suria

[V] Doktor India nasihat umat Islam hati-hati berimej Bollywood, takut jatuh haram… Mufti tegur hukum pakai pottu di dahi

Dr Malar menjelaskan perbezaan pakaian mengikut budaya dan agama Hindu.

LAHIR dalam negara majmuk dan berbilang bangsa mendorong masyarakat Malaysia berkongsi makanan, pakaian, muzik mahupun budaya.

Malah kadang kala, perayaan sesuatu bangsa turut diraikan seperti sambutan Deepavali baru-baru ini.

Tidak dinafikan, aksesori sarat berwarna-warni dan pakaian masyarakat India seperti sari sangat cantik untuk digayakan sehingga ramai yang membuat rumah terbuka bertemakan Bollywood sekali gus memeriahkan sambutan perayaan tersebut.

Pun begitu, tahukah anda bahawa sebahagian daripada fesyen yang digayakan itu mempunyai unsur agama Hindu?

Menurut pegawai perubatan, Dr Malar Santhi Santherasegapan menerusi akaun TikTok Celoteh Dr Malar, pemakaian tema Bollywood mempunyai dua komponen iaitu bangsa India dan agama Hindu.

Disebabkan sering diperagakan dan menjadi fesyen universal, ramai yang tidak dapat membezakan kedua-dua komponen berkenaan ketika menggayakan pakaian mahupun perhiasan bertemakan Bollywood itu.

Bindi berwarna merah dipakai oleh wanita yang sudah berkahwin dan merupakan simbolik kepada cinta

Bindi berwarna merah dipakai oleh wanita yang sudah berkahwin dan merupakan simbolik kepada cinta.

"Kalau anda nak pakai tikka di atas dahi dan kepala, pakai sari, pakai rantai cantik, gelang, cincin itu tidak ada masalah kerana ia adalah budaya.

"Saya ada tengok rakan-rakan beragama Islam pakai pottu (di dahi), ia tidak boleh kerana itu merujuk kepada agama Hindu.

"Pottu berwarna merah dipakai oleh wanita sudah berkahwin manakala warna hitam untuk yang belum berkahwin.

ARTIKEL BERKAITAN: Benarkah rezeki setiap individu sudah ditetapkan sejak sebelum lahir? Ini penjelasan agamawan

"Tetapi ini pun agak berubah mengikut kawasan geografi dan telah dimodenkan dengan pelbagai warna bagi mengikut baju yang dipakai... seperti tudung yang disedondonkan dengan warna baju dan dipelbagaikan cara pemakaiannya,” katanya menerusi video di TikTok.

Kata Dr Malar teguran itu sebagai peringatan agar wanita muslim tidak terikut-ikut dengan pemakaian tema Bollywood sehingga melanggar hukum Islam.

“Sebagai seorang yang beragama Hindu dan banyak berkawan dengan orang-orang Islam terutamanya, saya tahu bagaimana kawan-kawan saya sangat menjaga hukum syirik, murtad dan hukum haram dalam agama Islam.

Bindi telah dimodenkan dengan pelbagai pilihan warna serta bentuk yang menarik.

Bindi telah dimodenkan dengan pelbagai pilihan warna serta bentuk yang menarik.

“Jadi berhati-hati ketika anda mengenakan tema Bollywood. Jangan sampai tersasar... ambil budaya sahaja, berhati-hati dengan komponen agama Hindu,” tegurnya.

Dalam pada itu, memetik penjelasan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan tentang hukum memakai pottu atau bindi dan sari dalam Islam, disimpulkan bahawa hukum memakai bindi di dahi adalah diharamkan kerana ia merupakan simbol atau identiti yang digunakan di dalam agama Hindu.

Persoalan memakai sari pula, Islam tidak melarang umatnya untuk memakai pakaian tradisional bangsa lain selagi mana pakaian tersebut bukan pakaian ritual agama dan pakaian rasminya.

Saya tahu bagaimana kawan-kawan saya sangat menjaga hukum syirik, murtad dan hukum haram dalam agama Islam.

DR MALAR SANTHI SANTHERASEGAPAN

Namun etika pemakaian di dalam Islam wajib dipatuhi seperti menutup aurat, tidak menampakkan bentuk tubuh badan serta tidak mendatangkan fitnah.

Selain itu, Islam juga melarang umatnya tidak berlebih-lebihan dalam perhiasan mahupun pemakaian sehingga boleh menimbulkan perasaan sombong dan angkuh di dalam diri.

"Bindi merupakan perhiasan yang sangat penting bagi penganut agama Hindu, iaitu dengan meletakkan tanda pada dahi di antara kedua bulu kening dan ia juga disebut sebagai Tika, Pottu, Sindoor, Tilak, Tilakam dan Kumkum dengan saiz kecil atau besar yang berbentuk bulat.

Pemakaian Bindi merupakan simbol keagamaan Hindu.

Pemakaian Bindi merupakan simbol agama Hindu.

"Bindi dihiasi pada dahi yang diambil daripada perkataan Sanskrit iaitu 'Bindu' bermaksud sebagai mistik mata ketiga bagi seseorang.

"Mitos dan kepentingan Bindi apabila diwarnakan dengan warna merah yang digunakan secara tradisional disebut sebagai Sindura atau Sindoor yang membawa maksud merah dan mewakili Shakti (kekuatan) serta membawa maksud sebagai simbol cinta.

"Begitu juga sebagai petanda yang baik “Sindoor” diletakkan di kuil atau ketika hari perayaan dicampurkan dengan kunyit (berwarna kuning) melambangkan kecerdikan terutamanya ketika berada dikuil-kuil yang dikhususkan untuk Shakti, Lakshmi dan Vishnu," jelas kenyataan itu berkenaan Bindi.

Dalam etika pemakaian dan perhiasan yang digunakan di dalam agama lain, perkara yang perlu diteliti oleh umat Islam berkaitan persoalan adakah ia merupakan kegunaan bagi syiar atau simbol dalam agama atau sekadar adat dan budayanya sahaja.

Hal ini kerana Baginda Nabi SAW melarang menyerupai golongan kafir di dalam hal syiar atau identiti agama mereka.

Hadis daripada Ibnu Umar R.A bahawa Baginda Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum dia adalah dari kalangan mereka". Riwayat Abu Daud (4031)

Namun, dalam isu pemakaian tradisional yang tidak mempunyai unsur keagamaan seperti pakaian yang bercirikan budaya dan adat setempat maka ia adalah harus dengan mengikut etika pemakaian di dalam Islam seperti menutup aurat dan tidak mengundang fitnah.

Ini kerana Baginda SAW pernah memakai jubah daripada Rom seperti yang diriwayatkan oleh Mughirah bin Syu’bah R.A bahawa bapanya berkata yang bermaksud: "Sesungguhnya Nabi SAW pernah memakai jubah dari Rom yang kedua tangan bajunya sempit". Riwayat al-Tirmizi (1768)

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain