Jangan bermusuh sesama ahli keluarga, ikuti tip eratkan silaturahim - Ad-din | mStar

Jangan bermusuh sesama ahli keluarga, ikuti tip eratkan silaturahim

Melakukan aktiviti bersama adik-beradik dapat mengeratkan hubungan. Foto sekadar hiasan.

PERGADUHAN di antara adik-beradik membawa kepada kejadian tidak diingini seperti berdendam sehingga berlaku kejadian jenayah bukanlah sesuatu yang pelik.

Pelbagai punca boleh dikupas mengenai kurangnya nilai kasih sayang sesama adik-beradik seperti pergaduhan kerana isu harta pusaka dan perbezaan ideologi politik.

Islam sangat menegaskan kepentingan menjaga silaturahim bukan sahaja sesama ahli keluarga malah sesama manusia.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak masuk syurga orang yang memutuskan silaturahim (hubungan kekeluargaan)” [Hadis riwayat Muslim].

Memohon maaf dan memaafkan dapat melenyapkan sengketa di antara ahli keluarga.

Dalam sebuah riwayat, Abu Ayyub telah menceritakan bahawa seorang Arab Badwi telah bertanya kepada baginda Nabi Muhammad SAW mengenai amalan yang menghampirkan dirinya kepada syurga dan mengenai apa yang menjauhkan dirinya daripada neraka, lalu Rasulullah SAW bersabda:“Engkau beribadat kepada Allah, tidak menyekutukanNya dengan sesuatu, menunaikan zakat dan menghubungkan kekeluargaan.”

Begitulah pentingnya bagi kita menjaga silaturahim dalam Islam, malah Allah menjanjikan ganjaran besar untuk orang yang sentiasa menjaga hubungan itu.

Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis diriwayatkan Anas bin Malik RA yang bermaksud: “Sesiapa yang ingin dipermudahkan rezekinya dan ditangguhkan ajalnya (dipanjangkan umurnya) maka hendaklah dia menyambungkan tali persaudaraan (silaturahim).”[ Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.]

Namun masih belum terlambat untuk sesiapa yang pernah atau sedang mengalami masalah dengan ahli keluarga untuk mengubah situasi itu dan kembali mengeratkan silaturahim yang terputus.

Kasih sayang bersama adik-beradik perlu dipupuk sejak kecil. Gambar hiasan.

mStar Online berkongsi lima tip dalam mengekalkan silaturahim di antara adik-beradik yang diharap dapat memberi manfaat kepada kita semua.

1. Minta Maaf

Ayat "minta maaf" itu sebenarnya mempunyai kuasa yang cukup kuat dan sekiranya berlaku sebarang perselisihan antara adik-beradik jadilah orang pertama yang memohon maaf dan menerima kemaafan.

2. Komunikasi

Aspek paling penting dalam menjaga hubungan adik-beradik adalah komunikasi. Walaupun masing-masing sibuk dengan aktiviti harian dan jarang mempunyai masa terluang, carilah sedikit masa untuk sekurang-kurangnya bertanya khabar.

Kelebihan teknologi seperti Facebook, WhatsApp boleh dijadikan medium paling efektif untuk berkomunikasi dengan mudah!

3. Fokus kelebihan adik-beradik

Setiap adik-beradik itu pastinya mempunyai kekurangan yang adakalanya membuatkan kita kurang senang sehingga renggangnya silaturahim.

Sebaiknya fokus kepada aspek positif yang ada pada mereka kerana kelebihan itu mungkin tiada pada orang lain.

4. Berkongsi masalah

Tanpa kita sedar, kebiasaannya kebanyakan daripada kita lebih selesa meluahkan masalah kepada orang luar berbanding ahli keluarga sendiri atas beberapa faktor tertentu seperti malu.

Namun keadaan itu perlu berubah kerana adik-beradik adalah tempat paling sesuai meluahkan keresahan dalam hati kerana mereka lebih mengenali kita.

Ia sekali gus dapat mengeratkan hubungan kita dengan adik-beradik selain membuatkan mereka lebih memahami diri kita.

5. Lakukan aktiviti bersama

Jangan tunggu apabila pulang ke kampung seperti pada hari raya untuk meluangkan masa melakukan aktiviti bersama. Sentiasalah mencari masa untuk menghabiskan masa bersama seperti menikmati makan malam termasuk melakukan solat berjemaah.

Bayangkan betapa seronoknya kita sama-sama beribadat, berdoa selain saling bersalaman selepas selesai berjemaah ia pasti dapat memberikan ketenangan dan kasih sayang di antara kita.

Adik-beradik , Silaturahim

Artikel Berikut

Artikel Lain