suria

[V] Jaga nikmat kesihatan, jangan biar diri jadi gemuk… Obesiti halang ibadah!

Kegemukan boleh mendatangkan rasa tidak selesa ketika beribadat. -Gambar hiasan

KEGEMUKAN yang tidak terkawal boleh menghalang seseorang daripada beribadah dengan sempurna, kata Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Menurut bekas Mufti Wilayah Persekutuan itu, ia termasuk untuk rukuk, sujud dan melakukan ibadah secara selesa.

Katanya, pandangan itu bukan bertujuan menghina orang berbadan besar, tetapi teguran yang mengajak umat Islam merenung hubungan antara kesihatan fizikal dan kesungguhan dalam beragama.

"Imam Syafie memberikan nasihatnya... sama sekali tidak akan beruntung orang yang gemuk, kecuali Muhammad bin Hasan Asy-Syaibany.

"Lalu ada yang bertanya... mengapa demikian? Kenapa gemuk ini tidak baik?

"Beliau menjawab... kerana seorang yang berakal tidak lepas daripada dua perkara iaitu sibuk memikirkan urusan akhiratnya atau urusan dunianya, sedangkan kegemukan tidak terjadi jika banyak berfikir. 

"Jika seseorang tidak memikirkan akhiratnya atau dunianya bermakna ia sama sahaja dengan haiwan," katanya.

Pahala berjemaah adalah berlipat kali ganda berbanding bersendirian. -Gambar hiasanPahala berjemaah adalah berlipat kali ganda berbanding bersendirian. -Gambar hiasan

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu berkata demikian dalam sebuah ceramah yang dikongsikan di TikTok [Tonton Video].

Katanya, gemuk yang dimaksudkan itu adalah saiz yang menyukarkan seseorang individu tersebut untuk beribadat.

"Kesannya cukup besar jika tidak terkawal, kalau terkawal tidak mengapa jika tidak ia sesuatu yang meletihkan.

"Ia akan bawa bala yang tidak baik kepada individu itu," katanya.

Dr Zulkifli turut memaklumkan berdasarkan statistik Malaysia mencatat kadar obesiti tertinggi di Asia Tenggara dan situasi itu sebagai sesuatu yang perlu diberi perhatian serius.

“Kalau kita banding dengan negara seperti Indonesia atau Kemboja, kita jauh lebih tinggi kadar gemuknya. Ini bukan perkara kecil,” tegas beliau.

Artikel Lain