suria

Perlu ke ‘reject’ calon menantu jenis tak solat? Tak salah mak ayah restu pilihan anak, tapi kena bimbing jadi lebih baik

Apabila kehendak anak terlalu kuat, maka izinkan dengan bimbingan supaya hubungan dengan ibu bapa tak putus disebabkan perkahwinan.

RESTU orang tua merupakan perkara paling penting sebelum mana-mana individu mendirikan rumah tangga.

Ibu bapa biasanya mempunyai kriteria tertentu terhadap calon menantu kerana mahu melihat anak-anak memilih pasangan yang baik.

Baru-baru ini, mantan Mufti Wilayah Persekutuan, Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri memberikan penjelasan panjang lebar mengenai situasi yang dihadapi seorang individu yang mendakwa calon menantu perempuannya culas dalam menunaikan kewajipan sebagai umat Islam.

"Assalamualaikum ustaz. Seorang anak ingin berkahwin dengan pasangan muslimah yang tidak solat dan tidak beramal dengan agama secara lengkap di luar negara. Bagaimana sikap seorang bapa?" soal individu itu.

addin1

Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Menurut Dr. Zulkifli, sebaik-baik pasangan yang dipilih adalah wanita yang dinamakan sebagai wanita solehah kerana ia penawar, penyejuk hati dan membawa kebahagiaan.

Sabda Nabi SAW: “Sesungguhnya dunia ini nikmat, sebaik-baik nikmat dunia adalah wanita yang solehah.” [Riwayat Muslim]

Abu al-Abbas al-Qurtubi menyebut, makna wanita solehah dalam hadis tersebut ialah wanita yang menggembirakan (suami) apabila dilihat, apabila diberi arahan dia taat, dan apabila ketiadaan suaminya dia memelihara (kehormatan suaminya) pada dirinya dan juga hartanya.

Selain itu, anak yang meminta dan bermesyuarat dengan ibu bapa adalah satu tanda penghormatan dan satu perkara yang perlu diambil perhatian. Maka, ketika itulah nasihat yang baik boleh diberikan.

ARTIKEL BERKAITAN: 7 sebab kenapa Islam anjur pernikahan, membujang umpama menyerupai pendeta Nasrani

Dalam isu itu, Dr. Zulkifli memberi cadangan apabila kehendak anak terlalu kuat, maka izinkan kepadanya dengan bimbingan supaya hubungan tidak terputus disebabkan perkahwinan.

"Mungkin boleh diajak anak dan menantu seusai perkahwinan dalam tempoh yang awal untuk melaksanakan ibadah umrah bersama-sama. Ini kerana, ramai orang yang kami temui, selepas pulang daripada umrah dan proses mukhayyam tarbawi yang terbaik secara amali ini telah mengubah mereka menjadi yang terbaik dan lebih baik.

"Justeru harapan kami, semoga dengan ibadat haji dan umrah yang dikerjakan boleh mengubah pasangan suami isteri ke arah yang lebih baik," ujarnya.

Daripada Abdullah bin Mas’ud R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Lanjutkanlah haji dengan umrah, kerana sesungguhnya keduanya menghilangkan kemiskinan dan dosa, sebagaimana api dapat menghilangkan kotoran besi, emas dan perak. Dan tidak ada pahala haji yang mabrur itu melainkan syurga.” [Riwayat al-Tirmizi, al-Nasa’ie, Ahmad, Ibn Majah dan Ibn Hibban. Syeikh Ahmad Syakir dalam takhrij al-Musnad, menyatakan isnadnya sahih]

Imam al-Tibi berkata: “Kemampuan keduanya (haji dan umrah) untuk menghilangkan kemiskinan adalah sepertimana kemampuan amalan bersedekah dalam menambah harta.”

addin3

Seorang individu mengadu tentang calon menantunya yang dikatakan tidak beramal dengan agama secara lengkap. (Gambar Hiasan)

Begitu juga sebagai bapa dan ibu, hendaklah sentiasa menasihatkan anak untuk melaksanakan ibadat solat sebagaimana firman Allah SWT: “Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya.”

Dalam ayat di atas, Allah SWT memerintahkan Nabi SAW untuk menyuruh ahli keluarga Baginda menunaikan solat, menunjukkan contoh (mengerjakan solat) kepada mereka dan bersabar dalam menunaikannya.

Ayat ini diturunkan kepada Baginda, dan secara umumnya ia juga ditujukan kepada seluruh umatnya serta ahli keluarga Baginda secara khusus. Selepas turunnya ayat ini, Nabi SAW akan pergi ke rumah Fatimah R.Anha dan Ali R.A pada setiap pagi dan berkata: “Solatlah.

Sayyid Qutb pula menjelaskan: Kewajipan utama seorang lelaki Muslim adalah mengubah rumahnya menjadi rumah Muslim dan membawa ahli keluarganya kepada perlaksanaan kewajipan-kewajipan yang menghubungkan mereka bersama kepada Allah SWT.

Dalam penjelasan itu, Dr. Zulkifli turut mendoakan individu itu agar anaknya dikurniakan pasangan yang baik serta berbahagia di dunia dan akhirat.

"Saya berdoa semoga pasangan yang dipilih oleh anak anda menjadi pasangan bahagia di dunia dan akhirat sehingga rumah tangga mereka boleh dinobatkan sebagai Baiti Jannati.

"Semoga Allah mengurniakan kita pasangan dan keluarga yang soleh yang sentiasa menjaga solat dan mengamalkan syariat Islam. Kami akhiri perbincangan ini dengan doa," ujarnya mengakhiri bicara.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain