Tujuh sekeluarga dapat hidayah di bulan Ramadan, tak sabar raikan 1 Syawal bersama saudara seIslam lain - Ad-din | mStar

Tujuh sekeluarga dapat hidayah di bulan Ramadan, tak sabar raikan 1 Syawal bersama saudara seIslam lain

Abdul Rahman (kiri), isterinya Siti Aisyah (dua dari kiri), anak-anak mereka dan rakan yang enggan dikenali, menjadikan Islam sebagai agama pilihan.

SEORANG pesakit jantung tidak menyangka niatnya untuk memeluk Islam dimakbulkan Allah SWT selepas setahun mendalami agama itu.

Tambah menggembirakan Abdul Rahman Abdullah, 36, apabila isterinya Siti Aisyah Abdullah, 36, dan lima lagi anak mereka turut sama mengucap dua kalimah syahadah pada 11 Mei lalu.

Kata Abdul Rahman, dia dilahirkan sebagai penganut Hindu dan tertarik dengan keindahan Islam yang mengabdikan diri kepada Tuhan yang satu.

“Setiap kali saya mendengar azan, saya tertarik dan selepas berjumpa dengan ustaz, kawan-kawan dan menonton ceramah di YouTube, saya semakin yakin dengan Allah.

“Kita tak boleh melihat Allah, tapi kita tahu Dia yang menciptakan alam semesta ini. Saya beriman dan percaya yang dunia ini hanya ada satu Tuhan,” katanya kepada mStar.

Mereka sekeluarga ditemui pada Majlis Iftar Perdana Hidayah Centre bersama 600 tetamu mualaf dan bukan Islam di Pusat Konvensyen Telekom Malaysia pada Sabtu malam.

Lelaki yang menetap di Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur itu menganggap masalah jantung yang dialaminya sejak lapan tahun lalu memberikan hikmah yang besar dalam kehidupannya.

Seramai 600 mualaf dan ahli keluarga mereka yang bukan Islam hadir pada Majlis Iftar Perdana Amal Hidayah Centre di Pusat Konvensyen Telekom Malaysia pada Sabtu. 

Keadaan kesihatan Abdul Rahman tidak membenarkan dirinya berpuasa kerana perlu mengecaj bateri jantung mekanikalnya setiap empat jam.

Bagaimanapun, lelaki itu tetap berusaha untuk menunaikan rukun Islam ketiga itu walaupun terpaksa minum air demi menjaga kesihatannya.

Mereka sekeluarga bertuah kerana seorang kenalan Abdul Rahman yang juga seorang mualaf wanita tidak lokek untuk membimbing isterinya tentang Islam.

Seperti mualaf lain, Abdul Rahman juga berdepan dengan cabaran di mana rakan-rakan mula menjauhinya kerana tidak bersetuju dengan agama pilihannya.

“Saya tak faham kenapa dua kawan baik saya menyekat nombor telefon saya dan marah-marah.

“Ini adalah keputusan saya dan apabila saya berkongsi mengenainya, mereka tidak dapat menerimanya. Tetapi, saya bersyukur kerana keluarga sendiri dapat menerima keputusan ini,” ujarnya.

Menjelang Syawal yang bakal tiba, Abdul Rahman berkata, mereka sekeluarga tidak pernah melalui pengalaman berpuasa dan menyambut hari raya sebelum ini, tetapi teruja untuk meraikannya buat kali pertama.

“Ada kawan-kawan Melayu yang datang melawat bagi kain dan sokongan kepada kami anak-beranak,” katanya.

Abdul Rahman Abdullah , mualaf , syawal

Artikel Berkaitan

Artikel Lain