hubungan sesama manusia

5. Segala urusan menjadi sukar dan sulit

6. Hati menjadi gelap

7. Terhalang dari melakukan ketaatan

8. Boleh memendekkan umur seseorang

9. Mengheret kepada kemungkaran yang lain

10. Melemahkan ransangan ketaatan

Menyekat laman sesawang porno sahaja tidak mencukupi jika semua pihak tidak bersungguh-sungguh dalam membenteras masalah ini bersama.

Mewujudkan pendidikan seks di sekolah-sekolah juga bukan merupakan satu jalan yang terbaik pada masa sekarang.

Ini kerana masih banyak lagi faktor-faktor yang menyumbang ke arah berlakunya maksiat itu seperti percampuran lelaki perempuan secara bebas, iklan-iklan yang menghairahkan serta rancangan-rancangan yang boleh merosakkan nilai akhlak seseorang dan juga lawak-lawak yang berunsur lucah dari pelawak atau pelakon yang sengaja melakukannya.

Ini semua bukanlah daripada budaya masyarakat Malaysia yang sinonim dengan kelembutan, kebaikan, perasaan malu yang tinggi dan adab-adab yang baik serta sopan santun. Benarlah kata baginda Rasulullah didalam sebuah hadis iaitu: Jika kamu tidak ada perasaan malu, maka buatlah sesuka hati kamu. (bukhori : 3224).

Kepada ibu-bapa, perhatikanlah sikap atau tingkah laku anak-anak dan didiklah mereka sebaik mungkin agar tidak terlibat dalam perbuatan yang dilarang Allah selain memantau aktiviti dilakukan.

***Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan merupakan Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Pornografi , lucah

Klik

default image

Bandar unik, gaya hidup masa kini... Inilah keistimewaan Putrajaya

PUTRAJAYA bakal menjadi bandar seimbang yang bukan sahaja menumpukan aspek pentadbiran kerajaan, bahkan sektor swasta.

default image

Tiga tahun penuh derita, pernah diburu ah long... Dr Azizan kongsi cerita pahit sebelum tubuhkan RichWorks – “Kalau berjaya sahaja tapi tak bantu orang untuk berjaya, saya tak puas”

PAKAR Pemasaran No. 1 Asia dan Mentor Keusahawanan, Dr Azizan Osman berkongsi kisah suka dukanya sebelum berada di tahapnya sekarang, sewaktu program NUH2020.

Artikel Lain

BN, PAS bentuk kerajaan baharu di Johor