suria

Awas! 15 perbuatan ini Allah turunkan bala termasuk suami dayus ikut telunjuk isteri

Suami disifatkan sebagai dayus jika takutkan isteri dan hanya menurut perintah. Ia mendatangkan kemurkaan Allah kerana suami berperanan sebagai ketua keluarga. Gambar hiasan.

ANTARA tanda-tanda akhir zaman ialah berlakunya maksiat secara berleluasa dan pelakunya juga tidak berasa malu dengan perbuatan dilakukan itu.

Ketahuilah terdapat 15 perkara termasuk maksiat yang Allah turunkan bala. Daripada Saidina Ali karramallahu wajhah, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: Apabila umatku melakukan 15 perkara maka bala pasti akan turun kepada mereka, iaitu:

1. Apabila kekayaan negara beredar dalam kalangan orang yang tertentu sahaja

Maksudnya, apabila sesuatu ekonomi dikuasai oleh segolongan sahaja dan tidak dibahagi-bahagikan kekayaan sesebuah negara kepada semua rakyat malah jurang antara orang miskin dan kaya semakin jauh dan melebar. Ini terjadi apabila sesebuah negara mengamalkan selain daripada ekonomi Islam.

2. Amanah dijadikan suatu sumber keuntungan

Sesuatu jawatan yang disandang adalah amanah yang telah dipertangggungjawabkan tetapi dijadikan sebagai batu loncatan untuk menjadikan diri sendiri kaya-raya.

3. Zakat dijadikan hutang

Nabi SAW mengingatkan jika sesuatu masyarakat menahan diri daripada membayar zakat, Allah akan menahan hujan daripada turun dan kalaulah bukan kerana kasihankan binatang nescaya Allah tak akan menurunkan hujan setitik pun.

4. Suami mengikut kemahuan isteri

Dalam satu hadis nabi SAW bersabda: Tiga orang yang Allah tidak mahu melihat mereka pada hari Kiamat: Orang yang derhaka kepada ibu-bapanya, perempuan yang menyerupai lelaki dan lelaki dayus. [HR Ahmad, Nasa’I dan Hakim].

Membayar zakat ialah keperluan bagi setiap umat Islam namun jika sesuatu masyarakat itu mengelak membayarnya, maka Allah akan turunkan bala. Gambar hiasan.

Dayus bermaksud seorang lelaki yang membiarkan keluarganya melakukan zina, sama ada ibunya, isteri atau anaknya kemudian dia mati dalam keadaan begitu. Dia tidak menegur dan menasihati anak isteri daripada melakukan dosa bahkan, lagi teruk dialah yang mengajak melakukan maksiat.

Bukankah dia berhak menerima penghinaan daripada Allah? Sekarang istilahnya ‘quen control’, sepatutnya lelakilah sebagai ketua keluarga bukan semata-mata mengikut kemahuan isteri. Mengambil pendapat isteri dan berbincang tentang sesuatu perkara adalah sangat digalakkan.

5. Anak derhaka kepada ibunya

Di mana-mana kalau kita perhatikan betapa anak-anak sekarang sebahagiannya derhaka dengan ibu seperti bercakap kasar bahkan mengherdik ibu, tidak menghormati ibu. Paling menyedihkan menghantar ibu ke rumah-rumah kebajikan orang tua sebab tidak sanggup menjaga mereka. 

10 orang anak dapat dijaga oleh ibu  tetapi 10 orang anak tidak mampu menjaga seorang ibu bahkan ada ibu yang makan minumnya daripada bantuan zakat. Nauzubillah. Nabi SAW mengatakan bertuahlah bagi sesiapa yang ada ibu bapa yang menyebabkan mereka ke syurga tetapi apa yang berlaku menyebabkan mereka ke neraka kerana derhaka dengan ibu bapa.

6. Sedangkan ia baik dengan temannya

Dengan ibu bapa mereka derhaka tetapi dengan kawan-kawan amat baik. Boleh belanja kawan-kawan makan tetapi nak belanja ibu bapa tak ada bajet kena berjimat zaman ekonomi meleset tetapi sebenarnya akhlaknyalah yang meleset.

