5 tahun kahwin suami asyik tonton TV, isteri tak tahan akhirnya tuntut cerai - Ad-din | mStar

5 tahun kahwin suami asyik tonton TV, isteri tak tahan akhirnya tuntut cerai

Isteri dah tak tahan suami kerjanya tonton TV yang akhirnya menjadi punca mereka bercerai. Gambar sekadar hiasan.

SEPULUH tahun bercinta, belum tentu bahagia selepas sebulan melayari bahtera rumah tangga.

Hal itu bukan lagi pelik dalam alam perkahwinan ketika ini kerana banyak perkara menjadi penyebab kegagalan rumah tangga.

Antara faktor yang kerap berlaku apabila tembelang dan sikap sebenar pasangan mula kelihatan selepas mereka menjadi suami isteri.

Ini kerana semasa di alam percintaan, setiap individu sukar mengesan sikap buruk pasangan mereka kerana pada masa itu semuanya indah-indah belaka.

Ketika ini kes-kes tuntutan cerai meningkat setiap tahun yang dianggarkan 33 kes berlaku setiap hari.

Selangor mencatatkan jumlah perceraian tertinggi iaitu sebanyak 12,204 pada tahun 2017.

Berdasarkan kajian oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) punca utama perceraian bagi lelaki menerusi perkahwinan pertama ialah disebabkan tiada persefahaman iaitu sebanyak 56.2 peratus, isteri curang (11.8 peratus) manakala campur tangan mentua atau ipar (10 peratus).

Saat-saat bercinta, semuanya indah belaka tapi selepas kahwin barulah tembelang pecah. Gambar sekadar hiasan.

Bagi kalangan wanita pula, rekod tiada persefahaman sebagai punca utama perceraian mewakili 38 peratus, suami curang (20.5 peratus) dan suami tidak bertanggung jawab (15.2 peratus).

Minggu ini Addin berkongsi bagaimana perceraian berlaku hanya disebabkan perkara dianggap remeh apabila si isteri bersuamikan lelaki yang mempunyai hobi suka menonton televisyen (TV).

Menurut anggota jawatankuasa Hakam, Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Syed Walid Al-Giffa Syed Ibrahim, kes ini melibatkan pasangan berumur awal 30-an yang sudah lima tahun mendirikan rumah tangga.

Pasangan ini yang bekerja di sebuah syarikat memang saling kenal di antara satu sama lain sebelum mendirikan rumah tangga.

Tapi suami ada satu perangai pelik iaitu suka menonton TV. Balik kerja, hobinya mengadap TV sehingga larut malam.

SYED WALID AL-GIFFA

Anggota Jawatankuasa Hakam, Majlis Agama Islam Selangor.

Malah si isteri juga sedar akan sikap pendiam pasangannya sejak mereka mula bercinta lagi.

Keretakan rumah tangga mula berlaku selepas setahun mendirikan rumah tangga apabila isteri terlalu memendam perasaan kerana kurang komunikasi bersama suami atas sikap pendiamnya itu.

“Mereka bekerja di satu syarikat yang sama tetapi apabila berjumpa, masing-masing tidak bertegur kerana sikap suaminya yang tidak banyak bercakap. Bagi suami, ia perkara biasa kerana dia menjadi dirinya sendiri - Seorang pendiam dan tak banyak cakap.

“Si suami ni kalau isteri tanya sepatah, sepatah la dia jawab. Begitulah setiap hari dari awal perkahwinan mereka yang menyebabkan isteri mula rasa bosan tapi suami tak pernah benci isterinya... Dia sayang, cuma tak ramah saja.

“Selain pendiam, dia ada satu lagi perangai pelik iaitu suka menonton TV. Balik kerja, hobinya mengadap TV sehingga larut malam.

“Kadang-kadang apabila ibunya datang dari kampung, kedua-dua beranak ini sama naik… layan TV juga. Ini menambahkan rasa lebih kecil hati si isteri,” ujar Syed Walid.

Syed Walid Al Giffa yang juga pengasas pengajian al-Quran kaedah kotak.

Tambahnya, ketika isteri mahukan belaian manja suami, si isteri cuba menggoda suaminya itu namun tidak dilayan kerana terlalu asyik menonton TV.

Sebaliknya apabila suami pula mahu ‘bersama’ isteri, si isteri menolak kerana berasa penat disebabkan sudah larut malam.

Selepas empat tahun perkahwinan itu, isteri akhirnya membuat keputusan untuk tinggal berasingan dan selepas itu membuat permohonan cerai di sebuah mahkamah syariah di Selangor.

“Semasa panel Hakam memanggil pasangan ini, si suami mengaku salah akan kelemahan dirinya tetapi sukar diubah kerana sikap pendiamnya itu sejak kecil lagi.

“Selepas tempoh masa diberikan untuk mereka memperbaiki kelemahan masing-masing menemui kegagalan, mereka akhirnya berpisah dengan talak satu,” katanya.

Menurut Syed Walid sebelum perceraian itu si isteri meletakkan syarat suami tidak boleh membuat apa-apa tuntutan terhadapnya dan selepas kedua-dua mereka bersetuju, urusan perceraian dilakukan.

Beliau menasihati kepada individu yang mahu mendirikan rumah tangga agar bersikap jujur dengan pasangan masing-masing, bertolak ansur serta memperbanyakkan komunikasi dua pihak agar rumah tangga yang dibina itu berjalan dengan sempurna.

Sementara itu pasangan suami isteri juga tidak terlepas godaan syaitan yang kerjanya berusaha untuk meruntuhkan sesebuah rumah tangga.

Iblis Dasim

Iblis penghasut yang diberi nama Dasim ini akan sentiasa menanamkan rasa benci, curiga kepada pasangan dan penuh syak wasangka untuk membolehkan mereka bercerai.

Antara amalan yang perlu dilakukan bagi melemahkan sifat jahat Dasim ini ialah dengan banyak beritigfar kepada Allah setiap kali datang perasaan marah, mengambil wuduk, memadam api kemarahan dengan meminum air serta melakukan solat sunat.

Dalam pada itu suami-isteri digalakkan memberi salam setiap kali memasuki rumah selain memperbanyakkan membaca al-Quran.



Cerai , Syed Walid

Artikel Berikut

Ketahui 7 perkara mengenai Imam Mahdi

Lebih Artikel