7. Anak menjauhkan dirinya daripada ayahnya

Hatta dengan ayah pun mereka menjauhkan diri dan tak bertegur sapa, kalau bertegur pun sebab nak minta duit belanja. Sedangkan pengorbanan seorang ayah Allah sahajalah yang tahu, terpaksa mengikat perut sebab nak bagi belanja sekolah anak.

Masjid dijadikan tempat bercakap hal-hal dunia boleh mendatangkan kemurkaan Allah. Gambar hiasan.

Kerja siang malam nak menyekolahkan anak, nak bayar yuran sekolah, yuran kolej dan sebagainya.

8. Suara-suara ditinggikan di dalam masjid

Maksudnya manusia bercakap pasal dunia di dalam masjid dengan suara yang tinggi seperti gelak ketawa yang kuat.

9. Ketua susatu kaum adalah orang yang terhina di antara mereka

Seseorang yang jahat dan tidak berakhlak dilantik menjadi pemimpin yang mana sepatutnya orang yang mulia akhlaknya.

10. Seseorang yang dimuliakan kerana ditakuti kerana kejahatannya

Maksudnya seeorang itu disanjung bukan kerana kebaikan dan jasanya tetapi kerana ditakuti kejahatannya.

11. Minuman keras sudah diminum di segenap tempat

Hari ini arak dijual di merata-rata tempat kerana permintaan dan pelangannya ramai dan di mana-mana sahaja.

12. Kain sutera banyak dipakai (oleh kaum lelaki)

Sutera dikhususkan untuk kaum wanita sahaja tetapi kalau kita perhatikan pada zaman sekarang dalam masyarakat kita ramai lelaki telah memakai sutera sama ada dijadikan baju batik dan sebagainya dipakai untuk majlis kenduri-kendara atau majlis rasmi dan sebagainya.

13. Para artis disanjung-sanjung

Artis yang dimaksudkan adalah artis yang mengajak dan menyebarkan maksiat kepada Allah. Merekalah yang menjadi idola dan ikutan dalam cara berpakaian , berfesyen serta gaya rambut, cara bercakap walaupun tidak sesuai dengan adab dan adat ketimuran apatah lagi melanggar etika dalam Islam. 

Apabila artis dan hiburan itu disanjung berbanding ulama, ia adalah satu kesalahan besar. Gambar hiasan.

Sepatutnya baginda nabi SAW lah menjadi idola dan ikutan kita sebab akhlak nabi SAW adalah seperti dalam Al-Quran yang menjadi panduan hidup kita mencapai kebahagiaan dan keredhaaan Allah di dunia dan akhirat, tapi lain yang kita ikut.

14. Muzik banyak dimainkan

Zaman ini adalah zaman muzik, seolah-olah manusia tak boleh hidup tanpa muzik. Yang dimaksudkan di sini ialah muzik-muzik yang diharamkan dalam Islam yang melalaikan. Di rumah ada muzik, di tempat kerja, kenduri-kendara ada muzik, masa joging, menunggu bas, LRT, hatta masa tidur pun mereka mendengar muzik.

15. Generasi akhir zaman melaknat (menyalahkan) generasi pertama (sahabat)

Ini sebagaimana yang berlaku kepada ajaran sesat seperti Syiah yang mengutuk sahabat–sahabat nabi SAW walaupun nabi SAW telah menjamin mereka syurga, tetapi dikutuk dalam khutbah-khutbah Jumaat mereka sehingga ada yang mengkafirkan para sahabat seperti saidina Abu Bakar, saidina Umar, saidina Uthman dan lain-lain radhiallaahu anhum.

Pada akhir hadis ini nabi SAW bersabda: “Maka ketika itu hendaklah mereka menanti angin merah atau gempa bumi atau pun mereka akan diubah menjadi makhluk lain.” - [HR Tirmizi].

Oleh itu marilah sama-sama kita menjauhkan diri kita daripada melakukan maksiat tersebut di atas. Jom kita kongsikan hadis ini semoga menjadi sebahagian dari amalan baik kita.

*** Ustaz Shams ialah pensyarah di sebuah universiti

Maksiat, akhir zaman, bala, Allah

Artikel Lain